AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: NASIONAL
TARIKH / DATE:29-Dec-2003HARI / DAY: ISNIN
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 13
TAJUK / TITLE: Projek hidro Bakun ada banyak kebaikan



Teks Keratan

MEREKA menyifatkan andaian tenaga hidro tidak menyumbang kepada pemanasan
global hanyalah satu mitos. Kajian saintis asing di 30 pusat takungan air
atau empangan hidroelektrik mendapati semuanya membebaskan gas rumah kaca,
gas yang menyebabkan pemanasan global.
Malah, kajian yang dijalankan saintis Rangkaian Sungai Antarabangsa -
International Rivers Network (IRN) menunjukkan beberapa pusat jana kuasa
hidro di negara tropika memberi lebih kesan kepada pemanasan global
berbanding pusat jana kuasa gas asli.
Saintis Kanada juga membuat andaian empangan di seluruh dunia
membebaskan sehingga 70 juta tan metana (CH4) dan kira-kira satu bilion
tan karbon dioksida (CO2), setiap tahun (CH4 dan CO2, antara gas rumah
kaca). Ini bersamaan dengan empat peratus daripada CO2 dan kira-kira satu
perlima daripada CH4, yang dibebaskan hasil daripada pelbagai aktiviti
manusia.
Bagaimanapun, hasil kajian ini dipertikaikan kesahihannya. Masih banyak
ketidakpastian terutama berhubung keberkesanan, ketepatan dan kesahihan
kaedah yang digunakan untuk mengukur pelepasan gas rumah kaca daripada
empangan ini.
Malah, ramai saintis tempatan mahupun antarabangsa tidak menolak hakikat
kajian ini lebih berbentuk sabotaj kepada usaha untuk memajukan sektor
tenaga diperbaharui ini. Kira-kira 18 peratus daripada bekalan tenaga
dunia hari ini dijana daripada tenaga hidro.
Projek Empangan Hidroelektrik Bakun, seperti pembinaan empangan besar
lain di dunia, tidak terlepas daripada serangan ini, baik dari aspek
rasional untuk memajukan tenaga hidro mahupun dari aspek pembinaan
empangan itu sendiri.
Pembinaan empangan sering dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar,
terutama hutan, sungai, tanah lembap dan hidupan liar. Ia dikatakan akan
menjejaskan sistem sungai, begitu juga mutu airnya. Ia akan menyebabkan
mendapan sungai terperangkap di belakang empangan. Kajian menunjukkan
lebih 90 peratus mendapan terperangkap di empangan sekali gus menyebabkan
masalah alam sekitar yang lebih besar, seperti hakisan di sungai.
Pemendapan di belakang Empangan Dam di Mesir sebagai contoh menyebabkan
hakisan di delta Sungai Nil, kira-kira lima ke lapan meter setiap tahun.
Projek empangan ini juga didakwa menindas kehidupan penduduk, yang rata-
rata adalah kumpulan minoriti dan penduduk miskin. Mereka bukan saja
kehilangan rumah tetapi juga sumber pendapatan dan kebiasaannya pampasan
yang diterima tidak setimpal.
Bank Dunia menganggarkan kira-kira 10.2 juta penduduk di China
dipindahkan antara 1950 dan 1990 bagi menjayakan pembinaan empangan di
republik berkenaan (China mempunyai jumlah terbesar dengan 18,820 empangan
daripada 40,000 empangan besar di sungai di seluruh dunia).
Angka sebenar dikatakan jauh lebih besar sehingga mencecah 60 juta
orang. Rata-rata mereka ini golongan miskin dan tidak mempunyai kuasa
politik.
Projek Empangan Hidroelektrik Bakun, dengan kawasan seluas Singapura
atau enam kali ganda lebih besar daripada Empangan Kenyir, itu sendiri
didakwa golongan antiempangan - antihidroelektrik menjejaskan lebih 800
spesies tumbuhan, termasuk 67 spesies yang dilindungi, 104 spesies ikan,
229 mamalia dan 43 spesies burung dilindungi, memusnahkan 50 juta meter
padu pelbagai jenis kayu balak dan menindas lebih 10,000 penduduk di
kawasan sekitar.
Ini pastinya bukan kesan yang kecil apatah lagi dengan kos pembinaan
yang menelan berbilion ringgit. Alasan seperti inilah yang digunakan
penduduk pribumi dan Orang Asli, parti pembangkang DAP serta gabungan
lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Tabung Alam Malaysia
(WWF) dan Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM) untuk
menentang projek ini.
Tetapi mengapa projek ini diteruskan? Adakah projek ini memberi manfaat
kepada lebih ramai rakyat Malaysia berbanding kumpulan kecil penduduk di
kawasan sekitar?
Seperti banyak hasil kajian yang negatif terhadap tenaga hidro, banyak
juga kajian memberikan hasil sebaliknya. Begitu juga pengiktirafan saintis
dan badan berkaitan perlindungan alam sekitar, baik di dalam mahupun luar
negara.
Pengurus Program Suruhanjaya Perundangan Tenaga Persekutuan, Jabatan
Tenaga, Makmal Kebangsaan Oak Ridge, Amerika Syarikat, Mike Sale,
dilaporkan berkata: "Hidroelektrik adalah sumber utama tenaga
diperbaharui; ia mudah diperoleh, cekap dan murah berbanding geoterma,
biomas, angin dan solar. Apa yang lebih penting, ia adalah sumber tenaga
yang bersih, ia tidak menghasilkan karbon dioksida, sulfur dioksida,
nitrus oksida juga bahan pencemar udara yang lain."
