AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:08-Nov-2000HARI / DAY: RABU
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 24
TAJUK / TITLE: Remaja pengguna utama kafe siber


Teks Keratan
KAFE siber boleh dikategorikan dalam banyak jenis perniagaan, selain hiburan.
Ia boleh dilesenkan dalam mana-mana peraturan premis, selain hiburan mengikut Enakmen Hiburan Seragam. Keadaan ini menyebabkan kafe siber boleh jadi sebuah kedai menjual alat komputer, komputer, buku atau restoran.
Berikutan itu, peraturan terhadap pengendalian perniagaan kafe siber tiada seragam di antara satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan yang lain.
Keadaan ini berlaku kemungkinan tidak definisi khusus untuk kafe siber dalam undang-undang untuk mrngklasifikasikan premis itu sama ada sebagai pusat hiburan, permainan, perniagaan atau menjual makanan dan minuman.
Majlis Belia Malaysia (MBM) yang pernah mengadakan kajian mengenai kafe siber di Malaysia, berpendapat sudah tiba masanya satu peraturan khusus dan seragam digubal mengenai kafe siber.
MBM mengambil berat mengenai kegiatan kafe siber kerana sebahagian besar pemilik dan pengguna premis itu di negara ini adalah golongan muda termasuk pelajar dan remaja.
Naib Presiden MBM, Norizan Shariff berkata, ketiadaan peraturan khusus untuk kafe siber, menyebabkan kekliruan kepada pengusaha premis itu dan pihak berkuasa sendiri dalam melaksanakan peraturan mengenainya.
Katanya, pada masa ini, kafe siber boleh dilesenkan dalam mana-mana kegiatan lain, asalkan tidak mengikut Enakmen Hiburan Seragam.
Menurutnya, peraturan itu dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengikut pekeliling Mei tahun lalu, pada darnya ber tujuan baik supaya kafe siber tidak dikelaskan sebagai tempat hiburan.
Bagaimanapun, katanya pelaksanaan tidak menyeluruh dengan membabitkan perkara lain berkaitan dengan operasi kafe siber menyebabakan pelbagai masalah dalam pengendalian kegiatan itu.
“Kita memang tidak mahu kafe siber menjadi tempat hiburan kerana akan menimbulkan kesan buruk lagi.
“Bagaimanapun, pada masa sama, peraturan jelas terhadap pengendalian kafe siber perlu ada bagi memantau dan mengawasi perjalannanya.
“Pihak berkuasa sendiri tidak dapat memberi definasi sebenar kafe siber kerana tiada dalam undang-undang.
“Dalam hal ini, bagaimana hendak melaksanakan peraturan dan penguatkuasaan terhadappengusaha kafe siber, sedangkan tiada difinisi jelas mengenainya dalam mana-mana peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan definisi kafe siber di Malaysia iaitu ‘satu tempat yang menyediakan perkhidmatan Internet, bersekali menyediakan makanan dan minuman atau tanpa makanan’.
Norizan berkata, ketiadaan peraturan khusus terhadap perjalanan kafe siber memberi kesan bukan saja kepada pengguna, malah pemilik dan pengusaha.
“Keadaan itu berlaku kerana kekeliruan berikutan ketiadaan peraturan sergam dan khusus dalam mengklasifikasikan kafe siber.
“Oleh kerana berlaku kekeliruan, MBM meminta PBT tidak mengambil tindakan menyita mana-mana peralatan atau kemudahan kafe siber yang menghadapi masalah pendaftaran, sehingga satu penyelesian yang sebenarnya diputuskan.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna PBT tidak boleh mengambil tindakan jika pemilik premis itu menjalankan kegiatan bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Ketiadaan peraturan khusus dan seragam turut menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap perniagaan kafe siber dengan menjalankan kegiatan lain atas nama menjual komputer, kafe atau restoran.