AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:17-Mar-2004HARI / DAY: RABU
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 13
TAJUK / TITLE: Johor bumi subur, janjikan hidup selesa


Teks Keratan

JOHOR, negeri paling ke selatan tanah air boleh diibaratkan sebagai `lubuk emas' menjanjikan kemewahan kepada sesiapa saja yang rajin berusaha, baik peladang, nelayan, petani, penjaja, peniaga mahupun usahawan kecil.
Potensi menjadi kaya raya atau sekurang-kurangnya dapat hidup selesa itulah yang menjadi antara punca utama penghijrahan begitu ramai penduduk dari luar ke negeri berkenaan.
Semuanya kerana kemakmuran Johor yang bukan saja pesat membangun dari segi fizikal, tetapi turut dikurniakan bumi yang subur serta punca air mentah yang banyak.
Kesuburan tanah itulah memberi keyakinan kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang percaya Johor akan terus menjadi pengeluar utama bahan makanan negara.
"Kerajaan negeri memang memberi tumpuan kepada bidang pertanian yang menjadikan Johor sebagai pengeluar utama makanan merangkumi pelbagai jenis hasil tani," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini memperuntukkan lebih 3,200 hektar tanah kepada 28 PPK di Johor dengan hasrat usaha melahirkan petani maju dan moden akan berjaya jika sebahagian kawasan itu dibangunkan golongan belia.
Matlamat mewujudkan masyarakat tani, nelayan dan peladang yang lebih moden itu turut mendapat suntikan melalui pelaksanaan Projek Pertanian Moden berskala besar di Kluang.
Projek di kawasan seluas 3,400 hektar yang disertai 21 pengusaha swasta itu bukan saja dapat menjana pertumbuhan sektor pertanian, tetapi juga memberi limpahan manfaat kepada masyarakat sekitar.
Ia diurus secara komersial dengan Kementerian Pertanian menjadi pemudahcara menyediakan tapak, kemudahan infrastruktur dan pakej insentif kepada syarikat swasta yang menyertainya.
Projek berkenaan dilaksanakan di kawasan seluas 3,440 hektar meliputi Pusat Ternakan Haiwan Padang Hijau di Kahang, Institut Haiwan dan Pusat Ternakan Haiwan Ayer Hitam serta Institut Pertanian Ayer Hitam.
Projek yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengandungi aktiviti ternakan lembu, kambing, biri-biri, tanaman buah- buahan dan sayur-sayuran, herba, ternakan air serta pelancongan berasaskan pertanian.
Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri juga sebelum ini meluluskan 6,000 hektar untuk projek tanaman makanan, 2,800 hektar bagi penternakan serta 10,000 hektar lagi untuk kegiatan akuakultur.
"Bidang akuakultur dijalankan di beberapa sungai yang sesuai untuk penternakan ikan seperti Sungai Balang, Sungai Johor dan Sungai Kulai," katanya.
Antara projek akuakultur terbesar di Johor ialah di kawasan seluas 112 hektar di Sungai Pulai, dekat Gelang Patah, Johor Bahru yang terletak dalam Pusat Pembangunan Industri Akuakultur.
Selain itu, petani moden yang pernah mendapat tempat di akhbar sebelum ini ialah Sarmin Arsat, 32, dari Kampung Bukit Samsu, Kota Tinggi yang mengusahakan projek rumpai akuatiknya.
Bermula dengan lima kolam dan usaha secara kecil-kecilan, disusuli jualan pertama yang bernilai RM1,200, beliau terus mengorak langkah
sehingga mampu membekalkan rumpai ke Singapura, Kuala Lumpur dan pasaran tempatan.
Ketika ini, purata pendapatannya RM17,000 sebulan dan permintaan semakin meningkat setiap bulan, semuanya hasil usaha gigih Sarmin serta bantuan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor
(PPNJ).

