MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
KETUA PENGARAH JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESAKategori :UCAPAN ALUAN
Tarikh
:
12/13/2003Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Sabtu
Majlis
:
MAJLIS HARI TERBUKA JPBD
Tempat
:
DI PERKARANGAN JPBD (IP), KUALA LUMPUR
Berkaitan Isu/Majlis
:
PERANCANGAN BANDAR DAN DESA

TEKS UCAPAN PENUH


3
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Terima kasih Pengerusi Majlis

Yang Berhormat Dato’ Seri Ong Ka Ting
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Bahagia Dato’ Lokman Hakim bin Mohd Jasan
Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Berusaha Puan Siti Salmah Binti Mohd. Nor
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Berusaha En. Nazri bin Jaafar
Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia

Yang Berusaha En. Mohd. Fadzil bin Hj. Mohd. Khir
Timbalan Ketua Pengarah I,
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia

Yang Hormat Dato’ Haji Zainul bin Haji Ayob
Timbalan Ketua Pengarah II,
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hari Terbuka JPBD sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2003

Dato-dato, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekelian,


1. Terlebih dahulu marilah kita sama-sama melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama berkumpul untuk menghadiri Majlis Perasmian Hari Terbuka JPBD sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2003.

2. Sempena sambutan ini, saya bagi pihak JPBD mengalu-alukan kehadiran Y. Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan, puan-puan dan semua hadirin sekalian. Juga setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kehadiran Y.B. Dato’ Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut meraikan dan seterusnya merasmikan Majlis ini. Kehadiran Yang Berhormat Dato’ Seri sangat bermakna bagi semua ahli-ahli keluarga Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia kerana mencerminkan keprihatinan Yang Berhormat Dato’ Seri tentang kepentingan perancangan bandar dan desa dalam pembangunan di negara kita.









Hadirin yang saya hormati sekalian.

3. Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia telah menjadi acara tahunan Jabatan untuk menganjur dan mengadakan pelbagai perjumpaan dan aktiviti berfaedah bagi mempertingkatkan kesedaran awam kepada betapa pentingnya perkhidmatan perancangan bandar dan desa di dalam membina persekitaran kehidupan manusia yang lebih sempurna. Sebagai salah satu acara sambutan pada tahun ini, Jabatan mengadakan Majlis Hari Terbuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih mengenali dan mendekati Jabatan serta meningkatkan interaksi di antara anggota JPBD dengan ahli-ahli jururancang samada di sektor awam dan sektor swasta, ahli profesional lain dan juga orang awam.

4. Pelbagai aktiviti telah dirancang pada Hari Terbuka ini, acaranya termasuklah Pameran, Persembahan Multimedia, Pertandingan Mewarna, Kempen Derma Darah dan Lawatan ke Galeri JPBD. Selaras dengan tema sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia pada tahun ini, Pameran dan Pertandingan yang dianjurkan adalah berlandaskan tema sambutan pada tahun ini, iaitu ‘Kemajuan Dijana Warisan Dipelihara’. Kesemua aktiviti yang dirancang melibatkan penyertaan pelbagai pihak dan peringkat umur.

5. Kesedaran awam merupakan di antara prasyarat untuk memupuk minat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam proses perancangan. Minat seharusnya dipupuk dari usia yang muda. Menyedari kepentingan ini, Jabatan telah menganjurkan pertandingan melukis dan mewarna khusus untuk golongan muda di peringkat sekolah. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka terhadap perkhidmatan perancangan bandar dan desa serta memupuk minat dan kepekaan kepada kepentingan pemeliharaan bangunan warisan dan kawasan bersejarah di negara ini. Penglibatan aktif anggota masyarakat dengan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan warisan seiring dengan keperluan pembangunan akan memudahkan lagi usaha perancangan dan menjamin keberkesanan dan pencapaian matlamat sesuatu perancangan itu.

Hadirin yang dihormati sekalian.

6. Saya menganggap Majlis Perasmian Hari Terbuka sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia pada hari ini, amat bermakna sekali kerana ia juga merupakan hari kita mengadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri. Jamuan Hari Raya diadakan pada hari ini untuk memberi peluang kepada semua warga perancang bandar merayakannya bersama para jemputan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan bermaaf-maafan. Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir.

7. Akhir sekali, saya sekali lagi mengalu-alu dan berterima kasih di atas kehadiran Y.B. Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan pada pagi yang mulia ini. Terima kasih saya juga dipanjangkan kepada Jawatankuasa Sambutan yang telah menguruskan segala persiapan Hari Terbuka dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dengan baiknya.


Sekian, wassalamualaikum wbkt. Terima kasih.