AKHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:24-Mar-2004HARI / DAY: RABU
ISU / ISSUE:KERAJAAN TEMPATANMUKA SURAT / PAGE: 5
TAJUK / TITLE: Hari Mesra Kraf Kuala Kangsar meriah


Teks Keratan
MERIAH dan terjalin kemesraan. Pemandangan itu jelas terakam pada majlis Hari Mesra Kraf yang disambut di Kampung Jenalik Hilir, Sauk, Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Pelbagai kegiatan diadakan pada hari itu termasuk pertandingan mengambil dan membelah mengkuang, pameran produk anyaman, Edu-kraf Anyaman dan pertandingan menganyam ketupat. Selain itu, ada acara gotong-royong memasak bubur asyura dan mengacau dodol.
Majlis diadakan bagi meraikan masyarakat setempat yang berjaya membangunkan semula kegiatan menganyam mengkuang menerusi Projek Satu Daerah Satu Industri (Odoi) dengan jenama Kraf Jenalik itu, dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Zakiah Hashim dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Zakiah Ahmad.
Hari Mesra Kraf turut menghargai pengusaha kraf anyaman mengkuang Jenalik kerana kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap usaha kementerian dan Kraftangan Malaysia membangunkan produk anyaman mengkuang.
Dalam membangunkan Kampung Jenalik Hilir, Kraftangan Malaysia menumpukan kepada pembangunan kemahiran teknikal, pembangunan produk, pengeluaran dan pemasaran. Melalui pendedahan secara berperingkat dan berterusan, pengusaha terbabit berkeupayaan menambahkan kemahiran dan kreativiti mereka daripada anyaman tikar kepada membuat produk anyaman tiga dimensi
seperti kembal, bekas bunga rampai (potpourri) segi tiga dan segi empat dan bekas telur.
Nazri dalam ucapan menegaskan, usahawan kraf adalah tulang belakang pembangunan ekonomi negara.
Katanya, kerajaan mengambil berat terhadap kemajuan dalam sektor kraf.

Justeru, pelbagai pelan, program dan mekanisme disediakan untuk membangunkan usahawan kraf tempatan misalnya, penubuhan agensi kerajaan dan perancangan dasar termasuk pelan induk pembangunan industri kraf dan pelaksanaan program lain.
Pada 2004, kerajaan menyalurkan RM3.0 juta melalui Kraftangan Malaysia bagi projek Odoi. Pada tahun sama, sebanyak RM1.64 juta disalurkan oleh kementerian untuk membangunkan prasarana bagi projek contoh seramik, anyaman tenunan, sulaman dan ribu-ribu, iaitu dua di Perak, tiga di Pahang dan satu di Sabah.
Nazri berkata, peruntukan itu juga digunakan untuk menjalankan kajian peralatan untuk memproses bahan bersama-sama dengan SIRIM dan penggunaan bahan asli seperti tumbuh-tumbuhan, serta buah-buahan untuk mendapatkan hasil yang baik dan menarik.
"Pelaksanaan Odoi adalah salah satu usaha kerajaan untuk mewujudkan pengeluaran sesuatu produk itu dengan lebih sistematik supaya pembekalan produk dapat dibuat secara konsisten dan produk yang dibekalkan berkualiti.
"Di samping itu, melalui projek berkenaan pendapatan penduduk di luar bandar dapat ditingkatkan dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta identiti sesebuah daerah dapat dibentuk," ujarnya, yang turut menggesa usahawan agar sektor kraf dibangunkan menjadi sektor bertaraf dunia yang berdaya saing.
Sempena majlis itu, Nazri turut menyampaikan RM57,000 kepada projek Odoi anyaman mengkuang Jenalik Hilir untuk kegunaan memajukan prasarana pusat berkenaan dan mempertingkatkan mutu dan jumlah produk yang dihasilkan.