MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
KETUA SETIAUSAHAKategori :UCAPAN ALUAN
Tarikh
:
12/11/2001Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Selasa
Majlis
:
MAJLIS SAMBUTAN HARI Q 2001
Tempat
:
AUDITORIUM INTAN BUKIT KIARA
Berkaitan Isu/Majlis
:
HARI KUALITI

TEKS UCAPAN PENUH



Bismillahhirrahmanirahim

YAB Dato’ Seri Ong Ka Ting
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y.B. Datuk Peter Chin Fah Kui
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y.B. Senator Datuk M Kayveas
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y. Bhg. Dato’ Rosli bin Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y. Bhg. Dato’-Dato’/Tuan/Puan
Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian KPKT

Pengerusi/Wakil JKKK Perkampungan Baru
( Kampung Ayer Kala – Lenggong, Perak,
Kampung Sri Jerkoh - Lipis, Pahang,
Perkampungan Juru Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang,
Kampung Bukit Gelugor, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan
Kampung Kangkar Baru, Batu Pahat, Johor )


Serta hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera.

Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah rahmat-Nya kita sekali lagi dapat bersama-sama di Majlis Sambutan Hari Q KPKT bagi tahun 2001. Terlebih dahulu saya mewakili semua warga KPKT ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran dan kesudian YB. Dato’ Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah sudi untuk hadir di majlis ini dan seterusnya melancarkan Hari Q KPKT bagi tahun 2001. Tidak ketinggalan juga saya juga ingin mengucapkan kepada kedua-dua Yang Berhormat Timbalan Menteri yang turut memeriahkan lagi majlis ini.

Saya difahamkan sejak bermulanya Sambutan Hari Kualiti pada tahun 1992, KPKT tidak ketinggalan turut menganjurkan Sambutan Hari Q setiap tahun. Sambutan Hari Q ini telah diikuti dengan pelbagai aktiviti yang pada keseluruhannya bertujuan untuk meningkatkan tahap amalan budaya kualiti di kalangan warga KPKT. Sejak kebelakangan ini, usaha-usaha peningkatan kualiti KPKT telah diperkemas dari segi konsepnya supaya pengurusan kualiti menjadi gaya hidup harian warga KPKT dan pelaksanaannya memberi tumpuan kepada golongan sasar dan pelanggan-pelanggan KPKT yang sering berhubung rapat dengan KPKT. Adalah wajar selepas 10 tahun Sambutan Hari Kualiti diadakan, konsep pelaksanaan kualiti diperkemas supaya tidak sekadar untuk memenuhi jadual aktiviti tahunan program kualiti dengan penganjuran pelbagai pertandingan-pertandingan. Sebaliknya pelaksanaan program kualiti adalah untuk berkongsi bersama-sama di atas segala usaha, pengalaman dan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai bagi memastikan ianya berterusan. Di atas pendirian ini, pengurusan kualiti KPKT adalah lebih tertumpu kepada memberi pengiktirafan kepada kejayaan-kejayaan sesuatu aktiviti yang diperolehi secara natural yang berasaskan kepada tanggung jawab sebenar KPKT dalam konteks pembangunan negara. Oleh yang demikian pelaksanaan kualiti dalam bentuk pertandingan hanya akan diteruskan mengikut kesesuaian.

YB. Dato’ Seri Menteri, Dato’-Dato’ dan para hadirin yang dihormati sekalian,

Kita harus berbangga dan berbesar hati kerana dapat berkhidmat di KPKT sebagai sebuah Kementerian yang terpenting serta sentiasa mendapat perhatian ramai. Sekiranya kita meneliti visi Kementerian iaitu ke arah mewujudkan persekitaran hidup yang lengkap dan berkualiti tinggi untuk semua lapisan masyarakat Malaysia, jelaslah KPKT sebenarnya merupakan repositori pengharapan; sesuatu tempat yang memberi ruang dan peluang kepada kita untuk mencurahkan bakti bagi membantu Kerajaan dan membangunkan negara sehingga mencapai matlamat negara maju menjelang tahun 2020.

Di sebalik reputasi yang tinggi ini, tersirat tanggungjawab yang penting yang perlu dilaksanakan oleh KPKT dalam konteks pembangunan rakyat dan negara. Saya percaya setiap seorang daripada kita bersetuju bahawa di samping kita menjalankan tanggungjawab yang penting ini ianya juga turut memberi peluang kepada kita beramanah dan beribadah. Misalnya adalah menjadi amanah dan ibadah bagi kita menjamin kebersihan, keselamatan penduduk-penduduk, keperluan rumah yang mencukupi, keindahan dan kecantikan dan sebagainya. Memahami di antara tanggungjawab dan amanah/ibadah ini dengan jelas, saya percaya setiap warga KPKT tidak akan terkongkong pelaksanaan tugasnya secara rutin dan ad-hoc sehingga terkeluar daripada perspektif KPKT sebenarnya.

