AKHBAR / NEWSPAPER:MINGGUAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION:
TARIKH / DATE:04-Jun-2006HARI / DAY: AHAD (SUN)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 10
TAJUK / TITLE: Bertindak sebelum parah


Teks Keratan
KAWASAN Hulu Klang sekali lagi dilanda bencana tanah runtuh Rabu lalu dengan empat nyawa menjadi korban.

Ia merupakan kejadian tanah runtuh kelima di kawasan itu sejak rebahnya Highland Tower kira-kira 13 tahun lalu yang mengorbankan 48 mangsa.

Tetapi masyarakat kita terutama pihak berkuasa kelihatan tidak pernah belajar daripada sejarah.

Apa tidaknya, sejarah tanah runtuh yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda sering berulang walaupun bermacam-macam langkah kononnya telah diambil bagi menanganinya.

Sejak robohnya kondominium mewah Highland Tower, banyak jawatankuasa di peringkat nasional ditubuhkan untuk memantau pembangunan di tanah tinggi selain bermacam jenis peraturan dan garis panduan diwujudkan yang sepatutnya dipatuhi oleh pemaju.

Sejak tragedi itu juga pelbagai amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama kerajaan negeri kepada pihak terbabit tetapi tahun demi tahun ada sahaja yang menjadi mangsa.

Ia menimbulkan persoalan di kalangan rakyat untuk apa segala jawatankuasa, garis panduan, peraturan dan amaran yang dikeluarkan itu jika ia sikit pun tidak mampu menghalang kejadian seumpama itu.

Apa tujuannya semua itu jika ia sedikit pun tidak mampu menghalang para pemaju degil dan tamak dari terus bertindak berleluasa ketika membangunkan tanah tinggi?

Apa tidaknya, selepas tragedi 11 Disember 1993 itu, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku berdekatan dekat kondominium Athenaeum Tower, Bukit Antarabangsa pada 15 Mei 1999 dan diikuti dengan tanah runtuh di jalan masuk utama ke Bukit Antarabangsa pada 5 Oktober 2000.

Selepas semua pihak mula lupa dan leka akan keperluan memantau pembangunan di tanah tinggi, pada 20 November 2002 negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Taman Hillview yang meranapkan sebuah banglo milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar.

Tujuh penghuni banglo itu terkorban dalam kejadian tersebut. Tidak cukup dengan itu, yang terbaru ialah pada Rabu lalu dengan empat mangsa menjadi korban.

Seperti biasa, nada dalam setiap alasan yang diberikan adalah sama, ‘kejadian boleh dielakkan jika syarikat perunding dan pemaju mendengar nasihat kerajaan’.

Amaran

Adakah ini bermakna, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan hanya mempunyai kuasa untuk memastikan nasihat dan amaran yang diberikan dipatuhi.

Sepatutnya, jika pihak terbabit gagal mematuhi nasihat dan amaran tindakan tegas perlu diambil kerana ia bukan perkara main-main, nyawa manusia yang jadi taruhannya.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semua pihak kena bertegas dalam soal yang membabitkan pembangunan di tanah tinggi.

Tanpa tindakan tegas peraturan yang ada tidak akan diendahkan dan masalah tanah runtuh itu tidak akan selesai sampai bila-bila. Tidak guna ada bermacam peraturan dan garis panduan ketat jika tidak dilaksanakan sebaiknya oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, peranan pihak berkuasa tempatan menjalankan pemantauan berterusan terhadap segala aktiviti di kawasan tanah tinggi terutama yang telah dikenal pasti berisiko penting bagi mengelakkan kejadian seperti itu.

Ia diakui oleh Pensyarah Kejuruteraan Geoteknik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Fauziah Ahmad bahawa nyawa empat beranak di Kampung Pasir itu mungkin dapat diselamatkan jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan tanggungjawab mereka.

Katanya, kejadian itu dapat dielakkan jika pihak terbabit peka dengan tanda-tanda awal yang menunjukkan berlaku pergerakan tanah di kawasan itu.

