AKHBAR / NEWSPAPER:KOSMOSEKSYEN / SECTION:
TARIKH / DATE:13-May-2006HARI / DAY: SABTU (SAT)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 14
TAJUK / TITLE: Surau terbiar jadi tempat pelajar ponteng sekolah


Teks Keratan
KAJANG -Keadaan surau di Apartment Sri Ria, Taman Sepakat Indah di sini memang menyedihkan!

Surau tersebut tidak lagi dapat digunakan oleh penduduk dan telah dibiarkan sehingga dijadikan tempat lepak bagi pelajar yang ponteng sekolah.

Tinjauan KOSMO!mendapati, meter air di surau tersebut di kunci, malah lantai surau berkenaan dilimpahi air najis yang berpunca daripada saluran paip yang bocor.

Tidak cukup dengan itu, memburukkan lagi keadaan, lantai terutama di tempat mengambil air sembahyang dan tandas juga terkopak.

Salah seorang penduduk, Ismail Abu Bakar, 64, memberitahu, surau tersebut sebenarnya telah digunakan oleh penduduk sejak apartment itu dibuka dua tahun lalu, tetapi tidak lagi sejak akhir-akhir ini.

"Sejak pemaju menyuruh penduduk membayar bil air, kami tidak lagi menggunakan surau berkenaan kerana bil tersebut terlalu tinggi iaitu sebanyak RM3,000 yang tidak dibayar sejak tahun lepas.

"Saya pelik, kenapa air yang disediakan untuk membasuh kenderaan tidak dikenakan bayaran, tapi surau disuruh bayar?" katanya kepada KOSMO!.

Seorang lagi penduduk, M. Nagarajan berkata, pihak pemaju perlulah faham kerana surau digunakan untuk penduduk beragama Islam dan perlu dijaga kebersihan dan penyelenggaraan.

"Saya telah membuat aduan kepada pihak pemaju, tapi mereka tidak mempedulikan langsung masalah penduduk," katanya.

Apa yang lebih merisaukan penduduk, katanya, sekiranya pemaju tidak berbuat sesuatu mengenai keadaan surau berkenaan ia dibimbangi menjadi tempat lepak pelajar ponteng sekolah.

Lebih teruk, katanya, ia juga mungkin menjadi tempat penagih dadah berkumpul.