Kemaskini KemaskiniSet Highlight ?\Ya Set Highlight ?\YaSet Highlight ?\Tidak Set Highlight ?\Tidak

Nama Pengguna : Anonymous
Masa : 12/19/2014 07:02:51 AM


Hide details for MAKLUMAT AKHBAR


Nama Akhbar
:
BERITA HARIANBahasa :Bahasa Melayu
Seksyen Akhbar
:
BERITA UMUM/LAIN-LAINHari :SELASA
Tarikh Siaran
:
11/16/2004Muka Surat :13
Berkaitan Isu
:
KERAJAAN TEMPATAN
Topik Berita
:
KEBERSIHAN DAN SAMPAH SARAP
Tajuk Akhbar
:
Sampah antara punca banjir di Lembah Klang
Keratan Akhbar Penuh




Teks Akhbar


BENCANA alam seperti banjir akibat hujan lebat tidak henti-henti boleh
berlaku di mana-mana dan bila-bila saja. Ia tambah mengharukan apabila
berlaku ketika umat Islam membuat persiapan atau ketika menyambut
Aidilfitri. Banjir adalah fenomena biasa di negara ini, namun masyarakat
sebenarnya dapat membantu mengurangkan masalah itu. Wartawan HATIPAH AHMAD
melihat apakah peranan masyarakat ke arah mengurangkan masalah banjir,
terutama di Lembah Klang.
PERBUATAN orang ramai membuang sampah-sarap ke dalam sungai atau
longkang besar dikenal pasti antara punca utama banjir kilat di Kuala
Lumpur dan beberapa kawasan rendah Lembah Klang setiap kali hujan lebat
berterusan beberapa jam.
Selain itu, kegiatan mengubah suai kediaman di kawasan tinggi tanpa
mengambil kira persekitarannya turut menyumbang kepada masalah banjir di
Lembah Klang,
Keadaan itu bertambah buruk apabila pemaju tidak memantau projek dan
lepas tangan bagi memastikan tidak berlaku perkara yang boleh menyumbang
kepada banjir selepas projek masing-masing siap.
Dalam hal membuang sampah-sarap, sikap masyarakat tidak pernah berubah
walaupun selepas banjir kilat di ibu negara beberapa tahun lalu.
Mereka tanpa rasa malu dan bersalah membuang sampah-sarap, termasuk
tilam, peti sejuk, sisa binaan rumah dan televisyen ke dalam sungai atau
longkang hingga menyebabkan aliran air menjadi perlahan sebelum masuk ke
sungai atau ke laut.
Aliran air yang tersekat dan terganggu itu akhirnya menyebabkan air
sungai atau longkang melimpah ke luar tebing dan membanjiri jalan atau
kawasan kediaman.
Mereka yang menanggung padah daripada perbuatan itu ialah orang ramai
sendiri.
Golongan yang paling berisiko untuk mengalami malapetaka alam disebabkan
banjir ialah mereka yang tinggal di kawasan rendah, mudah dinaiki air, di
tepi sungai atau longkang besar dan tepi bukit serta pengguna jalan raya,
khususnya mereka yang melalui lebuh raya.
Banjir yang disebabkan oleh fenomena iklim monsun tropika mengakibatkan
hujan lebat tidak henti hampir setiap hari.
Bencana alam seperti banjir walaupun perkara biasa di Malaysia, semua
pihak wajar berusaha mengelakkannya daripada berlaku.
Pensyarah di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Mohamad
Ali Hassan, berkata banjir di kawasan tepi bukit umpama bom jangka yang
hanya menunggu masa untuk meletup dan meledak hingga membanjiri kawasan
sekitarnya.
Katanya, jika nasib tidak baik, ia akan menyebabkan kehilangan nyawa.
Itu belum dikira dengan kerugian harta benda.
Begitu juga tanah runtuh menjadi punca utama banjir lumpur di lebuh raya
atau tepi bukit disebabkan tekanan air dalam tanah yang terlalu berat
untuk ditampung.
Dalam hal ini, pihak berkuasa, khususnya Jabatan pengairan dan Saliran
atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berusaha bagi mengesan dan
mendapatkan maklumat lebih pantas mengenai kemungkinan banjir.
Mereka perlu memantau bacaan semasa paras air di kawasan rendah sama ada
sudah berada pada paras waspada atau bahaya.
Justeru, orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah
harus berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan bagi menghadapi musim
tengkujuh.
Mohamad Ali berkata, masalah banjir mungkin dapat dikurangkan sekiranya
orang ramai tidak membuang sampah-sarap ke dalam sungai atau longkang
hingga menyebabkan aliran air tidak lancar.
Katanya, apabila sampah terlalu banyak dicampak ke dalam longkang, ia
