AKHBAR / NEWSPAPER:HARIAN METROSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:22-Apr-2004HARI / DAY: KHAMIS (THUR)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 41
TAJUK / TITLE: Perkenal konsep 3R untuk pemuliharaan sekitar


Teks Keratan

ISU mengenai pencemaran alam sekitar memang sudah lama dibincangkan. Dalam
menjalani kehidupan yang sihat, alam persekitaran yang bersih adalah aspek
utama yang perlu diambil kira. Sebagai syarikat yang dipertanggungjawabkan
untuk mengurus sisa pepejal, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) sering
memberi penekanan kepada pemuliharaan alam sekitar.
Antara konsep yang diperkenalkan ialah 3R iaitu `Reduce' (kurangkan),
`Reuse' (guna semula) dan `Recycle' (kitar semula). Ia nampak mudah,
tetapi berapa ramai yang mengamalkannya?
"3R adalah satu set kelakuan untuk menjana gaya hidup yang mapan dalam
menjamin masa depan kehidupan generasi akan datang. Dalam gaya hidup
sekarang, kita memang perlu mengamalkan konsep 3R untuk mengimbangi apa
yang kita gunakan," kata Eksekutif Kanan, Jabatan Perancangan Operasi Alam
Flora, Mohd Izham Mohd Ilhan.
'Reduce' membawa maksud mengurangkan jumlah apa yang kita ambil atau
gunakan setiap hari dan dihadkan kepada apa yang perlu sahaja. Sebagai
contohnya, setiap kali kita membungkus makanan di kedai pasti kita
menggunakan sehingga dua atau tiga keping beg plastik (ia pula akan
dibuang sebaik sahaja tiba di rumah).
"Jadi, memadailah ia hanya dibungkus dengan satu plastik sahaja. Selain
itu langkah yang paling baik ialah dengan membawa bekas anda sendiri.
"Penggunaan plastik perlu dikurangkan kerana ia adalah bahan yang amat
sukar untuk dilupuskan dan boleh memakan masa sehingga beratus-ratus
tahun. Di samping itu, pembuangan plastik juga boleh menjejaskan kualiti
tanah," kata Izhan.
`Reuse' atau guna semula pula amat mudah untuk diamalkan. Contohnya,
botol air mineral boleh diguna semula dengan mengisi air bersih untuk
kegunaan seharian. Selain itu, tin minuman boleh diguna sebagai bekas
meletak alat tulis manakala bekas kaca boleh dijadikan bekas untuk mengisi
barang keperluan dapur seperti gula, garam dan serbuk rempah.
Bagi `recycle' atau kitar semula pula memang sudah lama dimulakan. Kini,
banyak pusat kitar semula dibuka di kawasan tumpuan ramai untuk memudahkan
orang ramai menghantar barangan yang boleh dikitar semula. Antara bahan
yang boleh dikitar semula ialah kertas, bekas plastik, botol kaca, logam
dan aluminium termasuk perkakas elektrik.
"Hasil penyebaran maklumat mengenai kitar semula, banyak pihak sudah
mula sedar akan kebaikannya. Cuma setakat ini ia hanya tertumpu ke kawasan
tertentu sahaja tetapi akan diperluaskan lagi," kata Izhan.
Dalam menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup 3R, Alam Flora giat
menyebarkan maklumat mengenainya. Mereka banyak mengadakan program untuk
sekolah seperti ceramah, kitar semula dan mengedarkan risalah. Di samping
itu, program terbabit turut dijalankan bersama masyarakat menerusi
persatuan penduduk dan syarikat.
"Dalam menguruskan sisa pepejal, kami sebenarnya memerlukan kerjasama
dan tolak ansur daripada semua pihak. Masyarakat perlu fikirkan mengenai
konsep 3R adalah lebih baik mereka mengasingkan sendiri barangan yang
boleh dikitar semula di rumah. Ia adalah sebagai langkah untuk memastikan
barang terbabit tidak rosak dan kami pula akan menyediakan pusat kitar
semula," katanya.