AKHBAR / NEWSPAPER:LAIN-LAINSEKSYEN / SECTION:
TARIKH / DATE:07-May-2006HARI / DAY: AHAD (SUN)
ISU / ISSUE:LAIN-LAINMUKA SURAT / PAGE: 1&2
TAJUK / TITLE: 10 kementerian tangani masalah disiplin pelajar


Teks Keratan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik usaha untuk menggerakkan 10 kementerian dalam menangani masalah disiplin pelajar. Ini bermula apabila jemaah menteri telah mencadangkan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin untuk memerangani habis-habisan masalah disiplin pelajar melalui 10 kementerian. Kementerian yang dimaksudkan ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan terakhir Kementerian Penerangan.

Usaha menggerakkan jentera kerajaan secara kolektif dan besar-besaran ini dalam menangani masalah disiplin pelajar dilihatkan sebagai usaha serius dalam menangani isu disiplin pelajar yang semakin meruncing hari ini. Isu keruntuhan moral di kalangan pelajar hari ini melibatkan salah laku kecil sehinggalah kepada perbuatan jenayah berat seperti membunuh, rogol, memukul dan bergaduh yang sering berlaku. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa peratusan kes jenayah di kalangan pelajar meningkat tahun lepas iaitu 5, 543 berbanding pada tahun 2004 sebanyak 5,140. Dalam statistik yang lain pula, mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM), peratusan disiplin moral di kalangan pelajar sedikit menurun iaitu 1.74 peratus daripada 5.5 juta pelajar pada 2005 berbanding 2 peratus pada 2004. Peratusan ini walaupun nampak kecil, akan tetapi ianya mewakili 100, 000 bilangan pelajar daripada 5.5 juta. Bilangan yang kecil ini sepatutnya tidak menyebabkan kita berasa selamat dan selesa, ini kerana bilangan 100, 000 ini boleh mempengaruhi bilangan yang ramai itu.


Isu disiplin pelajar sampai ke tahap yang membimbangkan. Malah yang terkini ialah apabila seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa berumur 12 tahun memukul guru sekolahnya yang berumur 26 tahun dengan penyodok apabila beliau dimarahi kerana tidak menyiapkan kerja sekolah dan diminta untuk menyiapkan kerja sekolah sambil berdiri. Isu ini dikategorikan serius kerana bagaimana dalam peringkat umur yang begitu muda itu iaitu 12 tahun sudah berani melakukan tindakan ganas terhadap seorang guru. Dalam kes yang berlainan, di Kedah, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Datuk Syed Omar berumur 39 tahun dibelasah sehingga mengalami kecedaraan parah di muka dan badan kerana menangkap seorang pelajar yang lari daripada majlis perhimpunan. Beliau dibelasah, ditendang dan ditumbuk bertubi- tubi oleh dua orang pelajar tingkatan lima ketika majlis perhimpunan berlangsung. Dalam kes yang sama di Kedah, seorang guru perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat apabila guru tersebut menegur kesilapan pelajar perempuan tersebut. Akibat merasa sedih yang amat sangat apabila seorang guru diperlakukan seperti itu, guru itu membuat laporan polis.


PKPIM melihatkan juga agar sektor bukan kerajaan seperti swasta, NGO, masyarakat, sekolah dan ibu bapa sendiri memainkan peranan dalam menangani isu disiplin pelajar ini. Mereka ini boleh dilibatkan secara langsung dalam dalam Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin dengan diwakili oleh pemimpin-pemimpin sektor tersebut dan juga mereka ini mesti mendokong secara serius dan konsisten usaha ini.


PKPIM mencadangkan juga agar ada satu kayu ukur yang dipersetujui bersama dalam memastikan keberkesanan jawatankuasa induk yang telah ditubuhkan ini. PKPIM melihatkan peringkat awal dalam menangani isu disiplin pelajar ini telah terlaksana dengan menggerakkan jentera kerajaan dalam jawatankuasa induk tersebut. Malah tidak lupa juga gesaan sektor bukan kerajaan memainkan peranan dalam isu ini. Oleh itu, peringkat seterusnya perlu dilihatkan juga bagi memastikan keberkesanan usaha menangani isu disiplin pelajar ini. PKPIM mencadangkan agar diberi satu tempoh masa untuk melihat kesan daripada jawatankuasa induk ini.


Malah, PKPIM juga menggesa agar ada political will daripada semua pihak dalam menangani isu ini. Isu ini bukan sekadar dilihatkan sebagai musim- musiman yang tidak penting, atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Memang kita sentiasa berdepan dengan pelbagai isu rakyat seperti jenayah, kemiskinan, kebajikan dan sebagainya, akan tetapi PKPIM melihatkan isu ini patut diberi keutamaan juga, kerana ianya melibatkan sumber manusia yang bakal mewarisi masa depan negara. Generasi muda hari ini perlu diberi perhatian dan dibimbing supaya mereka ini rasa dihargai.


Akhirnya, PKPIM yakin dengan pendekatan rakan sebaya dalam menangani isu disiplin pelajar ini. Hari ini kita mempunyai 18 IPTA yang diwakili oleh Majlis Pemimpin Pelajar setiap satunya, tidak termasuk IPTS, kolej swasta, dan dua NGO pelajar yang diiktiraf iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), seluruh agensi pelajar ini perlu digerakkan bersama dan diberi peluang untuk memberi bimbingan kepada pelajar-pelajar dalam usaha membendung masalah disiplin pelajar. Mereka ini boleh diberi akses secara langsung untuk turun ke sekolah dengan menganjurkan program motivasi diri, kem ibadah, kem kecemerlangan akhlak dan akademik dan sebagainya. Malah konsep mentor-mentee boleh diaplikasikan pada mereka memandangkan usia umur yang tidak jauh. Belum ada jawatankuasa kecil melibatkan NGO pelajar, Majlis Pemimpin Pelajar universiti serta kerjasama unit kaunseling sekolah dalam menangani isu ini. Oleh itu, PKPIM melihat ada keperluan dan sokongan ke arah penubuhan jawatankuasa tersebut.



Oleh Mohd Hilmi bin Ramli

Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)