Kemaskini KemaskiniSet Highlight ?\Ya Set Highlight ?\YaSet Highlight ?\Tidak Set Highlight ?\Tidak

Nama Pengguna : Anonymous
Masa : 04/19/2014 06:11:16 PM


Hide details for MAKLUMAT AKHBAR


Nama Akhbar
:
BERITA HARIANBahasa :Bahasa Melayu
Seksyen Akhbar
:
BERITA UMUM/LAIN-LAINHari :SELASA
Tarikh Siaran
:
06/18/2002Muka Surat :17
Berkaitan Isu
:
BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA
Topik Berita
:
SEMUA
Tajuk Akhbar
:
Asean sepakat atasi jerebu
Keratan Akhbar Penuh




Teks Akhbar


PERSIDANGAN Antarabangsa Mengenai Bahaya Kebakaran Hutan dan Tanah 2002
yang berakhir Rabu lalu mencapai kata sepakat mengadakan kerjasama melalui
perjanjian bagi menangani masalah pembakaran hutan dan tanah yang pernah
menyebabkan jerebu paling teruk di rantau Asean.
Komitmen daripada negara anggota dilihat sebagai usaha positif ke arah
menangani dan memerangi masalah kebakaran dan jerebu pada saat
menjelangnya fenomena El-Nino yang dijangka melanda antara Julai hingga
Oktober di Asia Tenggara.
Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab
mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara anggota menangani
masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau tanpa mekanisme
penguatkuasaan oleh mana-mana negara terhadap rakan lain.
Sebaliknya, ia antara lain mengkehendaki negara anggota bekerjasama
mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal,
bertukar maklumat dan teknologi serta menyediakan bantuan bersama.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosnani Ibarahim, berkata
perjanjian itu lebih kepada usaha sama negara anggota dan bukan bertujuan
menghukum sekiranya negara anggota terbabit melanggar perjanjian
berkenaan.
"Perjanjian ini menyatakan tindakan dan langkah yang perlu diambil
negara anggota jika berlaku kebakaran atau jerebu.
Ia lebih kepada bentuk kerjasama yang jelas menyatakan negara anggota
perlu memberi bantuan kepada rakan lain.
"Ini kerana perjanjian berkenaan mempunyai peruntukan yang membolehkan
negara anggota untuk memohon bantuan daripada negara jiran merentasi
sempadan," katanya.
Perjanjian itu adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Jerebu Serantau
yang diterima pakai oleh Asean selepas masalah jerebu yang teruk pada 1997
dan 1998 sehingga menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM34.2 bilion (AS$9
bilion) termasuk menjejaskan pengeluaran pertanian dan sektor pelancongan.
Rosnani berkata, matlamat negara juga jelas dalam menangani masalah
kebakaran hutan dan tanah serta jerebu terbukti dengan usaha pada
peringkat kebangsaan melalui mekanisme seperti program dan kegiatan punca
utama jerebu iaitu pencegahan kebakaran, rondaan dari udara dan bantuan
satelit.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang masih degil
melakukan pembakaran terbuka diambil tanpa kompromi dengan bantuan agensi
kerajaan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Keselamatan
Negara, Rela, Kementerian Kesihatan dan polis.
Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan Asean itu dicapai sebulat suara pada
Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar. Perjanjian itu akan dikuatkuasakan
dalam tempoh 60 hari selepas sekurang-kurangnya enam negara Asean
menandatangani dan meratifikasi perjanjian terbabit.
Negara terbabit ialah Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand,
Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.
Bagaimanapun, tiada masa tertentu diberikan atau hukuman dikenakan
kepada anggota yang tidak mematuhi syarat perjanjian. Mengikut perjanjian
itu, sebuah Pusat Penyelarasan Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan
Asean akan ditubuhkan untuk memudahkan kerjasama dan penyelarasan negara
anggota dalam menangani kesan kebakaran tanah dan hutan khususnya jerebu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang
merasmikan persidangan itu menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai
isyarat mengenai hala tuju Asean bagi menangani isu alam sekitar secara
bersama dan bertanggungjawab.
"Kini kita hidup dalam era saling bergantung, dari dulu. Tindakan kita
mempunyai kesan terhadap jiran kita dan di muka bumi ini. Sementara negara
boleh melakukannya sendirian pada masa lalu, ia tidak lagi mudah
sekarang," katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya bagi Asean mengambil langkah
bekerjasama dan melakukannya dalam bentuk yang lebih rasmi, iaitu melalui
perjanjian mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan.
Katanya, semua negara anggota perlu bersedia dengan jangkaan kembalinya
El Nino yang akan menyebabkan cuaca lebih kering daripada biasa mulai
Julai sehingga akhir tahun.
"Berdasarkan pengalaman lalu, jika tindakan awal boleh diambil pada
