AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: EKONOMI
TARIKH / DATE:22-Oct-2004HARI / DAY: JUMAAT
ISU / ISSUE:PERANCANGAN BANDAR DAN DESAMUKA SURAT / PAGE: 15
TAJUK / TITLE: 11 kegiatan jayakan Inisiatif Bandar Selamat


Teks Keratan
YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpendapat amat wajar satu
tema dipilih untuk melahirkan persekitaran bandar yang selamat untuk
didiami, bekerja dan melakukan segala kegiatan harian.
Setiap hari kita pasti akan terbaca laporan dan berita mengenai pelbagai
perilaku jenayah dan keganasan di setiap bandar raya utama dunia dan tidak
terlepas juga di bandar utama Malaysia.
Antara jenayah yang berlaku ialah serangan terhadap orang awam, orang
yang sedang beriadah di taman, pengguna tempat letak kereta, orang yang
menaiki pengangkutan awam, penculikan, rompakan, kes ragut, wanita yang
diperkosa serta yang paling jijik sumbang mahram.
Di Malaysia, jenayah dan kesedaran terhadap ancaman jenayah mula nampak
kesannya di bangunan, taman dan tempat yang terkenal di bandar. Bangunan
dipagari dengan pagar besi dan dipasang peralatan keselamatan, sementara
rumah orang kenamaan, orang kaya, kedai dan pejabat dikawal oleh pengawal
keselamatan.
Banyak juga kawasan di dalam bandar disediakan laluan khas pejalan kaki
yang turut dipisahkan dengan pagar dari laluan yang digunakan oleh
kenderaan.
Menurut laporan Pusat Penempatan Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu beberapa
tahun lalu, keganasan yang berlaku di bandar seluruh dunia meningkat
antara tiga ke lima peratus setahun sepanjang dua dekad yang lalu.
Keganasan di bandar bukanlah fenomena yang berlaku secara spontan,
tetapi terbentuk akibat ketidakseimbangan dan pengasingan daripada
masyarakat.
Usaha bagi melindungi masyarakat bandar daripada gejala kemiskinan,
pengangguran, buta huruf dan ketidakadilan dalam integrasi sosial pastinya
akan juga melindungi mereka daripada jenayah dan keganasan.
Walaupun proses urbanisasi dan kemiskinan saling berkait dengan tahap
keganasan dan jenayah di bandar, ada faktor lain seperti keadaan politik,
ekonomi dan sosial yang turut menyumbang ke arah keadaan itu.
Penurunan nilai moral dan keruntuhan struktur dan institusi sosial
seperti keluarga dan kawasan kejiranan menimbulkan lebih banyak risiko
keganasan dan jenayah di bandar.
Ada banyak kesan dan akibat daripada keganasan yang berlaku di bandar.
Selain daripada kecederaan dan trauma emosi, ia turut mencetuskan rasa
tidak selamat yang akan menjurus kepada ketidakpercayaan, kekurangan
toleransi, pengasingan diri dan dalam kes-kes tertentu bertindak balas
ganas.
Bagi mengelakkan keganasan di bandar, perkongsian kerjasama antara
majlis perbandaran setempat, organisasi komuniti, pasukan polis dan sistem
kehakiman perlu dijadikan sebagai sebahagian penting daripada program
pencegahan jenayah negara.
Sebuah masyarakat tanpa jenayah adalah masyarakat yang sejahtera dan
bahagia. Ini adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh semua masyarakat
sejagat.
Justeru, slogan seperti Masyarakat Bebas Jenayah, Jenayah Sifar, Bandar
Selamat dan Negeri Selamat sudah menjadi sebutan sering bermain di bibir
anggota masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan
negara.
Pada keseluruhannya, jika dibandingkan kebanyakan negara di dunia ini,
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kadar jenayah yang terendah.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Interpol, nisbah kejadian
jenayah kepada 100,000 penduduk adalah 624 kes.
Ini adalah jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan negara lain.
Sebagai contoh purata jenayah indeks di negara lain yang direkodkan adalah
seperti berikut:
Switzerland: 5,004:100,000
Hong Kong: 1,085:100,000
Jepun: 2,250:100,000
Australia: 7,475:100,000
Singapura: 703:100,000
Perangkaan juga menunjukkan kadar jenayah indeks di negara kita dalam
trend menurun. Misalnya pada 2001 memperlihatkan penurunan kadar jenayah
indeks berbanding 2000 iaitu dari 167,173 kes (2000) kepada 156,469 kes
(2001) atau 6.4 peratus.
Kadar ini terus menurun pada 2002 yang mencatatkan 149,042 kes
berbanding 2001, iaitu penurunan sebanyak 7,427 kes atau 4.7 peratus.
Walaupun pada 2003, berlaku sedikit peningkatan pada jumlah jenayah
indeks, iaitu sebanyak 4.88 peratus, namun kita menjangkakan penurunan
semula kes pada tahun ini.
