AKHBAR / NEWSPAPER:UTUSAN MALAYSIASEKSYEN / SECTION: DALAM NEGERI
TARIKH / DATE:18-Apr-2006HARI / DAY: SELASA (TUE)
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 11
TAJUK / TITLE: Cerita air busuk terus berpanjangan


Teks Keratan
ADA lagi pencemaran air busuk akibat ammonia? Pertanyaan ini pastinya akan menjadi topik perbualan di kalangan masyarakat Malaysia pada waktu ini. Entah sampai bilakah kita ingin melihat pencemaran ammonia terus berlaku.

Jika hendak bertanya kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), jawapan biasa akan dibuat iaitu kami akan mengambil contoh air dan akan mengambil tindakan lanjut.

Data contoh air entah hilang ke mana sehingga tiada penyelesaian.

Jika diambil tindakan lanjut bermakna ia akan dikuburkan sahaja kerana kita sudah biasa dengan kerja JAS kerana orang ramai sudah dapat meneka ke mana isu ini akan dibawa iaitu ‘kes senyap’.

Inilah cabaran yang kita harus hadapi kerana kita masih lagi berdepan dengan isu pencemaran air tanpa henti dan kelemahan penguatkuasaan.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa dukacita dengan insiden tersebut dan mengarahkan pihak berkaitan terutamanya JAS supaya lebih serius menjalankan penguatkuasaan bagi mengelakkan pencemaran sungai dan banjir kilat.

Kisah terbaru melaporkan lebih dua juta penduduk di daerah Kuala Langat, Hulu Langat, Petaling dan Sepang terputus bekalan air beberapa hari lepas kerana pencemaran air busuk ammonia di Sungai Semenyih.

Isu pencemaran ammonia di Kampung Sungai Gatom dan Bukit Tagar sudah cukup membayangkan betapa lemahnya penguatkuasaan dalam menangani isu alam sekitar.

Apabila Perdana Menteri mengarahkan agar penguatkuasaan bertindak lebih serius masih ada lagi jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak bertaring.

Rakyat yang mengalami gangguan air baru-baru ini mungkin berasa was-was dengan mutu air dibekalkan kerana mengetahui bekalan air terputus akibat pencemaran yang berpunca daripada air kotor dari pusat pelupusan sampah Sungai Chembong milik Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

Undang-undang alam sekitar negara yang lemah menyebabkan pemilik pelupusan sampah menggunakan sistem kambus yang tidak terurus, terlepas daripada dikenakan tindakan. Kebanyakan pusat pelupusan sampah tidak mempunyai loji rawatan leachate menyebabkan banyak sungai yang tercemar dan menjadikan sungai sebagai tong sampah.

Inilah mentaliti perancangan pihak-pihak yang berkuasa di negara ini yang sentiasa memandang rendah terhadap alam sekitar.

Pusat Pelupusan Sampah di Bukit Tagar yang dikatakan terbaik di Malaysia masih lagi menjadi punca kepada pencemaran bekalan air apatah lagi sistem pelupusan sampah di tempat lain.

Selangor sebagai sebuah negeri maju sepatutnya tidak berhadapan dengan masalah ini kerana mereka wajar menyediakan pelan perancangan yang sistematik terutamanya kawasan pembuangan sampah agar tidak memberi kesan terhadap alam sekitar.

Namun begitu air Selangor sering kali berhadapan dengan masalah pencemaran. Menteri Besar Selangor harus memandang serius masalah berkaitan kualiti air sungai yang menjadi punca bekalan air kepada penduduk Lembah Klang.

Penguatkuasaan

Rakyat Malaysia sudah pastinya ingin melihat perkembangan positif pada 28 April 2006 apabila Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal iaitu termasuk undang-undang yang lebih tegas dikenakan terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar.

Pesalah alam sekitar di Malaysia semakin bermaharajalela kerana mereka tidak takut dengan perundangan Malaysia, begitu juga penguatkuasaan JAS.

Tambahan pula membuang sisa pepejal di dalam sungai atau di dalam hutan lebih menjimatkan kos berbanding denda yang dikenakan terhadap mereka.

JAS perlu diperkasakan dan dilihat lebih agresif dan mampu menakutkan pesalah alam sekitar.

Selebihnya, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pula perlu bertindak dengan lebih berani dan lantang dalam menangani pencemaran alam sekitar yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Isu alam sekitar bukan sesuatu isu yang remeh malah ia menentukan kualiti rakyat Malaysia.

Mengapa perkara ini terus berlaku, sedangkan sudah terdapat peraturan yang mana menghendaki para pemaju yang menjalankan pembangunan di sesuatu kawasan perlu memproses terlebih dahulu bahan kumbahan sebelum dibuang ke dalam sungai.

Selain itu, kekurangan kos dan teknologi dalam meningkatkan kualiti air sungai telah menyebabkan air buangan dari pembentungan setempat tidak dapat dirawat dengan baik sebelum ia dilepaskan ke dalam sistem sungai.

Kualiti air sungai yang agak tercemar itu pula akan menjadi sumber kegunaan penduduk Lembah Klang.

Rakyat Malaysia amat mengharapkan agar semua pihak memandang isu alam sekitar sebagai isu nasional bukannya remeh.

Air busuk, pencemaran alam sekitar, pembuangan sisa toksik dan pelbagai lagi isu yang membabitkan alam sekitar perlu diberi perhatian sewajarnya.


- EZARUDDIN ABD RAHMAN
Bandar Bukit Jalil,
Kuala Lumpur.