Bagi membuktikan komitmen melahirkan masyarakat tani berdaya saing, kerajaan negeri meluluskan permohonan pembangunan tanah terbiar seluas 408.3 hektar di seluruh negeri dengan 287 peserta berkelompok dalam tempoh dua tahun lalu.
Pada tempoh sama juga, sebanyak RM1.17 juta diluluskan sebagai peruntukan dalam bentuk geran membeli barang keperluan untuk peserta melaksanakan projek pembangunan kawasan terbiar berkenaan.
Usaha melahirkan penjaja dan usahawan berdaya saing pula diterjemahkan melalui perancangan pembangunan pusat perniagaan yang lebih lengkap dan selesa.
Pembinaan gerai setara di lokasi strategik dilaksanakan dari masa ke semasa, bukan saja untuk menyusun peniaga daripada berselerak, tetapi juga bagi memastikan mereka beroperasi di premis lebih menyelesakan.
Usahawan kecil dan sederhana, sama ada beroperasi di bandar atau luar bandar juga turut mendapat bantuan kerajaan dengan peruntukan yang besar dari masa ke semasa, khidmat nasihat serta peralatan.
Bantuan itu perlu kerana Johor juga aktif mengeluarkan makanan ringan melalui 2,500 pengusaha di seluruh negeri itu dengan jumlah perolehan tahunan mencecah kira-kira RM45 juta.
Pengusaha Makanan Ringan Noor Asyikin di Parit Kemang, Batu Pahat, Jumenah Saat, 52, adalah antara yang mendapat manfaat khidmat nasihat dan peralatan daripada kerajaan.
Dengan modal permulaan RM5,000 dikeluarkan sendiri, beliau memperolehi mesin penguli dari Kemas, mesin pembancuh dari Jabatan Pertanian serta pembiayaan mengubah suai pusat pengumpulan keluarannya.
"Perniagaan sekarang menggalakkan sehingga kami berjaya membekalkan produk popia mini berperisa udang ke Jepun, Singapura dan Taiwan, selain pasaran tempatan," katanya.
Syarikatnya kini mengeluarkan lebih 20 jenis produk dari kerepek pisang dan ubi, cakar ayam sehingga kuih muih tradisional, selain bertindak sebagai pemborong.
"Kami berterima kasih kepada khidmat nasihat yang diberikan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan bantuan pemasaran oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.
Mara Johor pula sedia menimbang untuk menambah peruntukan sehingga melebihi RM10 juta setahun melalui skim pinjaman modal kepada pemborong Bumiputera bagi membiayai pelaksanaan projek masing-masing di negeri ini.
Secara purata, Mara negeri menyediakan peruntukan RM10 juta setahun untuk membantu pemborong Bumiputera mendapatkan pinjaman dengan kadar perkhidmatan mengikut hukum syariah.
Selain menyediakan skim pinjaman modal kepada pemborong, agensi itu juga menyediakan pinjaman kepada usahawan dan peniaga kecil Bumiputera bagi mengembangkan perusahaan dan perniagaan masing-masing.
Kajian sebelum ini mendapati sekurang-kurangnya tujuh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana di Johor berpotensi disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Syarikat berkenaan, antaranya terbabit dalam pengeluaran makanan ringan dan herba mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM2 juta sehingga kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk melihat ia disenaraikan di Papan Kedua BSKL.
Sejak empat tahun lalu pula, seramai 487 peserta Program Galakan Usahawan Negeri Johor (PGUNJ) menerima bantuan lebih RM2.5 juta daripada kerajaan negeri untuk menjalankan pelbagai projek industri kecil.
Peruntukan terbesar sebanyak RM919,083 diluluskan oleh kerajaan negeri pada 2001 sebagai bantuan kepada 218 peserta program berkenaan di seluruh Johor, manakala RM792,186 lagi diluluskan sepanjang 2002 kepada 128 peserta.
Bagi membantu peserta projek industri kecil tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM840,020 sebagai bantuan kepada 141 peserta program itu.

Selain itu, RM6.13 juta diperuntukkan sebagai skim pinjaman untuk peserta program Satu Mukim Satu Industri (SMSI) sejak enam tahun sebelum ini dan ia memanfaatkan 245 pengusaha.
Daripada jumlah peruntukan yang dikeluarkan setakat hujung tahun lalu, skim pinjaman terbesar disalurkan pada 2001 membabitkan RM1.21 juta, manakala RM1.18 juta lagi sepanjang tahun lalu.
Sejak 1997, seramai 245 peserta program SMSI dari seluruh Johor menerima skim pinjaman berkenaan dengan jumlah penyertaan terbesar di Mersing membabitkan 52 peserta.
Semua bantuan itu untuk memastikan golongan mana sekalipun sama ada petani mahupun nelayan, penjaja atau usahawan, pekebun kecil atau peladang mendapat perhatian dan dipastikan tidak tercicir dalam perancangan Kerajaan Johor.