AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:11-Dec-2004HARI / DAY: SABTU
ISU / ISSUE:LAIN-LAINMUKA SURAT / PAGE: 10
TAJUK / TITLE: Penggunaan bahasa Melayu di sektor awam mengecewakan


Teks Keratan

KUALA LUMPUR: Kesilapan ejaan dan tatabahasa dalam surat rasmi dan
pekeliling adalah antara kelemahan yang paling ketara dalam penggunaan
bahasa di sektor perkhidmatan awam.
Kelemahan itu turut dikesan pada papan notis dan piagam pelanggan agensi
masing-masing sehingga kenyataan di dalamnya menjadi janggal serta tidak
tepat.
Tinjauan Berita Harian mendapati penggunaan istilah bahasa Inggeris
masih diselitkan dalam ayat sedangkan perkataan berkenaan boleh
diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan mudah.
Contohnya, `Information Communication Technology' (ICT) yang boleh
diterjemahkan kepada teknologi maklumat dan komunikasi atau `canopy'
kepada kanopi. Selain itu, ejaan salah terdapat pada perkataan mempamerkan
yang dieja `mempamirkan'.
Orang ramai yang ditemui Berita Harian juga mahu pegawai dan kakitangan
kerajaan bukan saja mementingkan layanan mesra terhadap pelanggan malah
menggunakan bahasa Melayu dengan betul.
Kakitangan swasta, Shamsul Yaacob, 31, berkata penggunaan dan penguasaan
bahasa kebangsaan yang betul harus diberi keutamaan walaupun pelbagai
pihak kini ghairah untuk menguasai bahasa Inggeris.
"Walaupun bahasa Inggeris memainkan peranan utama dalam pelbagai bidang
ilmu dan hubungan antarabangsa namun bahasa kebangsaan tidak boleh
diketepikan begitu saja," katanya.
Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman,
mengingatkan pegawai dan kakitangan awam supaya menggunakan bahasa Melayu
dengan betul dalam urusan rasmi untuk menjadi contoh kepada sektor swasta.
Katanya, sesetengah pegawai dan kakitangan awam, bukan saja tidak
menggunakan bahasa Melayu yang betul daripada aspek tatabahasa dan
sebutan, malah menggunakan bahasa pasar menyebabkan tidak difahami dan
kurang santun.
"Kualiti bahasa Melayu yang digunakan sesetengah pegawai dan kakitangan
awam masih rendah dan tidak mantap dari aspek struktur serta bercampur
aduk pula dengan bahasa asing," katanya.
Kakitangan swasta, Kalsom Hamzah, 48, berkata untuk terus mendaulatkan
bahasa Melayu, penggunaannya perlu dimulai sejak kanak-kanak dan ibu bapa
bertanggungjawab untuk memastikan anak masing-masing bertutur serta
menggunakan Bahasa Melayu dengan betul.
Di ALOR STAR, Datuk Bandar, Datuk Yusof Nayan, berkata Majlis Bandaraya
Alor Star (MBAS), mendapat kerjasama peniaga dan pemilik premis berhubung
penggunaan bahasa Melayu di papan tanda dan iklan.
Katanya, mereka bukan saja menerima teguran MBAS dan membetulkan
perkataan yang salah, malah mematuhi syarat supaya mengemukakan contoh
perkataan yang hendak digunakan pada papan tanda dan iklan kepada majlis
itu terlebih dulu.
Tinjauan juga mendapati masih ada papan tanda dan iklan di sekitar
bandar raya ini yang memaparkan penggunaan bahasa Melayu yang salah serta
bercampur bahasa Inggeris.
Ini membabitkan nama kedai seperti `M Y Kafe' serta penerangan mengenai
jenis perkhidmatan yang ditawarkan seperti `repair seluar'.
Malah, satu papan tanda yang menunjukkan arah jalan sehala didapati
dieja menggunakan ejaan lama, `JALAN SA-HALA'.
Di SUNGAI PETANI, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Sungai
Petani (MPSPK), Nor Azuwa Pissal, berkata majlis itu juga tidak menghadapi
masalah berhubung perkara yang sama.
Katanya, kebiasaannya bagi papan tanda yang menggunakan jumlah perkataan
yang banyak, MPSPK sendiri membuat draf bagi menentukan bahasa yang
digunakan adalah betul sebelum diserahkan kepada syarikat yang diberi
kontrak memasang papan tanda.
"Bagi premis awam pula, jika ada perkataan yang salah, MPSPK memang
tidak boleh mengambil sebarang tindakan kecuali memberi nasihat supaya
mereka membetulkannya," katanya.
Di MELAKA, kebanyakan pemilik premis di bandar raya Melaka dikesan masih
kurang peka mengenai penggunaan ejaan bahasa Melayu yang betul di papan
tanda premis perniagaan masing-masing.
Di TUMPAT, Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
jajahan ini, Mohd Razali Omar, menyambut baik ingatan itu sambil
menyifatkan sebagai usaha bersepadu kerajaan memartabatkan penggunaan
bahasa Melayu.
Beliau berkata, pihaknya pernah menyuarakan masalah itu sebelum ini
berdasarkan kajian GPMS jajahan itu terhadap penggunaan bahasa Melayu
dalam urusan rasmi kerajaan.
"Ada sesetengah kakitangan kerajaan ketika berurusan dengan orang ramai
menggunakan bahasa rojak yang bercampur dengan loghat negeri dan bahasa
Inggeris," katanya.