AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: DALAM NEGERI
TARIKH / DATE:09-Mar-2005HARI / DAY: RABU (WED)
ISU / ISSUE:LAIN-LAINMUKA SURAT / PAGE: 6
TAJUK / TITLE: Menterjemahkan budi bahasa kepada tabiat


Teks Keratan
    PAPARAN seorang pemuda yang memaparkan sikap 'tamak kerusi' semasa menaiki LRT
(Sistem Transit Aliran Ringan) di kaca televisyen boleh dianggap sangat berkesan dalam
menyalurkan mesej kempen budi bahasa.
    Jika anda menaiki kenderaan awam I dan tidak semestinya LRT, kejadian seumpamanya
pasti terjadi.
    Lebih menjelikkan bila kejadian itu berlaku di Kuala Lumpur, di mana warga kota sepatutnya
berpendidikan sebagaimana gambaran kepada ,watak pemuda yang berpura-pura tidur,
semata-mata kerana tidak mahu bangkit menyerahkan kerusinya kepada orang lain!
    Tetapi Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 11 Januari lalu, tidak tertutup pada ruang lingkup
kejadian atas LRT itu sahaja.
    Sebaliknya, ia meliputi semua lapisan dan peringkat kehidupan sehari-harian kita.
    "Budi bahasa mesti dijadikan tabiat,bukan sesuatu yang boleh disuruh-suruh buat," kata
Pakar Komunikasi Kemanusiaan, Ishak Abdul Hamid dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
    Kunci kepada budi bahasa yang baik ialah ia mestilah bermula dengan diri sendiri. Ia harus
bermula dari rumah bila kita bercakap dengan sesama anggota keluarga.
    Lazimnya, setiap keluarga akan mendidik nilai-nilai budi bahasa seperti bercakap menggunakan
bahasa sopan dengan orang lain, cepat semangat hendak menolong orang dan sebagainya.
    "Jika ditakdirkan lahir dalam keluarga yang sememangnya kasar dan jika individu itu sudah
mempunyai kesedaran, adalah afdal bagi individu itu mempelajari kaedah-kaedah budi bahasa
yang betul," katanya.
    Masalah yang wujud daripada isu budi bahasa berkait rapat dengan kemahiran berkomunikasi.
Satu daripada kemahiran komunikasi yang penting ialah mencerap.
    Perkataan pencerapan mungkin suatu perkataan yang jarang didengar. Bahasa Inggeris bagi
mencerap ialah listening.
    Mungkin ramai yang menganggap listening itu adalah sama maksudnya dengar mendengar.
Sebenarnya, 'mendengar' dalam Bahasa Inggeris ialah hearing.
    Oleh itu, mencerap atau listening mempunyai makna yang lebih kompleks dan melibatkan berbagai
komponen penting di dalamnya.
    Orang yang mahir mencerap juga sering dianggap sebagai komunikator yang
berkesan. Malah satu daripada ciri seorang ketua atau pemimpin selalu dikaitkan kepada
kemahirannya mencerap orang lain dengan perasaan empati.
    Terdapat beberapa tabiat-tabiat buruk semasa mencerap iaitu berpura-pura mencerap. Fikirannya
mungkin melayang ke tempat lain, walaupun mimik muka dan matanya seolah-olah sedang mencerap
dengan teliti.
    Tabiat buruk kedua, pencerapan penting diri (Stage Hogging) iaitu orang yang mencerap sentiasa
mengubah perbualan kepada topik mengenai dirinya. Dia sebenarnya tidak mempedulikan atau tidak
langsung menumpukan perhatiannya kepada topik yang diperkatakan oleh temannya.
    Satu lagi sifat orang yang mencerap sebegini ialah dia sering mencelah atau mengganggu orang
yang sedang bercakap.
    Pencerapan yang baik ialah pencerapan yang berempati yang memerlukan sipencerap mengambil
perhatian yang tulen terhadap perspektif dan perasaan orang yang dicerapnya itu.
    "Pencerapan yang berempati boleh meletakkan dirinya pada sudut pandangan orang yang dicerapnya
dan mampu merasai perasaan dan fikiran orang itu.
    Pencerapan berempati tidak mudah diaplikasikan terutamanya jika kita tidak mempunyai hubungan
yang rapat dengan orang yang kita cerap.
    Oleh itu, sifat empati seolah-olah menjadi pengukur kepada hubungan antara dua orang yang
berinteraksi.
    Kemahiran mencerap dengan empati perlu dipelajari. Namun begitu, sebagai manusia biasa yang
lazimnya lebih tertumpu kepada kepentingan diri sendiri, kita gagal mengamalkan pencerapan
berempati.
    Semasa berinteraksi dengan seseorang kita mungkin lebih banyak mempamerkan pencerapan atau
perlakuan yang tidak empatik.
    Dalam keadaan tertentu, kata Ishak, ada kalangan kita yang akan mempersoalkan diri sendiri, buat
apa buat baik kepada orang lain, sedangkan orang itu belum tentu berbuat demikian dengan kita?
    "Jika kita berbuat baik terlebih dulu, ia bukan untuk diri kita sendiri tetapi secara tidak langsung, tingkah
laku baik itu akan mendidik mereka untuk sama sama menjadi baik.
    "Budi bahasa sebenarnya seakan penyakit berjangkit. Cuma dalam hal ini, ia bukan penyakit pemusnah .
Individu A berbaik dengan individu B,dan kemudian individu B akan berbaik pula dengan individu C dan
seterusnya," ujarnya.
    Ishak juga bersetuju dengan pemerhatian Perdana Menteri yang menegur sesetengah kakitangan
perkhidmatan awam terutama yang berkhidmat di kaunter-kaunter khidmat pelanggan yang masih tidak
memberi layanan yang baik kepada pelanggan.
    'Isunya,bukanlah keseluruhan agensi kerajaan yang berorientasikan perkhidmatan, kaunter yang teruk.
Isunya lebih ,berkaitan apakah kakitangan yang ditempatkan di kaunter pelanggan itu benar-benar tepat!
    Mereka ini sebenarnya tidak dilatih secara formal bagaimana perlu berurusan dengan pelanggan," katanya.
    Menceritakan pengalaman di UPM sendiri, Ishak mengakui ada mengendalikan kursus
khas bagi pasukan pengawal keselamatan ,universiti itu supaya tidak lagi tebal dengan imej bengis
kepada pelajar dan orang ramai.
    Mengenai Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan itu, Ishak berkata, kempen seumpamanya hendaklah dilakukan secara konsisten.
    "Bertepatan dengan 'teori peluru' dalam pengiklanan, iklan LRT itu tepat menuju ke sasaran dan mudah
pula difahami.
    Iklan itu wajar disiarkan lebih kerap sehingga ia menjadi ikutan positif kepada orang ramai. Mungkin,
pihak swasta boleh turut sama menyumbang iklan yang menyampaikan mesej yang serupa," kata Ishak.