PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
10-Aug-2004HARI : Selasa
MAJLIS
:
PELANCARAN KEMPEN “PENGINDAHAN BANDAR DAN PENYERTAAN
PENDUDUK BANDAR, PERAYAAN BULAN KEMERDEKAAN KE-47”
TEMPAT
:
MID VALLEY, MEGAMALL, KUALA LUMPUR.
ISU
:
LAIN-LAIN



TEKS UCAPAN PENUH :

Tuan Pengerusi Majlis,

Y.Bhg. Datuk Hj. Ruslin bin Hj. Hassan,

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Yang Berusaha

Encik Daniel Yong

Pengarah Eksekutif,

Mid Valley City Sdn. Bhd.

Pihak Pengurusan Mid Valley Megamall

Wakil Persatuan - Persatuan Penduduk

Dan seterusnya Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum w.b.r.

Dan salam sejahtera

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana atas izinNya jua kita semua dapat berkumpul di

Kompleks Beli Belah Mid Valley Megamall pada petang yang permai ini. Alhamdulillah.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah memainkan peranan penting sebagai “Partner” kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam menjayakan Majlis kita pada petang ini.

Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Mid Valley Megamall yang telah bersetuju untuk menjadikan Kompleks Beli Belah ini sebagai tapak Pelancaran “Kempen Pengindahan Bandar dan Penyertaan Penduduk Bandar Sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-47, Tahun 2004” pada hari ini. Lebih dari itu, pihak Pengurusan Mid Valley Megamall telah memberikan kerjasama dan komitment yang sepenuhnya kepada Kementerian dan DBKL dalam membuat persiapan bagi mempastikan majlis kita ini berjalan lancar dengan penuh kemeriahan dan keceriaan. Untuk makluman kita semua Perayaan Bulan Kemerdekaan adalah selama 1 bulan iaitu dari 17 Ogos 2004 hingga 16 September 2004. Tema perayaan tahun ini ialah “KeranaMU Malaysia”.

Y.Bhg. Dato’-dato’/Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Kompleks beli belah dan hotel-hotel adalah tempat yang amat sesuai untuk mengujudkan sesuatu “mood” perayaan. Contohnya “mood” Hari Raya Aidilfitri dapat di bangkitkan dengan pemasangan ketupat hiasan, pelita tujuh likur, nyanyian lagu-lagu Selamat Hari Raya dan sebagainya. Begitu jugalah dengan “mood” bagi sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Krismas dan sebagainya. Jadi, dengan menggunakan pendekatan yang sama, “mood” perayaan Bulan Kemerdekaan boleh diwujudkan dengan cara menghiasi Kompleks-kompleks Beli Belah dan hotel-hotel dengan bendera Jalur Gemilang, dan menyiarkan lagu-lagu patriotik. Inilah masanya bagi semua Kompleks Beli Belah dan hotel-hotel untuk menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing terhadap negara yang telah menyediakan persekitaran yang kondusif yang membolehkan aktiviti perniagaan berkembang maju.

Saya ingin menegaskan bahawa terdapat dua aspek penting yang perlu diberi penekanan di dalam kita menyambut perayaan Bulan Kemerdekaan. Pertama, kita mesti mempertingkatkan keindahan dan keceriaan semua bandar yang terdapat di negara kita. Kedua, kita mesti mempertingkatkan penyertaan penduduk bandar di dalam semua program Bulan Kemerdekaan. Inilah dua mesej utama yang ingin disampai dan diterapkan oleh Kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebenarnya, untuk makluman para hadirin yang dihormati sekalian, saya baru sahaja selesai membuat ‘Road-Show’ ke negeri-negeri untuk bertemu dengan kesemua 144 Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) yang terdapat diseluruh Malaysia. Saya telah dapat bersemuka secara terus dengan semua Kerajaan Negeri yang diwakili oleh Exco-Exco Kerajaan Tempatan dan semua Yang DiPertua serta Setiausaha Majlis-Majlis Perbandaran dan Majlis-Majlis Daerah. ‘Road-show’ itu adalah sebahagian dari usaha untuk menyampaikan dua mesej penting tersebut kepada semua Kerajaan Negeri dan PBT dan dalam masa yang sama saya mendapat maklumbalas secara terus dari mereka mengenai perancangan dan persiapan yang telah mereka buat dalam menyambut Perayaan Bulan Kemerdekaan ini.

