PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN DASAR
TARIKH
:
10-Sep-2005HARI : Sabtu
MAJLIS
:
TAKLIMAT PERANCANGAN PEMBANGUNAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) DI DALAM KAWASAN/BAHAGIAN KOTA RAJA
TEMPAT
:
KULIAH UTAMA/AUDITORIUM PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) SHAH ALAM


TEKS UCAPAN PENUH :

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Ketua Bahagian
UMNO Bahagian Kota Raja

Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Shah Alam

Yang DiPertua
Majlis Perbandaran Klang

Yang DiPertua
Majlis Perbandaran Subang Jaya

Dif-Dif Kehormat/Dato’-Dato’/Datin-Datin/Tuan-Tuan/Puan-puan serta para hadirin yang saya hormati sekelian,

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya dapatlah kita bersama-sama pada hari ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang lebih dikenali dengan nama singkatannya KPKT dipertanggungjawabkan dalam perancangan dan pelaksanaan dasar, strategi dan program dalam bidang perumahan, kerajaan tempatan, perkhidmatan bomba, perancangan bandar dan desa serta perkhidmatan landskap. KPKT akan sentiasa meningkatkan penyampaian perkhidmatan (service delivery) ke arah pencapaian visinya iaitu mewujudkan persekitaran hidup yang sempurna dan berkualiti tinggi untuk semua lapisan masyarakat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia di bawah KPKT membantu di dalam bidang perancangan fizikal dan bertanggungjawab untuk menterjemahkan dasar-dasar Kerajaan Pusat seperti Wawasan 2020 dan Rancangan-Rancangan Malaysia kepada aspek fizikal. Fungsi ini dibantu oleh Jabatan Kerajaan Tempatan sebagai penyelaras dalam dasar penyampaian perkhidmatan PBT serta Local Agenda 21. Kedua-dua jabatan ini dibantu oleh Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) dan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171).

Di Semenanjung Malaysia, peringkat perancangan pembangunan yang diamalkan telah jelas tertera dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), iaitu terdapat empat peringkat, daripada peringkat makro yang berbentuk dasar dan polisi sehinggalah peringkat mikro yang menjelaskan secara terperinci kegunaan tanah bagi setiap inci tanah yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Keempat-empat peringkat perancangan pembangunan tersebut adalah seperti berikut:


Dengan setiap peringkat perancangan menjadi asas kepada rancangan di peringkat bawahnya, maka rancangan pemajuan di negara ini justeru akan menterjemahkan dasar-dasar negara kepada pelaksanaan projek-projek yang boleh dinikmati oleh penduduk secara langsung. Pendekatan seperti ini amatlah sesuai terutama sekali di dalam keadaan di mana sumber negara adalah terhad dan perlu diselaraskan dan digunakan dengan lebih optimum dan mampan demi meningkatkan daya saing negara.

Untuk menghasilkan satu rancangan pembangunan yang menyeluruh dan dapat menterjemahkan dasar-dasar semua peringkat kerajaan serta boleh diterimapakai oleh orang ramai dan berdaya laksana bukanlah sesuatu tugasan yang mudah. Ia melibatkan banyak usaha penyelarasan dan memerlukan komitmen yang berterusan daripada semua pihak termasuklah tuan-tuan dan puan-puan sendiri. Penyediaan rancangan pembangunan perlulah menyeluruh, oleh itu ia memerlukan kajian pelbagai sektor seperti perancangan gunatanah, landskap, rekabentuk bandar, alam sekitar, kesan sosial, pengangkutan dan lalulintas, infrastruktur dan utiliti, dan pengurusan projek serta melibatkan pelbagai input profesional seperti perancang bandar, jurutera, akitek landskap, perekabentuk bandar, pakar alam sekitar, pakar kajian kesan sosial dan sebagainya.

Para hadirin yang dihormati sekelian,

Untuk makluman semua, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) yang akan tamat pada hujung tahun ini, sebanyak 47 kajian Rancangan Pemajuan bagi keseluruhan Semenanjung Malaysia telah dijalankan iaitu terdiri daripada 8 kajian Rancangan Struktur Negeri (RSN) dan 39 kajian Rancangan Tempatan (RT). Daripada jumlah itu, termasuklah 1 kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor dan 6 kajian Rancangan Tempatan di Negeri Selangor.

