AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:22-Jul-2004HARI / DAY: KHAMIS (THUR)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 1
TAJUK / TITLE: Alam Flora pusat sehenti pengurusan sisa pepejal


Teks Keratan
PETALING JAYA: Mulai bulan depan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) akan
menjadi pusat sehenti bagi semua aduan berkaitan pengurusan sisa pepejal
dan orang ramai tidak perlu menghubungi pihak ketiga untuk menyelesaikan
masalah berkaitan sisa buangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohd Siraj Abdul Razack,
berkata semua aduan akan ditujukan terus ke Pusat Perkhidmatan Pelanggan
Setempat untuk Pengurusan Sisa Pepejal.
Beliau berkata, pusat yang diwujudkan bagi mengelak pertindihan kerja
dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan tertentu akan mula
mengendalikan semua aduan mengenai kebersihan bulan depan.
"Semua aduan akan dikendalikan Alam Flora. Orang ramai hanya perlu
menghubungi talian bebas tol 1-800-880-880 untuk menyatakan masalah mereka
dan tidak perlu mengganggu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau wakil
rakyat menyelesaikan masalah sekecil longkang tersumbat.
"Sementara aduan itu difailkan oleh wakil rakyat, mungkin masalah itu
sudah pun diselesaikan. Ia menjimatkan masa serta mengurangkan beban PBT
yang boleh menumpukan perhatian untuk kerja lain," katanya kepada
pemberita pada majlis penyerahan tong sampah kepada pengusaha makanan
Selera Wawasan SS3/33 dan pelancaran Skuad 911 Alam Flora di sini,
semalam.
Majlis itu dirasmikan Adun Kampung Tunku, Datuk Dr Wong Sai Hou.
Mohd Siraj juga berkata, langkah itu bagi memastikan masyarakat menerima
perkhidmatan dengan pantas dan berkesan.
Sementara itu, beliau berkata, Alam Flora masih menunggu kerajaan
mempertimbangkan penswastaan penuh syarikat itu supaya dapat meningkatkan
taraf perkhidmatan pengurusan sisa pepejal.
Katanya, syarikat mempunyai rancangan melengkapkan pengurusan sisa
pepejal dengan peralatan moden dan canggih, tetapi hanya dapat
dilaksanakan apabila Alam Flora menjadi syarikat konsesi kerajaan.
"Penswastaan hanya akan dibuat selepas parlimen meluluskan Akta
Pengurusan Sisa Pepejal dan tanpa akta ini pelbagai usaha pengurusan sisa
pepejal tidak dapat dijalankan kerana membabitkan banyak peraturan,"
katanya.
Pada majlis itu, Alam Flora memperkenalkan Skuad 911 untuk meningkatkan
mutu perkhidmatannya bagi kes kecemasan di kawasan Selera Wawasan SS3.
Menerusi skuad itu, Alam Flora akan mengambil tindakan pantas terhadap
masalah pembersihan selepas banjir kilat, kebakaran, kemalangan jalan raya
serta memastikan kutipan sampah dibuat mengikut jadual.
Mohd Siraj berkata, kos pembersihan tambahan ditanggung sepenuhnya Alam
Flora untuk memastikan mutu perkhidmatan memenuhi permintaan pelanggan.
"Skuad 911 yang kini memberi tumpuan di kawasan Petaling Jaya dan Lembah
Klang juga akan ditempatkan di sekitar kawasan Shah Alam dan dan Selangor
dalam tempoh dua bulan lagi," katanya.