MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
KETUA PENGARAH JABATAN PERANCANG BANDAR DAN DESAKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
03/06/2003Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Khamis
Majlis
:
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2002
Tempat
:
DI INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
Berkaitan Isu/Majlis
:
PERANCANGAN BANDAR DAN DESA

TEKS UCAPAN PENUH



Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t. salam sejahtera dan selamat pagi


Saudara/ Saudari Pengerusi Majlis,


Yang Berbahagia Dato’ Mohamad b. Saib
Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan


Yang Berbahagia Dato’ Haji Ismail b. Ngah
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara


Yang Berbahagia Datuk Ir. Lum Weng Kee
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan dan Pembentungan


Yang Berbahagia Dato’ Jaafar Sidek b. Tambi
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat


Yang Berbahagia Tuan Haji Mutalib b. Jelani
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia

Yang Berusaha Encik Mohd. Fadzil b. Mohd Khir,

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan)
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Tahun 2002
Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia


Pengarah-Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri


Ketua-Ketua Bahagian


Para Pegawai yang diraikan dan keluarga


Dato’-Dato’ , Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian,


Alhamdulilah bersyukur saya ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurniaNya semua kita diberi kesihatan untuk berkumpul pada hari ini sempena meraikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2002.

Sebagaimana tahun-tahun lepas, Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang yang diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai perkhidmatan cemerlang yang diberikan oleh seseorang anggota Perkhidmatan Awam yang mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Perkhidmatan yang diberikan itu boleh dijadikan contoh dan ikutan serta memberi pengaruh yang menggerakkan kecergasan bekerja dan daya usaha Perkhidmatan Awam yang lain.

Hadirin yang dihormati sekelian,
Seperti yang Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan maklum, Kerajaan telah melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuatkuasa mulai 1 November 2002 yang menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) sebelum ini. Berikutan dengan pelaksanaan sistem ini, Kerajaan telah menetapkan supaya dasar dan kaedah Anugerah Perkhimatan Cemerlang diubahsuai sewajarnya. Mengikut dasar dan kaedah baru tersebut, kelayakan pegawai yang dipilih adalah seperti berikut:

a. Anggota Perkhidmatan Awam dalam semua kumpulan, gred dan kategori yang dilantik oleh mana-mana pihak berkuasa melantik, termasuk pihak yang diwakilkan kuasa oleh pihak berkuasa melantik berkenaan, untuk berkhidmat dengan agensi awam sama ada secara tetap, sementara atau kontrak. Ini termasuk anggota yang berada di atas tangga gaji dan syarat-syarat perkhidmatan di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976, Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM); dan

b. telah berkhidmat bagi tempoh genap setahun penuh pada hari terakhir tahun penilaian.

Manakala pemilihan anggota yang layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah berpandukan kepada markah yang diperolehi dalam penilaian prestasi tahunan dengan menggunakan borang laporan penilaian prestasi tahunan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Anggota yang memenuhi syarat-syarat adalah layak dipertimbangkan untuk diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM). Pemilihan di peringkat ini adalah berasaskan kepada penilaian Panel Pembangunan Sumber Manusia ke atas sumbangan anggota berkenaan kepada organisasi, Perkhidmatan Awam, komuniti, daerah, negeri, negara dan peringkat antarabangsa.

Jumlah atau bilangan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi setiap agensi tidak boleh melebihi 8 peratus daripada jumlah anggota yang sedang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian berkenaan. Walaubagaimanapun, had maksimum ini tidak semestinya dipenuhi jika jumlah anggota yang layak tidak mencukupi. Sekiranya pada tahun berkenaan tidak ada yang layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, maka agensi tidak perlu melaksanakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun berkenaan.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Bagi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, pemberian dan insentif yang dianugerahkan adalah seperti berikut:

Sijil Perkhidmatan Cemerlang;
Hadiah prestasi sebanyak RM1,000;
Peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya seperti menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja;
Peluang dan keutamaan bagi pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran Persekutuan dan negeri; dan
Nama dan gambar penerima dipamerkan di pejabat di lokasi strategik atau yang biasa dikunjungi orang ramai.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Penganugerahan ini adalah penting untuk memberi pengiktirafan kepada pekerja yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan masing-masing.

Bagi menjana kecemerlangan yang sesuai, mengikut halacara baru, setiap dari kita hendaklah membuat anjakan paradigma atau pun perubahan ‘mind-set’ supaya lebih berilmu dan sentiasa bersikap dan berfikiran terbuka. Untuk menerima perubahan ini kita juga harus berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran atau kepakaran yang tertentu bagi meningkatkan lagi kualiti kerja masing-masing. Oleh itu, hari ini juga merupakan hari yang penting dalam memperingatkan kita betapa perlunya meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja. Apatah lagi di awal abad 21 ini yang telah membawa dunia kepada alaf baru dengan pelbagai cabaran yang amat kompleks. Kejayaan dan kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh semua membuahkan hasil yang dihajati.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Alhamdulilah, prestasi Jabatan ini pada tahun 2002 pada keseluruhannya adalah baik. Antara kejayaan yang paling bermakna bagi Jabatan pada tahun lalu adalah mendapatkan kelulusan penyusunan semula Jabatan. Sayugia, kita perlulah menjadikannya pendorong untuk kita meningkatkan bagi prestasi dan mutu kerja.

Lantaran kejayaan tersebut, saya mengucapkan terima kasih dan syabas atas daya usaha dengan tekun dan kesabaran yang ditunjukkan dalam sesi percambahan fikiran, menyediakan pelbagai laporan, siri taklimat dan perbincangan dengan pihak JPA.

