AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:19-Jun-2006HARI / DAY: ISNIN (MON)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 29
TAJUK / TITLE: Penjaja asing terus monopoli Bazar Moden


Teks Keratan
KUALA LUMPUR 18 Jun - Imej Bazar Moden Jalan Masjid India yang dikatakan berserabut dan sesak semakin pulih setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menandakan petak-petak niaga di kawasan perniagaan yang dibenarkan.

Bagaimanapun, tindakan DBKL itu dilihat masih belum mencukupi apabila penjaja warga asing masih memonopoli lot-lot niaga di bazar yang menelan kos RM10.2 juta itu.

Tinjauan Utusan Malaysiasemalam mendapati payung-payung yang menjadi bumbung kedua di setiap peniaga telah ditanggalkan selepas laporan khas tentang keadaan yang 'mencacatkan' bazar tersebut disiarkan Utusan Malaysiabaru-baru ini.

Begitu juga dengan kedudukan petak niaga yang kini lebih teratur berikutan penjaja mula akur arahan dengan meletakkan barang jualan di gerobok niaga yang disediakan.

Begitupun, ketika pemantauan dibuat, penjaja asing yang terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan dan Bangladesh dilihat bukan sahaja memonopoli Bazar Moden itu malah turut 'menguasai' lorong- lorong sekitar dengan menjaja pelbagai barangan makanan.

Paling 'menyakitkan mata', mereka sesuka hati menggoreng keropok lekor, pisang goreng dan kuih muih di lorong-lorong laluan orang ramai.

Seorang penjaja, Norashikin Nordin, 17, berkata, penjaja warga asing terutama Indonesia tidak mempedulikan peraturan ketika menjalankan perniagaan di bazar itu.

"Biasanya mereka berniaga di petak kosong kerana penjaja asal tidak datang. Bila nampak kosong saja, mereka masuk dengan menjual pelbagai barangan seperti jam dan ubat-ubatan.

"Ada juga petak niaga yang disewakan oleh penjaja tempatan kepada mereka, " katanya.

Justeru, Norashikin berharap DBKL dapat menempatkan pegawai penguat kuasa sepanjang masa di situ bagi memantau kegiatan penjaja asing.

"Sejak DBKL mengambil tindakan drastik menangani keadaan tidak selesa di situ baru-baru ini, penjaja dan pengunjung boleh berurus-niaga dengan aman. Bunyi radio yang kuat juga tidak lagi kedengaran," katanya.

Bagi Mek Zainab Mat, 38, imej baru yang dilakukan oleh DBKL memang baik kerana laluan pengunjung semakin luas dan keadaan bazar lebih selesa.

"Namun saya akui keuntungan kurang sedikit kerana tidak banyak barang yang boleh diletakkan di sini.

"Saya juga berharap DBKL dapat menyediakan kanopi dengan segera kerana setiap kali hujan, kami kebasahan manakala tengah hari pula kami kepanasan," katanya.

Mengenai kebanjiran penjaja asing, Mek Zainab turut hairan mengapa penjaja yang berstatus penduduk tetap (PR) boleh diberi lesen perniagaan.

"Jabatan Imigresen dan DBKL tegaslah sedikit kerana terlalu ramai penjaja asing di sini.

"Mereka pula jenis yang bawa seluruh ahli keluarga berniaga di sini.

"Seelok-eloknya DBKL letakkan penguat kuasa yang bertugas sepanjang masa di sini dan rampas barangan yang dijual," katanya.

Peniaga air, Zaini Mohd Zin, 33, berkata, imej baru bazar yang ditampilkan DBKL lebih kemas dan memudahkan laluan berbanding keadaan bazar dulu yang 'amat merimaskan'.

"Bagaimanapun, DBKL dan pihak berkuasa kenalah pantau kawasan ini kerana penjaja asing sewenang-wenangnya memonopoli tapak niaga.

"Sedangkan umum mengetahui kawasan ini hanya dikhaskan untuk penjaja tempatan, malah tindakan mengambil pekerja asing tidak dibenarkan," katanya.

Salah seorang penjaja yang tidak mahu dikenali pula mendakwa, sikap tidak tegas pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu penjaja asing menyebabkan ia menjadi 'wabak' yang semakin menular di bazar tersebut.

Dakwanya, DBKL tidak tegas membatalkan nama penjaja yang menyewakan tapak mereka kepada warga asing menyebabkan warga Indonesia khususnya bukan sahaja bebas berniaga di bazar malah di setiap lorong sekitar kawasan tersebut.

"Kenapa tiada yang ambil tindakan terhadap penjaja Indonesia yang menggoreng keropok lekor, pisang goreng, kuih muih serta menjual minuman di bahu jalan di sini.

"Ia menggambarkan seolah-olah 'ada yang tidak kena' di sini kerana mendengar dialek mereka pun kita tahu mereka dari mana. Janganlah buat tempat ini macam negara mereka, " katanya dalam nada kesal.