AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: SENTRAL
TARIKH / DATE:28-Jun-2006HARI / DAY: RABU (WED)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: C06
TAJUK / TITLE: 14 penyebab lembangan Sungai Langat tercemar


Teks Keratan
Jabatan Kimia ambil contoh air dilepaskan dua kilang di Hulu Langat untuk dianalisis bagi memastikan tahap pencemaran

BERANANG: Tapak pelupusan sampah di Sungai Kembong di sini, dikesan sebagai penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran air sungai di lembangan Sungai Langat.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Multimedia, Alam Sekitar dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ch’ng Toh Eng, berkata bagi tempoh Julai 2005 hingga bulan ini, Kerajaan Selangor mengesan sebanyak 14 kes pencemaran air sungai di kawasan lembangan itu.


“Daripada jumlah itu, enam kes membabitkan tapak pelupusan sampah di Sungai Kembong,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan mengejut ke dua kilang di kawasan Perindustrian Beranang di sini, baru-baru ini.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Che Asmah Ibrahim dan Pengarah Khidmat Perbandaran dan Kesihatan MPKj, Arshad Salleh.


Beliau berkata, selain itu tiga kes lagi membabitkan pencemaran minyak diesel dan satu pencemaran lagi dikesan berpunca daripada Negeri Sembilan selain dua kes membabitkan ternakan anjing dan kucing, manakala punca pencemaran lain sebanyak dua kes.


Ch’ng berkata, walaupun jumlah itu dianggap rendah dan baik, ia tidak bermakna pihaknya sudah berpuas hati dengan prestasi berkenaan, sebaliknya usaha berterusan akan dilakukan selepas ini.


“Kita mempunyai kira-kira 344 industri yang berdaftar dan beroperasi di kawasan Hulu Sungai Langat. Jumlah itu mungkin meningkat sekiranya dicampur dengan industri yang beroperasi secara haram di kawasan itu.


“Sekiranya tiada pemantauan terhadap kilang ini dilakukan, kita bimbang sisa industri akan mengalir ke Sungai Beranang yang mana akhirnya menyebabkan pencemaran air sungai di kawasan itu,” katanya.


Katanya, kerajaan negeri meminta kerjasama semua pihak untuk mempertingkatkan lagi kualiti air bagi mengelakkan berlaku pencemaran air sungai di lembangan Sungai Langat.


“Sekiranya pihak industri tidak mematuhi peraturan kita bimbang pencemaran air sungai akan berlaku menyebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terpaksa menutup loji air mereka,” katanya.


Pada lawatan mengejut yang dilakukan itu, dua kilang yang beroperasi di lembangan Sungai Langat diperiksa bagi memastikan kilang terbabit mematuhi peraturan atau sebaliknya.


Beliau berkata, menerusi lawatan itu pihaknya mengambil contoh air yang dilepaskan ke dalam longkang untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia dan tindakan seterusnya adalah berdasarkan hasil keputusan.


Katanya, sekiranya didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 1974, hukuman sebanyak RM100,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan.


Lawatan itu turut dihadiri agensi kerajaan lain seperti Pejabat Tanah Hulu Langat, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Syabas, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kerja Raya (JKR).