AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:18-Mar-2006HARI / DAY: SABTU (SAT)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 3
TAJUK / TITLE: Wajibkan kajian kesan sosial


Teks Keratan
PUTRAJAYA 17 Mac - Setiap projek pembangunan di semua peringkat yang hendak dilaksanakan pada masa depan dikehendaki menyediakan kajian terhadap penilaian kesan sosial membabitkan masyarakat setempat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan akan menjamin kesejahteraan masyarakat dalam usaha membendung masalah gejala sosial yang kian meningkat pada ketika ini.

Sehubungan itu beliau berkata, Majlis Sosial Negara (MSN) hari ini memutuskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan satu rangka tindakan (blueprint) mengenai pendekatan dan kaedah yang akan digunakan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu diluluskan Kabinet, ia akan diguna pakai melalui mekanisme di peringkat negeri, daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa, Keselamatan, Kemajuan Kampung (JKKK).

"Kita mengambil maklum tentang trend gejala sosial yang berterusan, dalam erti kata peningkatannya masih ketara melibatkan semua petunjuk yang telah dikumpulkan seperti penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, sumbang mahram dan (penagihan) dadah.

"Oleh kerana keadaan ini memerlukan satu bentuk tindakan yang serius, ini bererti ia mestilah menjadi sebahagian daripada tindakan dan agenda dalam arus perdana pentadbiran kerajaan,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan MSN kali ketiga di sini hari ini.

Sebanyak enam kertas kerja dibentang dalam mesyuarat itu membabitkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Belia dan Sukan serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Pada ketika ini projek pembangunan yang hendak dilakukan mensyaratkan kelulusan Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA) sahaja tanpa melibatkan sebarang kajian mengenai penilaian terhadap kesan terhadap sosial masyarakat.

"Umumnya selama ini kita memberikan tumpuan kepada pembangunan bersifat fizikal dan kewangan, kita merasa puas hati apabila sesuatu projek serta program pembangunan dilaksanakan dan apabila dilaporkan perbelanjaan sebanyak 100 peratus dibelanjakan.

"(Sebaliknya) Jarang kita membuat perkiraan dan penilaian dari segi kesan sosial sejauh mana ia memberikan kesan ke atas kesejahteraan sosial,'' kata beliau.