AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:17-Apr-2003HARI / DAY: KHAMIS
ISU / ISSUE:BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIAMUKA SURAT / PAGE: 1
TAJUK / TITLE: Melaka wujud SPI selamat mangsa nahas


Teks Keratan

KEMALANGAN jalan raya sememangnya tidak dapat dijangka dan tidak ada siapa
di dunia ini mahu ia berlaku apatah lagi jika kemalangan itu membabitkan
kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda.
Perkara ini boleh dielakkan jika setiap pihak menyedari peranan masing-
masing. Kesedaran ini bukan datang daripada sebelah pihak saja, sebaliknya
sebagai pemandu, kita harus sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah
dua agensi yang sentiasa memantau perkara ini selain Majlis Keselamatan
Jalan Raya (MKJR).
Pelbagai usaha termasuk kempen jalan raya, ceramah, pameran dan
penguatkuasaan undang-undang dilakukan bertujuan mengatasi kadar
kemalangan jalan raya, tetapi usaha ini masih tidak membuahkan hasil yang
dikehendaki.
Situasi ini disebabkan sikap pengguna jalan raya yang masih belum
terdidik atau lebih gemar menjadikan jalan raya sebagai gelanggang
perlumbaan.
Sebagai usaha menyelamat, kerajaan Melaka mendahului negeri lain apabila
menubuhkan Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) menggabungkan agensi berkaitan
dengan usaha menyelamat mangsa terbabit nahas.
Diketuai Polis cawangan Trafik, SPI turut dibantu Jabatan Bomba dan
Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Persatuan Bulan Sabit Merah
Malaysia (PBSM).
Anggota SPI beroperasi 24 jam berhampiran persimpangan lampu isyarat
Ayer Keroh, kerana kedudukan itu dianggap strategik dan memudahkan usaha
menyelamat.
Penubuhannya 29 Januari lalu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd
Ali Rustam yang turut mencetuskan idea penubuhan skuad itu dengan hasrat
menyediakan perkhidmatan bersepadu dan cekap dalam usaha menyelamat nyawa
mangsa nahas.
Gabungan mantap keempat-empat agen-si ini dijangka dapat memikul
tanggungjawab dengan berkesan menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya.
Skuad motosikal berkuasa tinggi bomba, ambulans dan JPA3 akan bergerak
ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan kecemasan, manakala polis
trafik akan mendahului ambulans ketika membawa mangsa ke hospital
terdekat.
Dengan cara ini mangsa akan cepat sampai ke hospital kerana tidak
tersekat di tengah jalan akibat kesesakan lalu lintas.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri yang juga Ketua Unit
SPI, Superintendan Onn Ahmad, berkata fungsi utama skuad ini ialah memberi
bantuan kecemasan kepada mangsa nahas jalan raya.
"Penubuhan SPI ini tepat pada masanya bagi membantu mangsa kemalangan
tanpa mengira tempat kejadian. Pendekatan 3E yang digunakan di negara ini
ialah, Education, Engineering dan Enforcement ditambah dengan satu lagi
`E' iaitu Emergency Services untuk membantu orang ramai," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan dalam tempoh 1 Februari hingga 21
Mac lalu, SPI menerima 14 panggilan kecemasan termasuk kemalangan maut.
"Dengan adanya SPI, usaha menyelamat mangsa dapat dilakukan dengan lebih
cepat dan berkesan," katanya.
Sementara itu, Ahli Bomba Kanan Omar Md Jali, berkata penubuhan SPI
adalah langkah terbaik untuk menyelamatkan mangsa kemalangan khususnya
yang cedera parah untuk dihantar ke hospital.
Beliau yang bertugas sejak 18 tahun lalu berkata, setakat ini tidak
banyak kemalangan yang serius, walaupun kadang kala berlaku dua hingga
empat kes sehari.
"Kadang-kadang sampai empat kemalangan berlaku dalam sehari. Biasanya
skuad kami akan pergi ke tempat yang berhampiran, manakala kes lain
diuruskan oleh skuad lain," katanya.
Sementara itu, Lans Koperal Nazarudin Nordin yang bertugas di Cawangan
Trafik PDRM, berkata apabila mendapat panggilan, empat unit akan bergerak
serentak untuk memberikan bantuan awal.
"Lazimnya kami bertugas mengikut giliran. Kadang-kadang ada kes, kadang-
kadang tidak ada," katanya.
Ketua Operasi JPA3, Kapten Shamsudin Mohd Ali, berkata jumlah kes
sentiasa meningkat dan ini membolehkan setiap anggota mahir dengan tugas
masing-masing.
"Apabila kes bertambah, ahli akan sentiasa bersedia untuk bertugas dan
ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran anggota JPA3," katanya.
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana anggota SPI terlatih dan
profesional dalam tugas masing-masing.
SPI bersedia memberikan bantuan kepada orang ramai terutama penduduk di
negeri ini. Anda boleh menghubungi SPI melalui talian 06-2232288 atau
berkunjung ke bilik operasinya di Ayer Keroh untuk bantuan kecemasan.