peringkat kebangsaan berkaitan pengawalan, pengawasan, penguatkuasaan dan
pencegahan, kesan pencemaran jerebu merentas sempadan boleh dikurang atau
dielakkan," katanya.
Berdasarkan statistik, sebanyak 109 kes pembakaran terbuka sudah didakwa
di negara ini sejak kempen pembakaran sifar dilancarkan pada 1998 hingga
sekarang, membabitkan denda berjumlah RM923,700 manakala jumlah kompaunnya
bernilai kira-kira RM2 juta.
Pengarah Kawalan JAS, Lee Heng Keng, berkata jumlah kes yang tidak dapat
dikesan sebenarnya lebih tinggi kerana pihak berkuasa mengalami masalah
penguatkuasaan kerana kebakaran kebanyakannya dijalankan di kawasan
terpencil.
"Justeru, JAS akan melaksanakan kempen kesedaran bagi mengingatkan orang
ramai bahaya pembakaran terbuka menerusi penyebaran risalah serta
peringatan melalui media.
"Dialog dengan petani dan pengusaha ladang juga diadakan sebagai usaha
mengurangkan aktiviti itu kerana kecenderungan petani menggunakan kaedah
tebang dan bakar kerana ia mudah dan murah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penyelidikan dijalankan bagi mencari
kaedah alternatif membersihkan kawasan tanaman secara praktikal, murah dan
mesra alam.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Law
Hieng Ding, bercadang memperkenalkan teknik baru mencegah kebakaran di
kawasan tanah gambut terutama bagi tujuan pertanian.
Beliau berkata, kajian pelaksanaan teknik terbabit akan dijalankan di
Sarawak membabitkan ladang pertanian di kawasan tanah gambut.
"Kajian ini membabitkan pemilihan jenis tanaman sesuai dengan keadaan
tanah gambut selain meminta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
membina kekunci air bagi mengawal paras air di kawasan itu.
"Kekunci air ini bagi memastikan air di kawasan tanah gambut tidak
dikeringkan sepenuhnya dan berada pada paras minimum bagi mengelak tanah
menjadi kering dan mudah terbakar," katanya.
Law berkata, teknik sama pernah diperkenalkan JPS satu ketika dulu
tetapi jabatan itu hanya membina parit besar tanpa membina kekunci air.
"Jika paras air tidak dikawal dan tanah gambut menjadi kering kontang ia
menyebabkan kawasan itu mudah terbakar dan sukar untuk memadamkannya,"
katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pro-gram Alam Sekitar Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (Unep), Klaus Toepfer, berpendapat pencegahan
pembakaran hutan pada peringkat akar umbi seperti masyarakat setempat amat
penting bagi menangani masalah pencemaran merentasi sempadan.
Ini kerana, katanya, kebanyakan pembakaran terbuka dilakukan golongan
terbabit malah mereka juga berisiko tinggi menghadapi kesan buruk daripada
pencemaran itu.
Beliau berkata, amalan pembakaran oleh petani umpamanya dikenal pasti
sebagai antara punca utama jerebu merentasi sempadan di Asean, khususnya
pada 1997.
Bagaimanapun, episod jerebu 1997 memberi kesan paling buruk kepada
rantau Asean berikutan fenomena cuaca panas dan kering, El-Nino.
Sehubungan itu, katanya, pendidikan, latihan dan pembangunan kapasiti
serta penyediaan peralatan, terutama penduduk setempat dan yang
menjalankan kegiatan berkaitan hutan adalah penting bagi menangani masalah
itu.
Melihat kepada kenyataan di atas, banyak pendapat mengaitkan masalah
jerebu yang melanda rantau ini yang berpunca daripada satu kejadian iaitu
kebakaran.
Ada pihak mengatakan masalah pembakaran terbuka perlu dilakukan pada
peringkat akar umbi membabitkan masyarakat setempat, sesetengahnya pula
berpendapat kaedah pengawalan pembersihan sisa pertanian secara praktikal
dan mesra alam perlu diperkenalkan, tetapi bagaimana ia dapat dilakukan?
Tidak dinafikan pada era ini, sains dan teknologi penting ditambah
dengan kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperbaiki
taraf hidup manusia.
Justeru, tidak dinafikan, inisiatif penyelidik tempatan dan kreativiti
mereka untuk memperkenalkan teknik baru pengawalan dan pembersihan kawasan
pertanian yang mesra alam amat dialu-alukan untuk memelihara persekitaran
yang selamat dan bebas daripada pencemaran.
Di samping itu juga, kerjasama masyarakat setempat untuk membantu
penguat kuasa mengenal pasti lokasi kejadian pembakaran sangat diharapkan
untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Kerjasama agensi penguatkuasaan lain juga dapat mengurangkan beban yang
dipikul JAS dalam usahanya mencegah punca utama jerebu.
Program pendidikan, pencegahan dan kesedaran juga perlu dilaksanakan
dengan berterusan untuk menjamin kesinambungan dalam memastikan usaha
memulihara alam sekitar sampai ke matlamatnya iaitu kepada semua rakyat
tanpa mengira usia.
Apa yang diharapkan ialah komitmen daripada semua peringkat bagi
memastikan usaha kementerian dapat dicapai.
(END)