PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
14-Jul-2011HARI : Khamis
MAJLIS
:
MAJLIS PENYERAHAN SISTEM KAMERA LITAR TERTUTUP (CCTV) KEPADA PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)
TEMPAT
:
HOTEL SERI PACIFIC, KUALA LUMPUR
ISU
:
KERAJAAN TEMPATAN



TEKS UCAPAN PENUH :

Terima kasih Saudari Pengerusi Majlis

YB. Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin,
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

YBhg. Datuk Ahmad bin Hj. Kabit
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

YBhg. Datuk Arpah binti Abd Razak,
Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan

YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-Dif Kehormat
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Jabatan Kerajaan Tempatan kerana telah menganjurkan dengan jayanya Majlis ini. Sesungguhnya, saya merasa amat berbesar hati kerana dapat hadir ke majlis ini dan seterusnya menyerahkan sijil penyerahan (handing over) serta Dokumen “Standard Operating Procedure” atau SOP kepada 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 28 bilik kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan melaksanakan projek Kamera Litar Tertutup (CCTV) ini. Pemantauan melalui CCTV ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi mengurangkan jenayah, terutamanya jenayah jalanan yang telah dilaksanakan untuk menjaga kesejahteraan hidup rakayat seperti yang telah dijanjikan.

Para hadirin yang dihormati,

2. Sebagaimana yang kita ketahui, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) untuk mengurangkan jenayah yang telah diketengahkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib b. Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dalam Program Transformasi Kerajaan atau GTP yang diperkenalkan. Tumpuan akan diberikan dalam mengurangkan jenayah indeks keseluruhan yang dilaporkan, terutamanya jenayah jalanan. Walaupun peneraju utama NKRA ini adalah Kementerian Dalam Negeri, namun saya dan Kementerian saya merasa bangga kerana telah terlibat secara langsung salah satu daripada 5 inisiatif untuk mengurangkan kes curi ragut dan samun, melalui pemasangan CCTV di kawasan-kawasan “hot spots”.

3. Selain itu, Kementerian saya juga turut terlibat di dalam satu lagi inisiatif terpilih iaitu di bawah Program bandar Selamat. Di bawah program ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan peruntukkan kepada PBT bagi melaksanakan antara lainnya kerja-kerja pencahayaan dan pembinaan penghadang untuk mengasingkan di antara laluan pejalan kaki dan penunggang motosikal. Dengan adanya langkah-langkah sedemikian, saya percaya matlamat pengurangan 20% kes curi ragut dan samun yang dilaporkan, dapat dicapai. Lantaran membolehkan semua rakyat Malaysia menikmati persekitaran hidup yang lebih selamat, terutamanya semasa berada di kawasan awam seperti di jalanan.

4. Walau bagaimanapun, hasrat murni ini mungkin tidak tercapai, jika segala kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan tidak digunakan sepenuhnya. Pada kesempatan ini, saya ingin memperingati semua 25 PBT yang telah dilengkapi dengan alat CCTV supaya mengoperasikan sepenuhnya sistem berkenaan. Ini penting bagi memastikan agar pembiayaan perbelanjaan dan kos sewaan CCTV Kerajaan Persekutuan selama 5 tahun ini akan memberikan impak yang optimum kepada rakyat jelata. PBT dan PDRM sebenarnya merupakan operator dan juga pengguna kepada sistem CCTV ini kerana manfaat yang diperolehi melalui pemantauan CCTV ini dapat memberikan kelebihan dalam meningkatkan sistem penyampaian tugas terutamanya dari segi penguatkuasaan di PBT dan di PDRM. Oleh yang demikian, saya menyeru agar PBT dan PDRM dapat memberikan perhatian yang lebih serius ketika menyediakan pasukan kerja bagi memantau bilik “Control Centre” di PBT masing-masing.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

