AKHBAR / NEWSPAPER:LAIN-LAINSEKSYEN / SECTION:
TARIKH / DATE:23-Oct-2002HARI / DAY: RABU
ISU / ISSUE:BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIAMUKA SURAT / PAGE: 2
TAJUK / TITLE: Komitmen semua pihak perlu elak pembakaran terbuka


Teks Keratan

PEMBAKARAN terbuka adalah salah satu penyebab utama kepada berlakunya
pencemaran udara di negara ini.
Pembakaran terbuka kebanyakannya dikesan berlaku di kawasan tapak
pelupusan sampah, sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan,
sisa perladangan, sisa kebun serta pembakaran di hutan simpan.
Keadaan pencemaran menjadi lebih serius pada musim panas yang
berpanjangan kerana ia turut menyumbang kepada masalah jerebu yang
menjejaskan kesihatan awam dan mengurangkan jarak penglihatan.
Masalah jerebu yang melanda negara pada 1997 menyebabkan hampir seluruh
negara seolah-olah diselubungi `asap'.
Keadaan jerebu yang berlaku ketika itu amatlah membimbangkan sehingga
menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) meningkat sehingga ke paras yang
sangat bahaya.
IPU adalah satu sistem ukuran yang dibangunkan untuk memaklumkan kepada
orang ramai mengenai tahap kualiti udara dan impaknya terhadap kesihatan
dengan cara yang termudah. IPU mengukur kepekatan bahan pencemar yang
terampai dan dalam suatu nombor pada skala antara 0 hingga 500.
Justeru, bagi mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti
pembakaran terbuka, sejak 1998 Jabatan Alam Sekitar (JAS) melancarkan
Operasi Mencegah Kebakaran Terbuka (Ops Bakar) di seluruh negara.
Operasi berkenaan adalah program bersepadu membabitkan aspek pengesanan,
penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan, memadam, aktiviti kesedaran serta
pendidikan.
Selain itu, langkah penguatkuasaan undang-undang lebih tegas dengan
membabitkan pelbagai agensi kerajaan memantau masalah itu juga perlu.
Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilaksanakan hanya dengan
arahan. Ia sepatutnya disertai dengan penguatkuasaan undang-undang.
Pembakaran terbuka akan terus berlaku selagi belum ada bukti setiap
mereka yang melakukan kesalahan dikenakan hukuman setimpal.
Jika kes pembakaran terbuka dilakukan oleh individu atau syarikat,
mereka perlu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sememangnya hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah adalah berat
iaitu denda maksimum RM500 000 atau penjara sehingga lima tahun atau
kedua-duanya serta kompaun maksimum RM2 000.
Di peringkat Asean, Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahaya Kebakaran
Hutan dan Tanah 2002 pada Jun lalu mencapai kata sepakat mengadakan
kerjasama melalui perjanjian bagi menangani masalah pembakaran hutan dan
tanah yang pernah menyebabkan jerebu paling teruk di rantau Asean.
Komitmen daripada negara-negara anggota dilihat sebagai usaha positif ke
arah menangani dan memerangi masalah kebakaran terbuka dan jerebu.
Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab
mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara-negara anggota
menangani masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau.
Perjanjian ini antara lain mengkehendaki negara-negara anggota
bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem
amaran awal, bertukar-tukar maklumat dan teknologi serta menyediakan
bantuan bersama.
Perjanjian itu lebih kepada usaha sama negara-negara anggota dan bukan
bertujuan menghukum negara anggota yang melanggar perjanjian berkenaan.
Malah ia lebih tertumpu kepada bentuk kerjasama yang jelas menyatakan
negara anggota perlu memberi bantuan kepada rakan lain.
Perjanjian itu adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Jerebu Serantau
yang diterima pakai oleh Asean selepas masalah jerebu yang teruk pada 1997
dan 1998 sehingga menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM34.2 bilion (AS$9
bilion) termasuk menjejaskan pengeluaran pertanian dan sektor pelancongan.
Kesungguhan negara dalam menangani masalah kebakaran hutan dan tanah
serta jerebu terbukti dengan pelbagai usaha pada peringkat kebangsaan
melalui mekanisme mencegah punca kebakaran dan jerebu melalui rondaan
udara dengan bantuan setelit.
Tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang masih degil melakukan
pembakaran terbuka diambil tanpa kompromi dengan bantuan agensi kerajaan
lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Keselamatan Negara,
Rela, Kementerian Kesihatan dan polis.