Sungguhpun rancangan pemajuan disediakan di bawah peruntukan Akta 172 dan di bawah penyeliaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), tetapi ia bukan milik KPKT atau JPBD malah ia adalah dimiliki oleh semua pihak. Ini adalah kerana rancangan pemajuan merupakan gabungan aspirasi dan komitmen Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Perancang
Tempatan dan penduduk setempat di dalam satu dokumen. Oleh itu, adalah penting rancangan pemajuan diwartakan oleh Kerajaan Negeri dan diterimapakai oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan supaya aspirasi tersebut dilaksanakan seperti mana yang dirancangkan. Dengan cara demikian, proses perancangan dan pembangunan bandar akan menjadi lebih mudah dan secara langsung akan dapat meningkatkan ketelusan dalam segala keputusan perancangan yang dilakukan pada masa hadapan.

Usaha penyediaan rancangan pemajuan atau pelan pembangunan sebenarnya merupakan suatu tindakan pro-aktif untuk mengurus dan menyelaraskan penggunaan sumber dengan berkesan. Walau bagaimanapun, cara pengurusan sumber negara ini bukan semata-mata ditetapkan oleh pihak kerajaan sahaja tetapi ia juga meliputi proses mengambil maklumbalas, pandangan dan aspirasi penduduk yang berkenaan.

Konsep merancang bersama antara pihak kerajaan dan penduduk setempat dijangka akan dapat menghasilkan suatu rancangan pembangunan yang baik dan akan membantu Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) di dalam membuat keputusan perancangan yang lebih telus dan tepat. Ini secara langsungnya akan menjurus kepada pembentukan suatu pembangunan yang lebih sistematik dan akan tercapailah suatu tahap persekitaran yang mampan dan kehidupan penduduk yang selesa dan selamat.

Sungguhpun begitu, rancangan pembangunan yang dihasilkan mungkin tidak dapat memenuhi kesemua kehendak setiap individu. Ini adalah kerana pihak kerajaan juga perlu memberi keutamaan kepada kepentingan umum dan generasi yang akan datang. Seringkali kepentingan ini melibatkan pemeliharaan sumber semulajadi semasa. Usaha-usaha tersebut pada hakikatnya adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu persekitaran kehidupan penduduk yang selesa, selamat dan alam persekitaran yang mampan.

Para hadirin yang dihormati sekelian,

Bagi kawasan Kota Raja ini terdapat tiga Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) yang terlibat, iaitu:

Sehubungan itu, terdapat tiga peringkat rancangan pembangunan telah dan sedang disediakan bagi kawasan Kota Raja ini. Rancangan-rancangan pembangunan yang berkenaan adalah seperti berikut:

Inisiatif untuk mengadakan majlis taklimat perancangan pembangunan daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) kepada orang ramai adalah satu usaha yang baik dan seharusnya dijadikan amalan yang berterusan oleh PBPT. Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja dapat meningkatkan ketelusan PBPT khususnya dalam memproses permohonan Kebenaran Merancang, ia secara tidak langsung juga dapat memperbaiki prestasi sistem penyampaian PBPT. Sebagai contohnya, di dalam Rancangan Tempatan, jenis-jenis gunatanah yang sesuai untuk pemajuan pada masa hadapan telah ditandakan dalam peta-peta cadangannya. Dengan ini akan memudahkan orang ramai mengetahui pemajuan yang boleh dibuat di atas tanah masing-masing.

Untuk keterangan selanjutnya mengenai perincian Draf Rancangan Tempatan Daerah Petaling dan Draf Rancangan Tempatan Daerah Klang, Pihak Berkuasa Tempatan yang terdiri daripada MBSA, MPSJ dan MPK bolehlah dirujuk.

Para hadirin yang dihormati sekelian,

Untuk mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Bandar MBSA, Yang DiPertua MPK dan Yang DiPertua MPSJ kerana dapat berkerjasama dengan erat untuk menjayakan majlis taklimat pada hari ini. Semoga Majlis Taklimat pada hari ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik.

Dengan lafaz Bismilahirahmanirahim, saya merasmikan Taklimat Perancangan Pembangunan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan bagi kawasan Kota Raja ini.

Sekian, wassallamualaikum wbkt.