menyebabkan air bergerak sangat perlahan ketika hujan.
Beliau berkata, keadaan itu akan mengakibatkan banjir kilat kerana air
melimpah keluar hingga ke tebing atau ke jalan raya.
Hujan lebat juga boleh menyebabkan tanah runtuh atau banjir lumpur di
lebuh raya.
"Pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi
lebuh raya serta mereka yang tinggal di kawasan bukit sepatutnya sudah
lama mengambil iktibar daripada kejadian yang pernah berlaku sebelum ini,"
katanya.
Mohamad Ali berkata, mereka yang tinggal di kawasan tinggi, khususnya,
di tepi bukit tidak sepatutnya sewenang-wenangnya mengubah suai kediaman
mereka hingga menyebabkan rupa bumi dan struktur tanah di kawasan
sekitarnya terjejas.
Katanya, kesan yang akan diterima akibat perbuatan mengubah suai rumah
menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan ia bertambah teruk
sekiranya berlaku hujan lebat.
Malah, pegangan batuan semula jadi yang sedia ada di kawasan bukit ke
atas tanah akan longgar dan akhirnya menyebabkannya tercabut.
Hujan akan meresap ke dalam tanah dan lama kelamaan menyebabkan tekanan
kepada tanah yang menjadi semakin lembap dari sehari ke sehari. Keadaan
ini menyebabkan ketidakstabilan pada tanah, akhirnya meledak menjadi
banjir lumpur.
Justeru, katanya, PBT perlu memastikan tiada pengubahsuaian ke atas
kediaman yang terletak di tanah tinggi dijalankan dengan sewenang-
wenangnya kerana struktur tanah di kawasan berkenaan dikhuatiri boleh
mendedahkan risiko di sekitarnya.
"Jika ini terjadi, ia bukan saja menyebabkan banjir malah tanah runtuh
dan meranapkan sama sekali rupa bentuk muka bumi yang sebelum itu selamat
untuk didiami dengan membawa bersama batuan semula jadi dari dalam tanah,"
katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.
Mohamad Ali berkata, JKR sepatutnya membuat pemantauan berterusan ke
atas setiap projek lebuh raya yang diberi kepada syarikat konsesi.
Katanya, pemantauan harus dibuat kerana ada beberapa syarikat konsesi
yang cuai dan mengabaikan beberapa langkah susulan atau syarat yang
ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelakkan rupa bumi atau struktur tanah
berubah hingga boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku.
Antara syarat yang ditetapkan oleh JKR adalah pembinaan `berm' (lapisan
bertingkat di cerun) yang mana ia perlu dihadkan kepada lima hingga enam
tingkat supaya perubahan pada struktur bukit tidak terlalu ketara hingga
menjejaskannya.
"Ada juga pemaju atau syarikat konsesi yang tidak mematuhi peraturan itu
dan membina berm antara 15 dan 20 tingkat.
"Secara fizikal ia kelihatan biasa tetapi kita tidak tahu apa kesannya
terhadap struktur pembentukan bawah tanah.
"Kita perlu mencontohi Amerika Syarikat yang melaksanakan pembangunan
mapan apabila menjalankan kegiatan berkaitan alam sekitar.
"Misalnya, pokok yang ditebang akan diganti kerana mereka sentiasa
mengambil kira aspek muka bumi," katanya.
Mohamad Ali berkata, pemikiran semua pihak termasuk pemaju dan orang
ramai perlu disemai dengan kesedaran untuk memulihara khazanah alam semula
jadi.
Katanya, perkara itu penting supaya generasi akan datang dapat mewarisi
persekitaran hijau seperti yang dinikmati sekarang.
Selain menjaga khazanah alam semula jadi, ia dapat menjamin keselamatan
tanah berkenaan daripada runtuh dan menyebabkan kecelakaan kepada manusia.
JKR dan PBT sepatutnya membuat pemerhatian semula meliputi semua perkara
termasuk bentuk muka bumi, kecuraman bukit dan jumlah curahan hujan.
Mohamad Ali berkata, pengaliran air juga boleh membentuk sistem
perparitan semula jadi dalam tanah.
Katanya, keadaan itu jika tidak dipantau menyebabkan pengaliran air itu
mungkin tersekat dan menyebabkan sistem perparitan semula jadi yang ada
terganggu.
Beliau berkata, keadaan itu seterusnya menyebabkan air yang meresap
dalam tanah berkumpul dan mengakibatkan banjir apabila beban sudah terlalu
banyak.