AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:01-Aug-2005HARI / DAY: ISNIN (MON)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: B6
TAJUK / TITLE: Premis hiburan seleweng ditutup serta-merta


Teks Keratan
    KUALA PILAH: Pengusaha pusat hiburan yang didapati membenarkan premis mereka menjadi tempat
pengedaran dan penagihan dadah akan ditutup serta- merta sebaik diserbu polis.
    Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, berkata pindaan peraturan mengenai
perkara itu sedang dibincangkan Jawatankuasa Undang-Undang di bawah Majlis Tindakan Membanteras
Dadah (MTMD).
    Beliau berkata, berbanding peraturan sebelum ini, polis hanya mencadangkan kepada
pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penutupan sesuatu premis yang didapati terbabit dan terpulang
kepada PBT untuk bertindak.
    “Bagaimanapun, kami dapati peraturan itu tidak berkesan dalam membanteras pengedaran dan penagihan
dadah di pusat hiburan. Justeru, kami mencadangkan langkah itu bagi menguatkan peraturan sedia ada.
    “Jika tindakan ini tidak diambil, sebarang usaha yang dilakukan polis dalam membanteras aktiviti
dadah menjadi sia-sia. Malam ini kita tangkap, esok mereka (pengusaha pusat hiburan) buat lagi,” katanya.
    Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis ‘Masih Ada Yang Sayang’ anjuran Pergerakan Belia 4B,
Jabatan Penerangan dan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kuala Pilah di sini, semalam.
    Noh berkata, Jawatankuasa Undang-Undang MTMD juga sedang mengkaji peraturan negara lain seperti
Singapura dan London dalam melaksanakan undang-undang sama terhadap premis hiburan yang terbabit dengan
kegiatan dadah.
    “Ketika ini tindakan yang boleh diambil terhadap pengusaha pusat hiburan ialah di bawah Seksyen 13 (C)
Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 dan penjara
hingga lima tahun,” katanya.