AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:31-Oct-2005HARI / DAY: ISNIN (MON)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 4
TAJUK / TITLE: Kempen bersepadu tangani disiplin pelajar


Teks Keratan
PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan kempen yang lebih menyeluruh
dan bersepadu membabitkan pelbagai pihak bagi menangani masalah disiplin pelajar
termasuk gengterisme pada tahun depan.

Kempen berkenaan akan membabitkan polis, Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pelajaran Negeri dan Persatuan
Ibu Bapa dan Guru.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kempen itu akan digerakkan

oleh Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Perundangan dan Penguatkuasaan
serta Jawatankuasa Bertindak Melalui Pendekatan Psikologi dan Kesihatan.

"Formula kerjasama dengan pelbagai pihak di luar kementerian didapati amat membantu

untuk menangani isu dan masalah di luar bidang kuasa dan kepakaran kementerian.

"Justeru, kita memperluaskan formula kerjasama ini dengan pihak lain menerusi

jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan," katanya dalam satu kenyataan di sini,
semalam.

Terbaru, kerjasama dengan pakar psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia

(HUKM) dan Kementerian Kesihatan dalam Program Minda Sejahtera (Promis),
bertujuan membantu guru mengenal pasti murid bermasalah dan berisiko terbabit
dalam masalah disiplin dan jenayah.

Beliau turut mengalu-alukan penubuhan Majlis Permuafakatan Tindakan Membendung

Masalah Jenayah membabitkan pelajar antara Kementerian Pelajaran dan polis, yang
dipersetujui pada mesyuarat minggu lalu.

Persetujuan menubuhkan majlis itu dicapai pada mesyuarat yang masing-masing diketuai

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon dan Timbalan Ketua Polis Negara,
Datuk Seri Musa Hassan.

"Majlis permaufakatan ini yang dibentuk pada setiap peringkat termasuk negeri dan

daerah akan memantapkan lagi mekanisme Jawatankuasa Induk Menangani Gejala
Disiplin yang ditubuhkan pada 20 April 2004," katanya.

Majlis berkenaan bertanggungjawab melaporkan semua perancangan, hasil, tindakan

serta program kepada Sekretariat Tetap Menangani Gejala Disiplin.

Tindakan susulan dan pelaksanaan program akan dibantu oleh empat jawatankuasa

bertindak yang bertanggungjawab ke atas isu sekolah, pendekatan undang-undang
dan penguatkuasaan, kemasyarakatan serta psikologi dan kesihatan.

Sambil menghargai bantuan polis menangani gejala disiplin pelajar dan jenayah, Hishammuddin

berkata, kerjasama itu sudah menunjukkan kesan positif seperti menangani ancaman kumpulan
gengster dan kongsi gelap.