Kemaskini KemaskiniSet Highlight ?\Ya Set Highlight ?\YaSet Highlight ?\Tidak Set Highlight ?\Tidak

Nama Pengguna : Anonymous
Masa : 08/22/2014 11:55:58 AM


Hide details for MAKLUMAT AKHBAR


Nama Akhbar
:
BERITA HARIANBahasa :Bahasa Melayu
Seksyen Akhbar
:
BERITA UMUM/LAIN-LAINHari :RABU (WED)
Tarikh Siaran
:
02/22/2006Muka Surat :10
Berkaitan Isu
:
KERAJAAN TEMPATAN
Topik Berita
:
PERPARITAN DAN BANJIR
Tajuk Akhbar
:
Kelemahan urus sistem saliran masalah utama4
Keratan Akhbar Penuh




Teks Akhbar

PADA satu majlis selepas beberapa minggu dilantik menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan wawasan untuk menjadikan sungai di sekitar Kuala Lumpur bebas pencemaran, bersih dan menjadi daya tarikan pelancong.

Dua tahun kemudian, ketika ditemu bual media, Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Zulhasnan Rafique, menggariskan beberapa agenda penting yang akan menjadi tumpuannya termasuk masalah prasarana, setinggan dan banjir di Kuala Lumpur yang berkaitan pengurusan alam sekitar, khususnya lembangan sungai.

Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baru, Datuk Seri Azmi Khalid juga nampaknya mempunyai hasrat dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, selari dengan wawasan yang diumumkan Pak Lah.


Sebagai menteri baru, Zulhasnan dan Azmi barangkali mula merancang untuk menangani masalah banjir dan pencemaran di sungai utama di Kuala Lumpur. Persoalannya, apakah cara menanganinya?


Sejak beberapa tahun lalu, banyak kajian dijalankan mengenai pencemaran sungai di Kuala Lumpur. Kesimpulannya, pencemaran disebabkan faktor yang sangat rencam membabitkan pelbagai agensi dan peruntukan perundangan.


Secara umumnya, pencemaran membabitkan tiga faktor utama iaitu sistem pengurusan air sisa yang kurang efektif, sistem saliran terbuka untuk penebatan banjir yang juga menjadi ‘pembetung’ air sisa komersial dan perumahan serta kelemahan penguatkuasaan serta pertindihan kuasa.


Sistem pengurusan air sisa yang kurang efektif adalah isu pokok. Kuala Lumpur terletak dalam kawasan tadahan hujan tiga sungai utama iaitu Sungai Bunos, Gombak dan Klang.


Secara idealnya, kawasan tadahan hujan harus bebas dan terkawal daripada kegiatan boleh mencemarkan kualiti air. Semua sisa buangan cecair perlu dikumpul dalam pembetung, disalur dan dirawat dalam loji rawatan, baru dilepaskan ke sungai.


Bagaimanapun, di negara yang menerima hujan lebih 1,000 milimeter (mm) termasuk Malaysia, sistem pembetungan dan saliran bandar diasingkan untuk mengatasi masalah banjir kilat. Pengasingan ini membolehkan air hujan disalirkan dengan cepat ke sungai atau diresapkan ke perut bumi untuk mengelak banjir.


Bagi menjimatkan kos, sistem saliran itu dibuat secara terbuka. Inilah yang menyebabkan sampah-sarap dan air buangan mudah disalurkan ke sistem saliran sehingga menyebabkan tersumbat dan pencemaran.


Lebih 50 peratus beban pencemaran sungai di bandar besar di Malaysia berpunca daripada sistem saliran yang mengandungi kumbahan (sepatutnya disalurkan ke dalam pembetung yang dikendalikan Indah Water Konsortium - IWK) dan sisa industri yang tidak dirawat sebaiknya.

Pertindihan tugas agensi awam juga ketara dalam pengurusan lembangan sungai. Dari segi bidang tugas, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) menguruskan kumbahan dari kawasan perumahan, perdagangan dan perkilangan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menguruskan air sisa industri dan sisa berjadual, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai sistem saliran dan tebatan banjir.

Soalnya, jika kumbahan dan air sisa industri separa terawat masuk ke dalam sistem saliran, apakah JPS perlu dibebankan, apakah JPP perlu menyediakan peruntukan kepada kawasan penempatan lama yang tidak mempunyai pembetungan, sedangkan pengguna membayar kemudahan di kawasan penempatan baru?


Apa pula peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meluluskan lesen premis perniagaan, perumahan dan menyediakan kemudahan prasarana? Kita sering tertanya-tanya agensi manakah berfungsi menguatkuasakan pelbagai peraturan sedia ada supaya sungai tidak tercemar?

Saya mencadangkan langkah pencegahan dilaksana segera seperti meningkatkan kesedaran masyarakat awam terhadap kepentingan dan penjagaan sungai serta membayar kemudahan pembetungan yang diseliakan IWK (kontraktor kepada JPP).


PBT juga diharap berperanan lebih proaktif bagi memastikan semua projek pembangunan baru mematuhi garis panduan baru, menyediakan loji kumbahan sempurna dan sistem saliran yang mesra alam.


Kerja tanah tidak membabitkan penebangan pokok yang mempunyai garis pusat melebihi enam inci. Insentif kewangan dan cukai juga boleh dilaksanakan untuk memikat agensi swasta supaya lebih proaktif mengurangkan beban pencemaran sungai.


Selain pencegahan, langkah pemulihan drastik perlu disegerakan, antaranya meningkatkan keupayaan loji rawatan air sisa untuk mengurangkan beban pencemaran termasuk penyingkiran nutrien.


Bagi memastikan sistem saliran mesra alam, PBT diharap membina sistem rawatan tabii yang murah seperti constructed wetlands di kawasan yang mempunyai beban pencemaran dari sumber berselerak.


Kesimpulan, semua inisiatif dan usaha memulihkan sungai tercemar memerlukan penyelarasan untuk melaksanakan perundangan sedia ada. Memang ada kekurangan peruntukan perundangan itu, tetapi melaksanakan apa yang sudah diwartakan perlu menjadi keutamaan.


Pelaksanaan ini memerlukan dukungan semua pihak, termasuk orang ramai dan agensi swasta. Sebenarnya, hampir semua punca pencemaran sungai sudah dikenal pasti dengan terperinci, tetapi strategi dan pelaksanaannya belum mantap mungkin disebabkan masalah komitmen dan kewangan.


Dalam hal ini, Zulhasan dan Azmi mempunyai peluang besar untuk melaksanakan wawasan Pak Lah itu kerana jalan sudah diteroka, denai sudah ditunjuk. Apa yang diperlukan hanya merangka strategi untuk melaksanakannya dengan efektif.


Penulis ialah Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (Ipasa) di Universiti Teknologi Malaysia dan Naib Presiden Pertubuhan Air Antarabangsa.


INTI PATI


Langkah atasi sungai tercemar


  • PBT diminta lebih proaktif memastikan projek pembangunan baru mematuhi panduan, menyediakan loji kumbahan sempurna dan sistem saliran yang mesra alam.
  • Kerja tanah tidak membabitkan penebangan pokok yang mempunyai garis pusat melebihi enam inci.
  • Tingkatkan keupayaan loji rawatan air sisa untuk mengurangkan beban pencemaran termasuk penyingkiran nutrien.
  • Air sisa industri yang terawat di premis industri boleh dimasukkan ke sistem pembetungan awam.