Malah, Icold memberi pengiktirafan yang tinggi kepada sumber tenaga ini.
Ketua Jawatankuasa Alam Sekitar Icold, Ted Haws, mengiktiraf tenaga hidro
sebagai `manfaat besar bagi alam sekitar global'.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah berkata projek
hidroelektrik Bakun memberi lebih banyak kebaikan kepada negara walaupun
laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) menunjukkan ada kesan buruk.
Walaupun pelaburan modal projek hidroelektrik itu tinggi iaitu hampir
RM10 bilion (kos awal kira-kira RM15 bilion) - berbanding kos penjanaan
kuasa berasaskan gas, operasi hariannya nanti tidak memerlukan wang
seperti gas. Kuasa air bukan saja termurah dan terbersih, malah ia kekal
selagi negara menerima hujan berbanding gas yang lama-kelamaan akan habis.
"Keperluan tenaga di negara kita meningkat begitu pesat dan kita
terpaksa menggunakan semua punca tenaga. Kalau kita bergantung kepada satu
punca saja, kalau apa-apa terjadi, maka kita akan menghadapi masalah,"
kata Dr Mahathir, ketika menjawab soalan berhubung kontroversi projek
hidroelektrik Bakun, kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak mustahil, tentangan terhadap projek ini juga tercetus daripada
propaganda negara maju yang `dengki' dan `iri hati' dengan pembangunan
pesat negara tetapi pada masa yang sama mampu mengekalkan kehijauan dan
persekitaran yang sihat.
Dari segi peratusan, Malaysia mempunyai hutan paling luas dengan 50
peratus kawasan hutan serta lebih 20 peratus lagi diliputi tanaman seperti
getah dan kelapa sawit berbanding hanya 15 peratus kawasan hutan di
Eropah. Walaupun hutan ini dijaga dengan baik, kita harus berpijak di bumi
nyata dan menerima hakikat bahawa sebahagian daripada kawasan itu mesti
digunakan untuk kepentingan lain.
Langkah membina Empangan Hidroelektrik Bakun ini sejajar dasar lima
sumber tenaga negara - gas, minyak, hidro, arang batu dan tenaga
diperbaharui - berbanding strategi empat sumber tenaga sebelum ini (tidak
termasuk tenaga diperbaharui). Dengan takungan seluas 69,400 hektar dan
sempadan kira-kira 2,000 kilometer, Empangan Hidroelektrik Bakun mampu
menjana 2,400 megawatt (MW) tenaga elektrik sehari.
Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan pembinaan projek sebesar ini
pastinya ada memberi kesan buruk kepada alam sekitar mahupun manusia.
Dalam kita mengambil berat mengenai kehidupan kita yang memerlukan sumber
tertentu seperti tenaga yang boleh dijanakan oleh air, kita harus menjaga
alam sekitar, begitu juga sebaliknya.
Pengurus Projek Malaysia-China Hydro Joint Venture (MCH JV), kontraktor
yang diberi tanggungjawab membina empangan itu, Gilles Porlier, berkata
pihaknya dan kerajaan mengambil segala langkah yang perlu bagi
mengurangkan kesan buruk kepada penduduk dan alam sekitar.
Keunikan, kepelbagaian dan kekayaan khazanah alam semula jadi sama
sekali tidak diabaikan. Begitu juga dengan penduduk terbabit. Kebajikan
mereka tidak diabai. Mereka bukan saja mendapat penempatan baru lebih
selesa, malah dibayar pampasan, walaupun ramai yang mendakwa jumlah
diterima tidak berbaloi. Selain itu, mereka `dimodenkan' apabila
dihubungkan dengan dunia luar, menerusi pembangunan infrastruktur, seperti
jalan raya, sekolah dan klinik.
Pengurus Alam Sekitar MCH JV, Syed Madhi Syed Junaidi, pihaknya sentiasa
memantau kerja di kawasan tapak dan sekitarnya bagi memastikan projek
berkenaan mematuhi peraturan dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar, yang
ditetapkan.
Pelan berkenaan antara lain memastikan kesan hakisan dan pemendapan
dikurangkan, termasuk dengan memasang perangkap; mengawasi perbezaan kesan
pembinaan kepada sistem dan mutu sungai di kawasan hulu dan hilir serta
memastikan sisa, termasuk minyak dan sisa domestik dikendalikan dengan
berkesan.
Data menunjukkan tidak banyak perbezaan pada mutu air ketika ini
berbanding sebelum projek itu dijalankan. Begitu juga dengan masalah alam
sekitar lain seperti tanah runtuh di sekitar kawasan projek. Cuma, ketika
lawatan wartawan dan jurugambar ke tapak projek itu baru-baru ini, berlaku
satu kejadian tanah runtuh kecil berikutan hujan lebat pada malam
sebelumnya.
Mengulas kejadian itu, Porlier berkata, hujan adalah perkara biasa dan
mereka mempunyai segala kaedah memastikan hujan tidak menjejaskan kerja
pembinaan itu.
Apa yang lebih menarik, Porlier mengingatkan hujan itulah kekayaan
Bakun. Kekayaan sumber tenaga bersih - tenaga hidro - yang sewajarnya
diterokai dan dimanfaatkan.