AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:09-Apr-2005HARI / DAY: SABTU (SAT)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 7
TAJUK / TITLE: JPH syor PBT sedia cip lesen anjing


Teks Keratan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menyarankan supaya semua
pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan pelaksanaan sistem
pelesenan anjing yang menggunakan mikrocip.
Ketua Pengarah JPH, Datuk Dr Hawari Hussein, berkata pemasangan alat
mikrocip pada belakang telinga anjing itu dijangka dapat memudahkan
operasi pihak berkuasa mengesan anjing terbiar.
Katanya, setakat ini, keputusan berhubung pelaksanaan sistem itu belum
ditetapkan, tetapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah
mengemukakan cadangan terbabit.
"Jabatan akan membantu PBT dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenis
mikrocip, kod yang boleh diguna pakai dan senarai veterinar yang
diiktiraf untuk memasang alat berkenaan.
"Bagaimanapun, setiap PBT perlu memastikan pemilik anjing dikenakan
bayaran munasabah," katanya ketika dihubungi, semalam.
Isu berkaitan anjing mendapat liputan meluas berikutan kejadian seorang
pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Putra Perdana diserang sekumpulan
empat anjing kira-kira 100 meter dari rumahnya di Taman Putra Perdana,
Puchong, bulan lalu.
Muhammad Hazman Khan Seh Zahidi, 9, menerima 180 jahitan di kepala,
leher dan badan akibat diserang tiga anjing jenis kacukan termasuk
Rottweiler dan German Shepherd serta seekor anjing biasa.
Berikutan itu, Pegawai Perhubungan Awam Persatuan Pencegahan
Penganiayaan Haiwan (SPCA), Sabrina Yeap mengemukakan memorandum meminta
semua anjing dipasang mikrocip bagi memudahkan proses mengesan pemiliknya.
Harga setiap mikrocip dianggarkan antara RM16 dan RM18 yang dipasang
seumur hidup. Pada 2003, DBKL memaklumkan memperkenalkan lesen mikrocip
untuk dipasang pada anjing bagi menangani masalah haiwan terbiar.