AKHBAR
:
LAIN-LAINSEKSYEN :
TARIKH
:
24-Aug-2003HARI :AHAD
KATEGORI ISU
:
LAIN-LAINMUKA SURAT :11
TAJUK
:
Kenali orkid sebagai spesies penuh keunikan


Teks Keratan
ADA lebih 30,000 spesies orkid yang mampu menyesuaikan diri mengikut mana- mana persekitaran di dunia. Jumlah ini mungkin membabitkan orkid liar tetapi hingga kini sukar dipastikan.
Orkid liar memang terkenal di kalangan penanam, pengumpul atau peminat yang sentiasa mencari spesies baru untuk diketengahkan, selain rahsia keunikan dan keistimewaan tumbuhan itu.
Namun ramai juga tidak tahu spesies orkid liar semakin terancam dan ada yang tidak akan tahu kewujudannya hinggalah seseorang itu menemuinya dan cuba memperkenalkan kepada dunia.
Memang ada orang yang mempunyai hobi mengumpul orkid liar kerana tercabar oleh kesabaran yang diperlukan untuk menjaga orkid itu hingga berbunga. Orkid tidak akan berbunga jika tidak kena tempat dan cara penjagaannya.
Orkid liar banyak didapati di kawasan hutan tanah tinggi dengan persekitaran udara sejuk dan lembap tanpa banyak pencahayaan. Kelembapan kawasan hutan tanah tinggi yang diselaputi lumut membolehkan orkid liar berbunga dengan baik.
Negara kita juga kaya dengan pelbagai jenis orkid liar yang belum diketengahkan walaupun ia popular di kalangan pemburu orkid yang sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan wang mudah.
Contoh terdekat ialah di Cameron Highlands iaitu tanah tinggi yang popular dengan ladang teh dan penanam pelbagai jenis bunga serta pembekal sayuran ke kawasan tanah rendah seperti Kuala Lumpur.
Mengikut rekod Persatuan Pencinta Alam Cameron Highlands (Reach), Cameron Highlands mempunyai lebih 580 spesies orkid liar yang meliputi kawasan Gunung Brinchang, Hutan Simpan di Tanah Rata dan beberapa kawasan hutan simpan di sekitarnya.
Cameron Highlands menyimpan khazanah orkid yang tidak ternilai kecantikan dan keganjilannya. Orkid liar mempunyai pelbagai saiz dan rupa bentuk yang menarik tetapi pelik. Ada yang berbunga besar dengan warna yang menarik dan ada yang hanya sekecil semut. Ada juga orkid liar yang hanya mengeluarkan bunga tanpa daun.
Kebanyakan spesies orkid liar tumbuh di kawasan pergunungan dalam julat 1,200 meter hingga 1,500 meter ketinggian dari aras laut.
Antara orkid liar yang biasa tumbuh di kawasan hutan simpan di Cameron Highlands ialah paphiopedilum barbatum juga dikenali sebagai `Lady Slipper'. Ia jarang ditemui kerana ia tumbuh di tanah dan boleh juga
dibiak dalam pasu.
Keistimewaan orkid liar ini ialah ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk berbunga, bermula dari pada peringkat benih. Lady Slipper memerlukan persekitaran yang nyaman dengan sedikit cahaya matahari.
Jangka hayat bunga ialah antara dua hingga tiga bulan dan menghasilkan variasi dalam warna bunga setiap kali (generasi) ia berbunga. Hanya satu bunga keluar pada satu masa.
Lady Slipper mempunyai kombinasi warna hijau dan ungu tetapi bergantung kepada lokasi dan persekitarannya. Ia berbunga sekitar Januari.
Satu lagi spesies orkid liar ialah trichotosia aporina. Orkid ini sangat kecil tetapi mengeluarkan bunga berwarna hijau kekuningan yang lebat sebesar satu sentimeter. Spesies ini hanya berbunga setahun sekali sekitar Jun dan Julai dengan mengeluarkan kira-kira tiga kuntum bunga.
Trichotosia aporina ialah orkid jenis epifit yang bergantung pada tumbuhan lain untuk hidup dan boleh membiak dengan mengikat dirinya pada dahan pokok. Ia juga membiak pada batu dan membesar dengan ketinggian 20 sentimeter.
Orkid Pinang atau nama saintifiknya spathoglottis plicata orkid liar tumbuh di tanah dan boleh didapati tumbuh melata di sepanjang jalan di kawasan tanah tinggi dengan ketinggian satu meter.
Bunganya sebesar empat sentimeter mengeluarkan lima hingga 10 bunga berwarna ungu pekat (terang) dan daun yang panjang. Berbunga sekitar Ogos dan September. Orkid ini memerlukan pencahayaan yang banyak kecuali pada peringkat awal pertumbuhannya.
Liparis rhedii pula sejenis orkid yang sangat kecil dan mengeluarkan 20 hingga 30 kuntum bunga berwarna ungu atau kemerahan. Walaupun boleh tumbuh di tanah ia lebih sesuai jika ditanam dalam pasu. Orkid ini mempunyai daun berkilat dan berbunga pada Mac dan April.
Satu lagi spesies orkid liar yang ditemui ialah Coelogyne xyrekes. Orkid ini mengeluarkan bunga berwarna merah jambu yang besar iaitu antara enam hingga lapan sentimeter dan mempunyai daun yang lebar iaitu enam inci atau 15 sentimeter.
Coelogyne xyrekes juga dikenali juga sebagai Orkid Hitam (Black Orchid) di Kalimantan kerana warnanya hitam dari dalam. Ia hanya mengeluarkan satu bunga pada satu-satu masa tetapi boleh mengeluarkan hingga enam kuntum bunga.
Bunganya sangat cantik berbentuk bawang manakala daunnya kira-kira 10 sentimeter panjang. Ia adalah tumbuhan kecil yang tumbuh pada dahan pokok dan boleh ditanam dalam pasu. Berbunga pada pertengahan tahun (Jun, Julai dan Ogos) dalam persekitaran yang lembap dan nyaman dengan pencahayaan yang ringan.
Spesies Acanthephippium javanicum pula orkid liar yang mempunyai ciri- ciri yang hampir sama seperti spesies liparis iaitu berbunga daripada dasar umbinya. Bunga berwarna coklat keputihan itu adalah tumbuhan yang pendek. Saiz bunga yang dikeluarkan ialah empat sentimeter dan berbunga
pada Mac atau April.
Keistimewaan orkid ini ialah rupanya agak berbeza kerana bunganya tidak akan mekar sepenuhnya (kelopak separa tertutup).
Orkid liar ini boleh dibeli di tapak semaian di Cameron Highlands tetapi mengambilnya terus dari hutan dilarang kerana ia akan mengganggu habitatnya.
Naib Presiden Reach, Embi Abdullah, berkata ada juga penduduk tempatan (orang asli) yang mahir serta mengenali nilai orkid liar menjualnya secara terbuka kepada orang ramai.
Beliau berkata, orkid liar boleh juga didapati di Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Jerai, Pulau Pinang juga menyimpan pelbagai spesies orkid liar.