Justeru itu, lantaran kelulusan ini bermakna ekspektasi terhadap Jabatan turut meningkat. Dengan kekuatan 524 anggota, saya yakin Jabatan iniakan dapat menghasilkan mutu dan kualiti kerja yang lebih baik dan berkesan.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Tahun ini juga merupakan tahun pertama yang telah memperlihatkan Jabatan berfungsi dengan struktur organisasi yang baru. Dalam proses penyusunan semula, proses penempatan semua lapisan pegawai tidak dapat dielakkan. Walaupun masih lagi berada di dalam proses perpindahan, Bahagian-bahagian baru telah menjalankan fungsi-fungsinya baru walaupun berada dalam keadaan yang kurang selesa dan kekurangan kakitangan.

Selaras dengan penyusunan semula Jabatan yang sedang dijalankan, kita juga perlu memperkemaskan ‘housekeeping’ Jabatan supaya semua urusan dijalankan dengan teratur mengikut arahan-arahan pentadbiran dan arahan-arahan kewangan yang ditetapkan. Pengarah-pengarah negeri/bahagian perlu saling berunding dan berbincang agar apa jua yang akan dilaksanakan oleh Jabatan dapat dilaksanakan dengan teratur dan cepat. Suasana kerjasama yang sebegini adalah amat bermakna dalam meningkatkan tahap pencapaian organisasi.

Selain daripada itu, kita juga perlu meningkatkan keupayaan dan tahap profesionalisme kita. Ini penting untuk membolehkan kita membangunkan rangkaian kerjasama atau ‘smart partnership’ dengan pakar-pakar dan badan-badan profesional di peringkat tempatan dan antarabangsa. Kesemua usaha ini memerlukan usaha yang gigih secara bersama atau ‘profesional teamwork’. Ini akan membolehkan kita bersama-sama membangunkan kualiti perkhidmatan perancangan bandar dan desa yang bertaraf antarabangsa dan seterusnya menuju ke tahap ‘world class’.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Kita juga harus bersedia untuk melengkapkan diri kita dengan bidang ilmu pengetahuan yang baru untuk beroperasi di peringkat antarabangsa. Ini membolehkan para pegawai JPBD menjalinkan ‘professional relationship’ yang berkesan dengan ahli-ahli profesional dan kumpulan pakar di peringkat antarabangsa.

Harapan saya ialah agar kita semua akan dapat meneruskan usaha ke arah mempertingkatkan pencapaian Jabatan pada tahun ini. Akhirkata saya menyeru agar kita semua harus berusaha untuk mengamalkan sikap dan semangat ‘teamwork’ dan mengamalkan nilai kekeluargaan di antara sesama kita di JPBD. Kita hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab kita dengan tekun, baik, dan selalu memperingati diri bahawa segala ketidakcekapan kita atau penyelewengan yang dilakukan akan menjejaskan tahap persaingan kita.
Hadirin yang dihormati sekelian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya dan juga hadirin sekelian bahawa setiap insan di dunia ini mempunyai peranan yang amat mulia di muka bumi ini iaitu – ‘AMANAH’ Allah yang telah kita terima dan perlu kita laksana dan tunai di dunia ini.

Jika dilihat dalam konteks ibadah, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai insan dan penjawat awam untuk menunaikan amanah yang telah kita janjikan. Maka dalam melaksanakan AMANAH ini adalah menjadi kewajipan kita untuk memastikan supaya segala tugas kerja kita adalah merupakan satu ibadah atau satu pengabdian kita kepada Allah. Dan saya percaya apabila kita berpegang kepada ‘AMANAH’, keikhlasan bekerja dapat diterapkan di dalam diri setiap penjawat awam. Dengan adanya ‘amanah’ maka wujudlah keikhlasan bekerja yang akan menampilkan kecemerlangan bekerja.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Kita mulakan dengan niat dahulu, niat memperbaiki diri mempertingkatkan prestasi diri dan organisasi. Dengan niat yang ikhlas, inigin melihat kamajuan di dalam organisasi kita dapat membentuk tekad dan azam untuk bekerja dengan lebih baik supaya kita dapat menjadi pegawai yang lebih baik daripada masa yang dahulu, supaya organisasi kita dapat memberi sumbangan yang lebih daripada tahun sebelumnya. Semoga kita sebagai penjawat awam sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah S.W.T. supaya kita dapat bekerja dengan penuh amanah dan penuh tanggungjawab.

Hadirin yang dihormati sekelian,

Saya amat berbanggan dengan kejayaan Jabatan ini yang memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara, khususnya dalam aspek perancangan pembangunan fizikal di peringkat nasional, negeri dan tempatan, khususnya melalui penyediaan rancangan pemajuan dan Rancangan Fizikal Negara (RFN). Jabatan ini juga memegang peranan yang penting dalam menghasilkan rancangan-rancangan pembangunan yang lebih inovatif dan kreatif untuk masyarakat dan negara.

Saya begitu yakin dengan usaha dan prestasi yang telah ditunjukkan oleh Jabatan ini dalam menterjemahkan dasar-dasar Kerajaan ke dalam bidang Perancangan Bandar dan Desa. Saya juga percaya berkat usaha dan kerjasama yang diberikan oleh semua lapisan pegawai, Jabatan ini akan terus lebih mantap, lebih inovatif, kreatif dan berkualiti untuk masyarakat dan negara. Teruskan usaha-usaha murni dengan jayanya.

Akhirnya saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan selamat maju jaya kepada yang bersara.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perancangan Bandar dan Desa tahun 2002.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum w.b.t.
Terima kasih.