Lagi pula aduan mengenai pergerakan tanah di kawasan itu pernah disuarakan oleh penduduk Taman Zoo View sejak dua tahun lepas.

PBT terbabit sepatutnya meneliti secara berterusan setiap kerja-kerja di kawasan tanah tinggi dan jika didapati pemaju gagal menepati had-had pemotongan lereng bukit yang dibenarkan ia perlu dihentikan segera dan bukannya menunggu hingga ada yang menjadi mangsa.

Lagi pula antara syarat untuk melaksanakan projek pembangunan di tanah tinggi ialah pemaju terlebih dahulu perlu membina benteng penahan tanah yang mengikut pengiraan yang sesuai dengan kecerunan dan kepadatan tanah termasuk kedudukan bangunan dan pendedahan ruang tapak kepada aliran air.

“Kebanyakan kontraktor tidak serius melihat perkara ini sebagai satu masalah,” kata Fauziah.

Ia diburukkan lagi dengan kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar.

Sampai bila kita hanya akan tunggu tragedi berlaku dan ada mangsa menjadi korban baru tindakan tegas akan diambil?

Sampai bila rakyat mahu dipersendakan dengan segala peraturan dan garis panduan tetapi hakikatnya ia sekadar hiasan tanpa apa-apa tindakan.

Mungkin kenyataan Presiden Persatuan Pencinta Alam (MNS), Dr. Salleh Mohamed Noor tidak lama dahulu bahawa manusia tidak pernah belajar daripada sejarah ada benarnya.

Bencana

“Kita hanya sedar apabila keadaan sudah terlambat, selepas berlakunya tanah runtuh dan bencana. Kalau tidak berlaku bencana kita akan terus melakukannya,” katanya.

Lebih mendukacitakan lagi tanda-tanda akan berlaku bencana itu jelas tetapi mereka yang memegang kuasa seolah-olah tidak mempunyai keazaman dan semangat untuk mengatasinya. Sementara itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, pengawasan dan tindakan oleh pihak berkuasa perlu di setiap projek di kawasan tanah tinggi bagi mengelak kejadian tanah runtuh.

Kemajuan dan pembangunan perlu, tetapi pemantauan dan pengawalan ke atas tindak-tanduk ketika projek itu sedang dilaksana dan selepas ia siap, perlu dibuat.

Suara-suara rakyat dan orang bawahan pula jangan diketepikan kerana mereka yang bakal menerima musibah jika berlaku sesuatu malapetaka.

Oleh itu semua pihak perlu mematuhi apa juga piagam, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Bagi pihak yang gagal berbuat demikian, mereka perlu ‘diajar’ dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa tanpa ada sikap memilih bulu.

Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak bukan sahaja bakal mengundang tragedi tetapi juga akan memberikan imej yang buruk kepada kerajaan.

Setiap projek pembangunan mempunyai pelan perancangan yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Jika pihak berkuasa sendiri bersikap tidak prihatin dan tidak sanggup turun padang bagi melihat masalah yang berlaku dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan sudah tentu perkara ini tidak akan ada kesudahannya.

Sikap pahat dengan pemukul perlu dihentikan oleh para pentadbir agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan penguatkuasaan pembangunan di tanah tinggi.

Jangan tunggu bila diarah baru hendak bertindak. Setiap peraturan perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya bermusim.

Mereka memegang amanah rakyat dan bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat. Oleh itu PBT perlu sensitif terhadap keperluan dan keselamatan mereka sepanjang masa.

Seperti kata Salleh, jangan hanya mengejar untung kerana pembangunan yang tidak terkawal sama saja seperti kanser yang boleh merosakkan segala-galanya.

Untuk mengubati kanser, nasihat pakar perlu didengar. Jika pakar kata pembangunan di kawasan terbabit boleh menjejaskan alam sekitar dan menyebabkan tanah runtuh maka ia perlu segera dihentikan.

Jika pihak terbabit terus berdegil maka hanya tindakan tegas jalan penyelesaiannya.