Kemaskini KemaskiniSet Highlight ?\Ya Set Highlight ?\YaSet Highlight ?\Tidak Set Highlight ?\Tidak

Nama Pengguna : Anonymous
Masa : 07/25/2014 04:00:28 AM


Hide details for MAKLUMAT AKHBAR


Nama Akhbar
:
UTUSAN MALAYSIABahasa :Bahasa Melayu
Seksyen Akhbar
:
BERITA UMUM/LAIN-LAINHari :JUMAAT (FRI)
Tarikh Siaran
:
08/05/2005Muka Surat :11
Berkaitan Isu
:
KERAJAAN TEMPATAN
Topik Berita
:
ALAM SEKITAR
Tajuk Akhbar
:
Apa kesudahan kes alam sekitar
Keratan Akhbar Penuh




Teks Akhbar

NEGARA telah dikejutkan dengan berita sensasi alam sekitar mengenai isu
penebangan hutan di Bukit Cahaya Seri Alam.
    Berita ini semakin mendapat perhatian kerana Perdana Menteri sendiri
membangkitkan serta mempersoalkan kredibiliti dan integriti pihak-pihak
terlibat dalam memantau pelaksanaan projek tersebut.
    Berita ini agak lama juga panas di pasaran, maklumlah Perdana Menteri
sendiri membangkitkan isu tersebut.
    Namun lama-kelamaan berita ini senyap dan hilang dari persada pemberitaan
sedangkan masih banyak persoalan yang berkaitan dengan projek tersebut
gagal dihurai dan dikupas dari perspektif perlindungan alam sekitar, akauntabiliti,
integriti dan transparensi.
    Rakyat masih tertanya-tanya bagaimanakah tanah tersebut dipindah milik
kepada syarikat-syarikat tertentu, siapa mereka sehinggakan tanah yang
mempunyai aset dan nilai alam sekitar yang berharga ini boleh dipindah milik
kepada segelintir individu tertentu sahaja.
    Begitu juga dengan kegagalan agensi penguat kuasa yang gagal memantau
pelaksanaan projek ini dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa diheret ke muka
pengadilan kerana bersekongkol dan terlibat dalam konspirasi pencabulan alam
sekitar Bukit Cahaya Seri Alam.
    Apa yang jelas di sini ialah isu alam sekitar tidak mempunyai nilai berita yang
bertahan lama dan ia kelihatan bermusim serta mempunyai kaitan dengan agenda
pihak-pihak tertentu.
    Liputan isu yang dibuat tidak mencakupi skop yang meluas dan lebih tertumpu
kepada serangan personaliti antara kumpulan yang mendapat projek dengan yang
tidak.
    Tidak keterlaluan jika dikatakan isu tersebut lebih merupakan agenda politik bagi
pihak-pihak tertentu.
    Apa yang menyedihkan penerokaan hutan tersebut telah berlaku dengan kemusnahan
yang teruk.
    Negara juga telah dikejutkan dengan berita-berita sensasi alam sekitar seperti
pengimportan haram sisa toksik dan Taiwan: Kematian seorang pegawai penguat
kuasa Jabatan Alam Sekitar Sarawak Rumie Azzan Malie; kebakaran bilik fail Jabatan
Alam Sekitar Johor yang dikaitkan dengan kemusnahan bahan bukti kes berprofil
tinggi yang juga didakwa terlibat dalam kes lambakan sisa toksik dari Taiwan secara
haram ke negara kita; kehilangan sebuah treler yang merupakan ekshibit bagi kes
pendakwaan Jabatan Alam Sekitar Perak, kes-kes aduan pencemaran seluruh negara
dan insiden terbaru keracunan ammonia di Selayang, Selangor.
    Rakyat tertanya-tanya apakah kesudahan insiden yang dilapor oleh pihak media
selama ini.
    Sudahkah syarikat dan mereka yang terlibat dalam sindiket penipuan membawa
masuk sisa toksik dari Taiwan ini didakwa?
    Apakah yang telah terjadi ke atas simpanan longgokan sisa toksik beribu-ribu tan
di kilang dan pelabuhan Pasir Gudang? Sudahkah sisa toksik tersebut dihantar kembali
ke negara asalnya Taiwan?
    Bilakah inkues bagi kes kematian Rumie akan bermula? Kenapa masih dilewat-lewatkan?
    Sudahkah siasatan polis mengenai kes kebakaran bilik fail tersebut mengenal pasti
dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat?
    Apakah hukuman Arahan Pentadbiran yang telah dijatuhkan kepada pentadbiran
Jabatan Alam Sekitar yang gagal memantau dan mengawasi keselamatan dokumen
Rahsia Rasmi Kerajaan?
    Apakah kesudahan kes treler kerana hanya kuasa mahkamah sahaja yang
menentukan sama ada treler tersebut boleh dilepaskan ataupun tidak dan bukannya
kuasa budi bicara Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dalam menentukan
treler tersebut boleh dilepaskan memandangkan kes siasatan masih berjalan ke atas
premis yang disiasat!
    Rakyat ternanti-nanti kesudahan berita sensasi alam sekitar yang telah dipaparkan
selama ini. Contoh-contoh di atas perlu diperjelaskan.
    Kita tidak mahu alam sekitar terus dilacurkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan
dengan motif dan agenda tersendiri dalam mengaut keuntungan ekonomi dari mengabaikan
tanggungjawab sosial.
    Semoga dengan era kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang telah menzahirkan dimensi,
perspektif dari hala tuju baru dalam mengurus tadbir alam sekitar negara, perkara-perkara
yang dibangkitkan ini akan mendapat perhatian penyelesaian segera yang sewajarnya
tanpa melindungi pihak-pihak yang cuai dan menyalahgunakan kuasa.


- ISMAIL FARIHIN, Bukit Beruntung, Selangor.