AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: DALAM NEGERI
TARIKH / DATE:25-Jul-2005HARI / DAY: ISNIN (MON)
ISU / ISSUE:LAIN-LAINMUKA SURAT / PAGE: 9
TAJUK / TITLE: Pemuliharaan sumber alam sekitar


Teks Keratan
PENGURUSAN sumber semula jadi dan alam sekitar harus dilaksanakan secara terancang
dan menyeluruh bagi memastikan sebarang usaha pembangunan atau pertanian tidak
menyebabkan kesusutan sumber untuk kegunaan masa depan.
    Antara yang akan diberi perhatian ialah kawasan liputan hutan yang kian berkurangan
keluasannya saban hari ekoran pertanian dan pembangunan bandar bagi menampung
peningkatan jumlah penduduk.
    pengurusan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) merupakan usaha memulihara sumber
asli, bergantung kepada beberapa kawasan tertentu yang telah dikenal pasti.
    Antara objektifnya ialah untuk mengekalkan keluasan liputan hutan pada kadar 44.4
peratus atau menambah keluasan kawasan tersebut sebelum tahun 2020.
    Sebahagian langkah pengurusan KSAS melibatkan pemberhentian pembangunan,
pertanian atau pembalakan pad a kawasan terlibat kecuali bagi aktiviti impak rendah
sebingga kawalan terhadapnya dilaksanakan.
    Kawasan empangan pula akan dilindung dari aktiviti pembalakan bergantung kepada
konsesi selain menyediakan zon penampan yang mencukupi bagi tujuan perhutanan-agro.
    Di bawah pengurusan Rancangan Fizikal Negara (RFN) Central Forest Spine (CFS), CFS
akan diwartakan sebagai hutan perlindungan di mana pelan pengurusan, garis panduan
dan prosedur operasi akan dibentuk bagi mengawal fungsi dan kegunaannya.
    Kajian akan dibuat bagi mewujudkan semula kesinambungan hutan dan tanah lembap
serta menghubungkan semula kawasan-kawasan hutan yang terputus dan melindungi
kawasan tadahan air.
    Usaha tersebut akan turut melibatkan perlindungan terhadap kawasan berisiko tinggi
dilanda tanah runtuh dan banjir kilat serta memelihara kepelbagaian biologi.
    Sungai-sungai akan digunakan sebagai koridor penghubung untuk mengekalkan integriti dan
kesinambungan ekosistem hutan.
    Sementara itu, zon pesisiran pantai di Semenanjung Malaysia sedang mengalami pertumbuhan
pesat yang turut melibatkan penambakan laut secara besar-besaran bagi tujuan pelancongan
dan pembangunan bandar.
    Dasar-dasar untuk mengawal dan memandu pembangunan adalah perlu bagi mengelak
ancaman kepada ekosistem marin dan pantai seperti perubahan dan kehilangan habitat,
pencemaran, penggunaan berlebihan, hakisan pantai dan mendapan.
    Bagi tujuan berkenaan, ekosistem persisiran pantai sensitif yang berkepentingan akan diwartakan
sebagai Kawasan Perlindungan dan boleh digunakan untuk pelancongan alam semula jadi
yang rendah impaknya. Antaranya termasuk kawasan untuk aktiviti perikanan, perlindungan
burling, taman semula jadi, kawasan penyu bertelur dan taman-taman laut.
    Bagi kawasan tanah tinggi pula, pembangunan intensif terutama di bukit-bukit peranginan
bagi tujuan pertanian komersial dan pelancongan boleh mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh.
    Struktur tanah tinggi itu merupakan faktor utama hakisan tanah dan tanah runtuh, ini ditambah
pula dengan pembangunan di kawasan cerun yang menyebabkan mendapan lumpur di hilir sungai
dan anak sungai hingga membawa kepada banjir kilat.
    Pembangunan di tanah tinggi perlu dikawal tegas melalui sistem pengurusan khas mengikut
kawasan. la termasuk membenarkan pembangunan pertanian hanya di kawasan yang mempunyai
tahap kecerunan 20 peratus atau kurang, tidak membenarkan pembangunan baru padang golf dan
industri dan mengukuhkan sinergi antara pertanian dan pelancongan bagi mengoptimumkan
penggunaan sumber
    Pada masa yang sama, usaha juga perlu untuk melindung dan menguruskan sumber air. Pembangunan
tidak terurus di kawasan tadahan air boleh membawa pencemaran dan menjejaskan kualiti
air sungai yang boleh meningkatkan kos pemuliharaan air.
    Oleh itu, RFN turut melibatkan perlindungan sumter air permukaan dan air tanah yang merupakan
aset strategik dan perlu digunakan secara optimum.
    Antara langkah yang dicadangkan ialah, mengenal pasti kawasan sumber air, mengawal operasi
di kawasan tadahan air yang boleh menimbulkan pencemaran dan menerapkan kaedah
pengurusan alam sekitar yang sesuai bagi melindungi kualiti air.
    Selain itu ialah mewartakan kawasan tadahan air di bahagian hulu empangan sebagai hutan
perlindungan dan menguruskan badan-badan air untuk melindungi flora dan fauna akuatik
sekali gus mengekalkan kehidupan sungai.