Kita semua tahu bahawa anggota sesebuah organisasi tidak semuanya memiliki tahap pengetahuan dan sikap yang sama. Bagaimanapun, pelaksanaan program-program kualiti menerusi sistem dan peraturan kerja yang diperkemas dan sistem pemantauan program dan aktiviti jabatan dan individu, saya percaya akhirnya kita akan mendapat yang terbaik daripadanya walaupun memerlukan proses perubahan sikap. Dalam hal ini, saya suka menghuraikan beberapa ciri karakter umum anggota pentadbiran awam yang boleh direnungkan secara positif iaitu :-
Pada kebiasaannya, golongan yang di kategori (ii) (iaitu yang berpengalaman tetapi tidak pro-aktif dan tidak produktif) dan golongan dari kategori (iv) (iaitu golongan yang sentiasa bersikap negatif), terdiri daripada golongan yang perlu diperbaiki melalui proses perubahan nilai dan sikap. Dalam hubungan ini, saya tidak berhajat Dato’-Dato/Tuan-Tuan/Puan-Puan untuk menentukan kategori golongan masing-masing. Saya percaya masalah ini dapat diatasi dengan perubahan sikap kita selagi kita terdiri daripada insan yang mempunyai fikiran yang waras, bersikap mulia dan tidak buruk sangka. Sikap pertama yang kita pupuk ialah kita tidak perlu menyalahkan orang lain tetapi perlu menyalahkan diri kita sendiri.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Program perubahan sikap adalah merupakan program yang rumit tetapi dalam konteks pengurusan kualiti, saya telah mengarahkan Bahagian Sumber Manusia yang telah diperbesarkan di Kementerian ini mulai tahun 2001 ini supaya dapat memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini. Sementara ini di peringkat Jabatan, wajarlah satu sistem pemantauan yang berkesan untuk mengenal pasti setiap anggota-anggota organisasinya mempunyai tugas-tugas yang seimbang dan adil. Program dan aktiviti individu-individu/Unit/Bahagian/Jabatan perlu diwujudkan dan dipantau pelaksanaannya dari semasa ke semasa. Mengikut pengalaman saya, menerusi kaedah ini akan dapat mewujudkan satu suasana di mana setiap anggota organisasi akan terus lebih bertanggungjawab dan bagi yang negatif akan terpaksa bertanggungjawab. Pada keseluruhannya saya amat berbangga kerana telah timbul suasana persekitaran kerja yang mempunyai semangat kekitaan dan bekerjasama di Kementerian ini. Walau bagaimanapun, dalam konteks yang lebih luas, perlu difahami dengan lebih jelas oleh setiap warga KPKT. Kerjasama yang saya maksudkan ialah sentiasa menghadiri majlis-majlis jemputan di peringkat Kementerian dan di luar Kementerian. Kerap kali terdapat warga KPKT yang tidak menghadirkan diri dalam sesuatu majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan atau KPKT yang pada umumnya sebagai kakitangan awam adalah tidak wajar kita berkelakuan demikian. Hendaklah difahami kehadiran ke sesuatu majlis bukan sekadar memberi penghormatan kepada majlis berkenaan, tetapi apa yang lebih penting pembelajaran kita semasa menghadiri majlis yang berkenaan terutamanya dari segi cara pengelolaan yang berkesan. Di samping itu, kehadiran kita adalah tidak seberat tanggungjawab pengelolaan yang diuruskan oleh rakan-rakan kita.

YB. Dato’ Seri/Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan,

Berdasarkan analisis yang dijalankan mengenai aduan perkhidmatan awam, didapati sebab utama berlakunya aduan yang berulang-ulang di atas perkara yang sama ialah tidak melaksanakan Sistem Pengendalian Aduan yang berkesan. Di antara sebabnya termasuklah tidak komited terhadap peranan untuk menangani dengan segera aduan awam walaupun disedari ianya boleh menjejaskan reputasi diri dan organisasi. Memandangkan KPKT tidak terlepas dari masalah aduan awam, mulai tahun 2002 KPKT telah bercadang untuk melaksanakan program Sehari Bersama Pelanggan pada setiap hari Sabtu selepas Perhimpunan Bulanan KPKT. Program ini melibatkan semua pengurusan KPKT termasuk Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian yang bertindak secara serentak bagi mengurus dan menyelesaikan sesuatu aduan awam yang diterima. Pada peringkat awal, Kementerian akan menggunakan tele-conferences yang melibatkan semua Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian. Sehari Bersama Pelanggan ini mewajibkan semua pegawai dan kakitangan Kementerian dan Jabatan berada di Pejabat dan tidak bercuti pada hari yang berkenaan.

YB. Dato’ Seri/Dato’-Dato’/ Tuan-Tuan/Puan-Puan,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini ingin saya memaklumkan juga bahawa seperti tahun lepas Majlis Hari Kualiti pada tahun ini kita teruskan Anugerah Kualiti Y.B. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana pemenang anugerah adalah terdiri daripada Jabatan/Bahagian yang terbaik dari segi Total Quality Management (Pengurusan Kualiti Menyeluruh), Anugerah Prestasi Terbaik Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2001, Anugerah Prestasi Terbaik Pemantauan Projek Pembangunan 2001, Penghargaan Laman Web untuk memberi persaingan yang sihat dari segi penggunaan kualiti bagi semua peringkat. Di samping itu, pada tahun ini juga, Kementerian telah memutuskan untuk memberi Penghargaan Kutipan Terbanyak Bagi Program Kitar Semula kepada mana-mana Jabatan/Bahagian/Kelab yang paling banyak menghantar barang-barang Kitar Semula pada setiap kali perhimpunan bulanan dan menganugerahkan penghargaan Kampung Baru Contoh di mana pemenang terdiri daripada Kampung Baru yang terbaik dari segi pengurusan, lanskap dan kualiti. Walau bagaimanapun, kita masih ketinggalan dalam pelaksanaan MS ISO 9000 memandangkan setakat ini hanya Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sahaja telah berjaya mendapatkannya. Adalah diharapkan agar Jabatan-Jabatan lain juga akan mempergiatkan usaha-usaha untuk mendapatkan persijilan tersebut sebelum bulan Mac 2002.

YB. Dato’ Seri/Dato’-Dato’/ Tuan-Tuan/Puan-Puan,

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak urus setia majlis kerana telah berjaya melaksanakan majlis pada hari ini.

Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatu dan selamat pagi.