AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:23-Apr-2004HARI / DAY: JUMAAT
ISU / ISSUE:LAIN-LAINMUKA SURAT / PAGE: 7
TAJUK / TITLE: Menangani rasuah secara menyeluruh


Teks Keratan
APA sebenarnya maksud perkataan integriti? Istilah yang dipinjam daripada bahasa lnggeris, integrity, kini semakin kerap digunakan walaupun maksud sebenarnya masih kurang difahami dan samar-samar bagi kebanyakan orang terutama di kampung-kampung.
Perkataan integral membawa maksud menyeluruh, padu manakala integritas bermaksud kebulatan, keutuhan dan kejujuran.
Ada yang berpendapat, integriti mempunyai makna nilai-nilai murni, tidak kurang juga yang mengaitkan istilah tersebut dengan perkataan Arab - syumul - yang membawa maksud kesempurnaan.
Justeru sepanjang berlangsungnya 12 seminar untuk membincangkan mengenai pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), isu utama yang menjadi tumpuan para peserta ialah makna perkataan integriti.
Kebanyakan peserta cuba mencari satu perkataan yang boleh menggambarkan . makna integriti secara keseluruhannya sebelum mampu mengemukakan cadangan bagi merealisasikan pembentukan PIN.
Bertolak dari buah fikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, usaha untuk merealisasikan pelaksanaan PIN tertumpu kepada proses membentuk masyarakat Malaysia yang bebas daripada amalan-amalan negatif.
Bukan seperti Perlembagaan atau al-Quran, pelaksanaan PIN boleh dipinda dari semasa ke semasa supaya bersesuaian dengan kehendak serta perkembangan zaman.
PIN adalah satu rangka kerja komprehensif dan holistik untuk mengkaji amalan terbaik, mekanisme baru, jawatankuasa serta struktur bagi menggalakkan urus tadbir yang baik iaitu akauntabiliti ketelusan dan kecekapan di seluruh negara.

Dengan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman dan terletak di bawah naungan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan, PIN menjadi wadah kerajaan untuk meneruskan corak pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.

Objektif utama PIN adalah untuk mencegah rasuah serta menerapkan perubaban dalam sikap perkhidmatan awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat secara keseluruhan.

Berwibawa

Langkah itu juga diyakini dapat menjadikan mereka lebih berwibawa, selaras dengan prinsip pengurusan yang baik serta beretika.Di bawah pelan itu, sebuah institut yang dikenali sebagai Institut Etika Awam Nasional (IEAM) akan ditubuhkan, Walaupun nama IEAM dicadangkan, para peserta seminar turut diberi kebebasan untuk mengemukakan lain-lain cadangan.
Justeru, agak menarik apabila salah sebuah kumpulan yang mengambil bahagian dalam siri seminar itu mencadangkan supaya IEAM dikenali sebagai INTIM atau institut integriti Malaysia supaya ia lebih intim kepada masyarakat.
Fungsi institut ini, antara lain, adalah untuk menyediakan latihan mengenai etika dan amalan yang sihat, menjalankan penyelidikan mengenai kewibawaan institusi dan sosial; mengadakan seminar, bengkel dan persidangan; serta menjalin kerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan agensi lain, untuk meningkatkan pengetahuan awam mengenai pencegahan rasuah.
Kedua-dua kertas cadangan pembentukan PIN dan penubuhan IEAM untuk menggalakkan urus tadbir yang berkesan, akauntabiliti serta kecekapan sektor awam disediakan berasaskan siri 12 seminar.
Setelah mendapat pelbagai cadangan serta pandangan peserta-peserta seminar, Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan IEAM dan PIN menyusun satu persatu agenda yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, hari ini.
Sama ada terdapat cadangan baru nama pelan tersebut atau institut Iatihan bagi meningkatkan integriti, ia semestinya tidak lari daripada tujuan asal yang dirancangkan.
Sebanyak 12 siri seminar yang melibatkan kumpulan sasaran iaitu pelajar, NGO, swasta dan profesional telah diadakan.
Jawatankuasa itu mengambil masa sehingga akhir Februari lalu bagi mendapatkan pandangan dan pendapat kumpulan sasaran tersebut dalam usaha memantapkan lagi IEAM dan PIN.

Mampu

Pelan yang dibentangkan hari ini adalah hasil pandangan semua pihak, sehubungan itu ia diyakini mampu mencukupi semua aspek yang diperlukan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti.

Penubuhan PIN dan IEAM diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lalu dalam usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan hingga ke akar umbi.

Untuk memastikan PIN dapat dilaksanakan dengan jayanya, IEAM ditubuhkan bagi menjalankan objektif PIN melalui penyelidikan, pendidikan, latihan dan persidangan.
Sememangnya sejak memegang tampuk pemerintahan negara, Abdullah mengorak pelbagai langkah ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan membasmi amalan rasuah.
Usaha Perdana Menteri itu mencakupi , pelbagai pihak di pelbagai agensi termasuk mengarahkan semua menteri membentuk dan mengetuai pasukan petugas di kementerian masing-masing untuk mengurangkan kerenah birokrasi di setiap kementerian, dan jabatan di bawah kementerian masing-masing.
Agensi-agensi yang dikenal pasti sering dikongkong oleh karenah birokrasi terutama yang berada di baris hadapan turut diarah supaya menjalani proses penilaian semula. Bermula dengan pejabat tanah, pejabat daerah, dan majlis tempatan, agensi yang sering berurusan dengan orang ramai ini sememangnya perlu meningkatkan kecekapan serta mengurangkan tempoh pemprosesan perkhidmatan.
Proses peningkatan melalui pengurangan birokrasi bukan sahaja akan menghasilkan kecekapan, tetapi juga dapat mencegah rasuah seperti yang ditekankan dalam PIN.
Apa yang nyata PIN juga bertujuan memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika.
Sehingga kini belum ada satu mekanisme menyeluruh untuk melibat semua sektor seperti swasta, parti politik, NGO, agama, media, wanita, belia dan pelajar dalam gerakan pemantapan integriti secara bersepadu.
Justeru PIN diyakini mampu memberi bimbingan kepada keseluruhan sektor berkenaan.
Pelaksanaan pelan itu juga membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi masyarakat maju mengikut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Yang pasti sasaran serta matlamat PIN tidak pernah dipersoalkan oleh mana- mana pihak. Niat murni kerajaan ternyata untuk mengurangkan gejala rasuah secara berkesan dan meningkatkan kecekapan dalam sistem khidmat awam, mengatasi kerenah birokrasi dan penyelewengan.
Selain itu, kerajaan juga berusaha memainkan peranan meningkatkan urus tadbir korporat dan etika perniagaan serta memantapkan institusi keluarga dan masyarakat.
Yang penting keprihatinan kerajaan itu tidak lain tidak bukan bertujuan bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.