Statistik ini ada kalanya mengalami kenaikan dan penurunan. Namun
demikian, jika adapun kenaikan dan penurunan dalam statistik jenayah pada
tahun ini, jumlah yang dicatatkan selalunya tidak banyak berubah daripada
tahun lalu.
Walaupun begitu, kita tidak boleh memandang ringan isu jenayah dan perlu
sentiasa berusaha untuk memperbaiki tahap keselamatan yang ada dan
meningkatkan lagi usaha pencegahan jenayah.
Lebih 75 peratus daripada jumlah kes jenayah yang berlaku adalah kerana
kecuaian mangsa dan memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan
jenayah.
Kebanyakan kes rompakan dan jenayah di jalan raya berlaku secara spontan
berikutan wujudnya satu peluang bukannya hasil daripada sebuah perancangan
yang terperinci.
Kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi selalunya adalah
kawasan yang mudah dimasuki dan dikenali oleh si penjenayah sebagai tempat
yang memberi peluang kepada mereka untuk menyerang mangsa pada masa
tertentu.
Oleh itu timbullah konsep `Inisiatif Bandar Selamat' berasaskan prinsip
`Pencegahan Adalah Lebih Baik Daripada Penghapusan Jenayah'.
Pendekatan yang terpilih dalam tindakan pencegahan jenayah ini ialah
melalui reka bentuk persekitaran yang selamat dengan peluang melakukan
jenayah dapat dikurangkan.
Di sini profesional seperti juruperancang, arkitek, jurutera dan
kontraktor boleh memainkan peranan masing-masing.
Langkah pencegahan jenayah jarang sekali diberi pertimbangan ketika
merancang pembangunan bandar atau pembinaan projek perumahan, tapak
industri, taman rekreasi atau lain-lain pembangunan infrastruktur di
negara ini walaupun ia adalah isu utama yang sering diambil kira di negara
maju.
Isu membanteras jenayah wujud hanya di dalam ingatan atau minda saja dan
dibangkitkan secara tidak langsung apabila perancang bandar merancang
sebuah penempatan yang tersusun (teratur) yang didiami oleh sebuah
masyarakat yang bersepadu.
Langkah pencegahan jenayah pada dasarnya menuju ke arah pengurangan
peluang untuk melakukan jenayah iaitu dengan mewujudkan ruang yang
selamat.
Apa yang diperlukan ialah pengwujudan reka bentuk persekitaran yang
boleh melindungi dan mewujudkan keprihatinan serta kewaspadaan masyarakat
yang diperlukan untuk pencegahan jenayah.
Inisiatif Bandar Selamat adalah projek utama MCPF bertujuan mewujudkan
suasana kehidupan yang selamat dan mengurangkan peluang penjenayah
melakukan jenayah.
Bandar yang selamat bermaksud sebuah bandar yang bebas dari jenayah di
mana penduduknya tidak dibelenggu perasaan takut terhadap ancaman jenayah.
Dalam konteks ini, Inisiatif Bandar Selamat adalah contoh yang baik
dengan kerajaan dan orang ramai bekerjasama dalam usaha mencegah jenayah.
Pencegahan jenayah boleh dilakukan melalui perancangan dan reka bentuk
alam sekitar, pembangunan masyarakat dan dengan mendidik rakyat supaya
lebih berhati-hati dalam apa juga keadaan supaya mereka tidak mengundang
bahaya.
Dalam usaha Malaysia menuju ke arah status negara maju, Program
Inisiatif Bandar Selamat menjadi agenda penting ke arah usaha pencegahan
jenayah.
Pada dasarnya 11 kegiatan akan dilakukan dalam menjayakan Inisiatif
Bandar Selamat.
Ia adalah pemilihan kawasan projek, mengenal pasti kumpulan sasar di
dalam kawasan projek, menerangkan konsep (mengenai inisiatif bandar
selamat) kepada kumpulan sasar, menubuhkan jawatankuasa bandar selamat
untuk kawasan projek, mengenal pasti jenayah dan masalah oleh kumpulan
sasar dan jawatankuasa bandar selamat, menyelesaikan masalah oleh kumpulan
sasar, mendapatkan khidmat jururunding sekiranya perlu.
Selanjutnya, melaksanakan cadangan terhadap pencegahan jenayah, memantau
keberkesanan pelaksanaan cadangan itu dan membuat perubahan sekiranya
perlu, merekodkan kegiatan projek dan memantau konsep bandar selamat
secara berterusan dan mengambil langkah yang perlu.
Jawatankuasa bandar selamat akan dipengerusikan seorang wakil penduduk,
lebih sesuai pengerusi persatuan penduduk dan ahli-ahlinya mengandungi
wakil dari pihak berkuasa tempatan, Jabatan Polis, MCPF, agensi kerajaan
yang berkenaan, pemaju dan ahli profesional seperti arkitek, perancang
bandar dan lain-lain.
Usaha mencegah jenayah harus dipikul setiap seorang daripada kita agar
ia tidak menjadi suatu perkara yang berat.
Bak kata pepatah `yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing'.
Bersamalah kita mencegah jenayah demi keamanan dan kesejahteraan bersama.
* Penulis adalah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
(MCPF).