AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: SENTRAL
TARIKH / DATE:08-Apr-2006HARI / DAY: SABTU (SAT)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: C7
TAJUK / TITLE: Awas! Chikungunya


Teks Keratan
Penyakit menyebabkan bongkok dikesan di Kampung Baru Cina Bagan Panchor, Kampung Panchut di Perak

IPOH: Negara baru-baru ini dikejutkan dengan serangan virus Chikungunya yang sudah begitu lama tidak kedengaran, tetapi kini kembali menyerang penduduk negara ini.


Chikungunya adalah penyakit bawaan nyamuk dan dikesan berlaku di dua perkampungan nelayan di Pantai Remis, Perak selepas beberapa penduduknya menunjukkan tanda awal atau simptom yang dikaitkan dengan penyakit itu.

Dua kampung yang dilanda penyakit berkenaan iaitu Kampung Baru Cina Bagan Panchor dan Kampung Panchut dan hingga kini 30 kes dikesan Jabatan Kesihatan.

Antara simptom penyakit itu ialah demam, ruam, artritis, lenguh sendi dan pening kepala.

Chikungunya adalah penyakit urban yang menyamai denggi, dalam bentuk demam viral yang jarang ditemui, diakibatkan alphavirus yang disebarkan nyamuk Aedes.

Nama Chikungunya berasal daripada bahasa Swahili yang bermakna ‘menyebabkan keadaan membongkok’, merujuk kepada kedudukan tubuh badan pesakit seakan-akan bongkok akibat simptom artritis penyakit itu.

“Ini adalah kali pertama kita kesan penyakit Chikungunya dalam negara sejak 1999,” kata Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Ramlee Rahmat.

Jangkitan terakhir di Malaysia sebelum ini berlaku pada 1999 apabila 27 orang dijangkiti di Pelabuhan Klang, Selangor. Chikungunya dikesan kali pertama di Tanzania, Afrika pada 1952.

Dr Ramlee berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan arahan berjaga-jaga kemungkinan penularan penyakit itu sejak dua minggu lalu.

“Ia dikesan selepas seorang pegawai perubatan di kawasan itu melaporkan kepada Jabatan Kesihatan mengenai sekurang-kurangnya 30 penduduk kampung berkenaan didapati mengalami simptom menyamai penyakit Chikungunya,” katanya.

Mereka menghidap demam, ruam, artritis atau sengal serta lenguh sendi dan pening kepala.

Jabatan Kesihatan juga sudah menjalankan ujian ke atas 200 rumah di kampung berkenaan dan daripada jumlah itu 208 penghuni disyaki dijangkiti Chikungunya dan denggi.

Daripada jumlah itu, lima kes dirujuk ke Hospital Manjung untuk rawatan lanjut dengan empat pesakit dibenarkan keluar, manakala seorang ditahan untuk pemerhatian lanjut.

Bagaimanapun, adalah tidak memeranjatkan jika penyakit itu menular kerana tinjauan yang dibuat di kampung berkenaan mendapati ia berpunca daripada masalah kebersihan yang teruk kerana kawasan itu dicemari sampah-sarap serta saliran tersumbat sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon, yang melawat kampung itu baru-baru ini, berkata walaupun Chikungunya tidak berbahaya dan mengancam nyawa manusia, tindakan segera perlu diambil kerana ia mungkin membabitkan wabak denggi.

Katanya, hingga kini, belum ada vaksin untuk penyakit Chikungunya, tetapi sebagai langkah pencegahan penduduk diminta mendapatkan rawatan awal jika ada simpton penyakit.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan penyakit itu dibawa oleh pekerja asing yang bekerja di perkampungan nelayan berkenaan yang pernah menular di beberapa kepulauan Lautan Hindi tahun lalu.

Seorang penduduk, Lee Sooi Teoh, 43, mendakwa beberapa pekerja asing di kampung berkenaan berkemungkinan tidak menjalani ujian perubatan mengikut prosedur yang betul dan membawa penyakit itu ke kampung berkenaan.

Sooi yang baru sembuh daripada penyakit itu kira-kira sebulan lalu berkata, walaupun sampah-sarap menjadi sarang pembiakan nyamuk berkenaan, virus itu mungkin datang dari tempat lain.

“Kami sudah tinggal di kampung ini sejak 100 tahun lalu, dan masalah sampah-sarap bukan perkara baru. Tetapi kenapa penyakit itu menular sekarang,” katanya.

Dr Ramlee berkata, berikutan pengesahan ujian makmal, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah seperti semburan asap, membersihkan dan juga menyediakan pendidikan kesihatan kepada orang ramai di kawasan kampung yang dijangkiti.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang ditubuhkan sejak 1902 dalam kajiannya mendapati Aedes adalah antara nyamuk amat berbahaya di Malaysia kerana ia pembawa virus penyakit atau vektor bagi penyakit denggi yang belum ada ubat.

Dua jenis nyamuk Aedes yang dikenal pasti membawa virus denggi ialah Aegypti dan Albopictus. Selain membawa virus denggi, dua jenis nyamuk itu juga menyebabkan Chikungunya, denggi berdarah dan demam kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Chang Ko Young yang turut meninjau kampung berkenaan, berkata punca penyakit itu menular ialah penduduk tidak mempunyai sistem pengurusan pembuangan sampah yang cekap.

Beliau berkata, keadaan bertambah teruk kerana penduduk enggan membayar cukai taksiran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjalankan kerja mengangkut sampah.

Sehubungan itu, katanya, penduduk di kampung terbabit boleh memilih untuk berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Manjung (MPM) atau Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kerana kampung itu berada di sempadan kedua-dua majlis berkenaan.

“Apapun, perkara yang utama perlu dilakukan penduduk adalah membayar cukai taksiran bagi membolehkan PBT yang mereka pilih menjalankan kerja pembersihan pembuangan sampah sarap secara lebih tersusun.

“Bagaimanapun, jika penduduk mahu kekal tidak berada dalam mana-mana pentadbiran PBT, mereka boleh menubuhkan jawatankuasa penduduk untuk melantik kontraktor bagi menjalankan kerja pembersihan.

“Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk meluluskan peruntukan bagi menyediakan tong sampah besar bagi melupuskan sampah, tetapi ia semua terpulang kepada keputusan penduduk sendiri,”katanya.