AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:23-Apr-2003HARI / DAY: RABU
ISU / ISSUE:LAIN-LAINMUKA SURAT / PAGE: 27
TAJUK / TITLE: Kayveas bidas Pandithan persoalkan Sekolah Wawasan


Teks Keratan
KUALA LUMPUR 22 April – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas hari ini membidas Presiden Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), Datuk M. G. Pandithan berhubung kenyataannya mempersoalkan pelaksanaan Sekolah Wawasan di negara ini.
Menurut Kayveas, pelaksanaan Sekolah Wawasan secara berperingkat di negara ini melalui usaha kerajaan talah berjaya memupuk semangat intergrasi di kalangan para pelajar di bangku sekolah.
Katanya, malah kejayaan itu juga berjaya dikecapi tanpa menjejaskan kemajuan bahasa Cina dan bahasa Tamil.
“Pelaksanaan Sekolah Wawasan secara berperingkat melalui usaha kerajaan telah memupuk perpaduan di kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pandithan hari ini yang mempersoalkan usaha kerajaan melaksanakan Sekolah Wawasan.
Beliau yang juga Timbalan Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Presiden IPF itu seharusnya lebih berhati-hati sebelum membuat kenyataan.
Katanya, PPP akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan melaksanakan konsep Sekolah Wawasan di negara ini kerana ia tidak langsung akan menjejaskan pembangunan bahasa Cina dan Tamil.
“Kita bukannya berjuang untuk menutup sekolah Tamil tetapi ingin menyelamatkan nasib sekolah Tamil dan bahasa Tamil di negara ini,” katanya.
Sementara itu, PPP Wilayah Persekutuan turut membidas kenyataan sebuah akhbar Tamil baru-baru ini yang mencadangkan supaya parti PPP dibubarkan.
Setiausahanya, A. Chandrakumanan berkata: “Siapakah mereka untuk mencadangkan sedemikian ? PPP telah bertapak selama 50 tahun di Malaysia dan mempunyai sejarahnya tersendiri. Tidak sesiapa pun mempunyai hak untuk membuat kenyataan sensetif seperti itu.”