5. Tidak lama dahulu, penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan lazimnya dijalankan melalui rondaan pegawai berkuasa. Ia sudah tentu memerlukan jumlah tenaga kerja yang ramai, dan masa yang panjang untuk membuat rondaan dan pemantauan dari satu lokasi ke satu lokasi lain. Namun dengan adanya teknologi yang lebih canggih, tugas pemantauan dan rondaan ini sebahagiannya dapat diambil alih oleh sistem pemantau kamera litar tertutup atau CCTV. Dengan adanya pegawai pemantauan CCTV di Bilik-bilik Kawalan Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia, maka pemantauan kawasan dapat dijalankan pada setiap detik waktu, sama ada waktu siang atau malam, dalam keadaan cuaca hujan atau panas dan setiap hari. Sistem CCTV tidak pernah “tidur”, kecuali jika ia mengalami kerosakan. Memahami hakikat ini, Kementerian saya telah menetapkan dalam perjanjian perbekalan perkhidmatan bahawa kontraktor perlu membaiki segala kerosakan dalam tempoh 24 jam, sepanjang tempoh 5 tahun ini. Kos sewaan akan ditolak sekiranya perkara ini tidak dilakukan.

6. Saya telah dimaklumkan bahawa rata-ratanya CCTV yang diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia telah beroperasi di Bilik Kawalan 24 jam sehari. Dan saya juga amat sukacita mendapat tahu bahawa beberapa Bilik Kawalan Pihak Berkuasa Tempatan juga telah berfungsi 24 jam seperti di MB Alor Setar, MB Ipoh. MB Shah Alam, MB Ampang Jaya, MP Subang jaya, MP Port Dickson, MB Melaka Bersejarah dan MP Kota Bharu. Saya amatlah bgerharap agar lebih banyak lagi Pihak Berkuasa Tempatan akan mengikuti jejak langkah 8 Pihak Berkuasa tempatan berkenaan. Ini kerana saya yakin sistem CCTV adalah sistem yang baik dan berupaya mencegah insiden-insiden jenayah. Apatah lagi sistem ini mempunyai beberapa ciri terkini seperti keupayaan “optical zoom” sebanyak 25 kali (25 X optical zoom), yang dapat memaparkan imej beresolusi tinggi dan jelas pada monitor bilik kawalan. Di samping itu, sistem ini juga berupaya membuat rakaman video bagi tempoh 45 hari berterusan. Pembesar suara atau “speaker” juga telah dipasang di tiang-tiang CCTV berkenaan supaya PBT atau PDRM boleh membuat sebarang pengumuman, apabila diperlukan.

Para hadirin yang dihormati,.

7. Saya juga amat berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia, mahupun pihak berkuasa negeri dapat bersama-sama Kementerian saya dalam mengurangkan kadar jenayah jalanan ini denmgan menambahkan lagi bilangan CCTV dan mengambil langkah-langkah lain yang diperlukan bagi meneruskan usaha murni ini. Pihak Kementerian sendiri telah mengambil pelajaran dari pelaksanaan projek ini dan buat masa ini saya juga sedang dalam tindakan untuk pelaksanaan CCTV Fasa 2 di PBT-PBT lain di seluruh negara. Pelaksanaan Projek CCTV Fasa 2 nanti, akan melibatkan perluasan pemasangan CCTV terutamanya di negeri-negeri dan PBT yang belum mempunyainya. Pelaksanan ini menunjukkan tahap komitmen Kerajaan di dalam mencegah jenayah di seluruh negara, terutama di kawasan-kawasan “hot spots”. Pengurangan jenayah ini bukan hanya akan menyediakan persekitaran hidup yang selamat kepada rakyat, malah ia dapat memangkin pertumbuhan ekonomi Negara, dengan antaranya meningkatkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke negara kita, meningkatkan keyakinan para pelabur antarabangsa untuk melabur di negara kita dan sebagainya.

YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

8. Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang sudi hadir ke majlis hari ini. Dengan kehadiran dan sokongan padu pihak YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, saya percaya usaha untuk membenteras jenayah dan mewujudkan Negara Malaysia yang selamat bukan lagi satu igauan.

Sekian, terima kasih.