Secara keseluruhannya semua PBT di Malaysia telah mengambil tindakan bagi mempastikan bandar masing-masing diperindah, di ceria dan dibersihkan. Ini termasuklah menaiktaraf landskap bandar, memasang lampu simbah dan lampu hiasan, mempertingkatkan tahap kebersihan bandar, meminta pemilik-pemilik bangunan mengecat semula bangunan masing-masing dan sebagainya. Terdapat kebanyakan PBT mengadakan pelbagai pertandingan termasuk pertandingan kebersihan dan keindahan di antara taman-taman perumahan.

Pengindahan bandar dan penyertaan penduduk bandar adalah merupakan fokus kempen yang akan dilancarkan. Kenapa bandar? Jawapannya ialah kerana bandar menjadi tumpuan penduduk yang ramai. Proses pertumbuhan perbandaran di Malaysia adalah sangat pesat. Pada tahun 1980, jumlah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar hanya 34% sahaja. Pada tahun 2000, angka ini telah meningkat kepada 60%. Berdasarkan unjuran yang dibuat adalah dijangkakan bahawa pada tahun 2020 sebanyak 80% penduduk Malaysia akan tinggal di bandar. Bilangan penduduk bandar yang ramai ini perlu digembeling dan digerakkan agar semuanya terlibat dalam apa jua program yang dianjurkan. Dalam konteks Perayaan Bulan Kemerdekaan ini kita mahukan penyertaan penduduk bandar terutamanya bagi mencahayakan lampu di waktu malam dan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau premis perniagaan masing-masing.

Dari segi pencahayaan, semua penduduk bandar telah diminta supaya menyalakan lampu diwaktu malam di bangunan masing-masing sama ada bangunan pejabat, perniagaan atau pun kediaman. Peranan ini amat penting kerana dengan cara itu sajalah kita dapat mempastikan bahawa seluruh bandar di negara kita akan bermandikan cahaya di sepanjang Bulan Kemerdekaan. Dalam hubungan ini pihak Tenaga Nasional Berhad telah mengumumkan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna perdagangan bagi tempoh dua bulan bermula dari 1 Ogos hingga 30 September 2004. Oleh itu, saya minta kepada semua pengguna perdagangan agar menggunakan kesempatan ini bagi menyahut seruan Kerajaan supaya mencahayakan bangunan dan premis masing-masing di waktu malam di sepanjang Bulan Kemerdekaan.

Dari segi pengibaran Jalur Gemilang kita sebagai rakyat yang cintakan negara perlu mengikis sikap lama masyarakat kita yang suka “ tunggu dan lihat”. Mulai sekarang marilah kita mulakan di rumah kita sendiri. Tidak perlu banyak. Satu atau dua Jalur Gemilang di setiap rumah adalah sudah memadai. Kalau dapat lebih, memang lagi bagus. Jika ini dapat dilakukan maka kita akan melihat Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana dan dengan itu kita boleh berbangga kerana setiap rakyat Malaysia telah benar-benar bersikap patriotik. Sesungguhnya bukanlah sesuatu yang sukar dan berat untuk menjadi patriotik. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang berbanding dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi sekarang. Oleh itu marilah kita kibarkan Jalur Gemilang sebagai rasa terima kasih dan bersyukur kerana dapat hidup di negara Malaysia yang merdeka, aman dan makmur ini.

Melalui kesempatan ini juga saya menyeru kepada semua pihak supaya memainkan peranan masing-masing bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun ini. Sebagai contoh, Dewan-dewan Perniagaan (Chambers of Commerce) boleh menaja sesuatu program bersama dengan PBT atau menganjurkan sesuatu pertandingan atau sekurang-kurangnya menaja pembelian Jalur Gemilang untuk ahli-ahlinya dan mempastikan Jalur Gemilang itu dikibarkan di rumah dan di kereta masing-masing. Begitu juga peranan yang boleh dimainkan oleh Persatuan-persatuan Penjaja, Persatuan Pemaju Perumahan, Persatuan-persatuan Penduduk, syarikat-syarikat swasta, kilang-kilang, Perbadanan Pengurusan (Management Corporation), Kompleks Beli Belah, Hotel-hotel dan sebagainya. Semua pihak berkenaan telah kita jemput supaya hadir ke Majlis pelancaran pada petang ini. Inilah masa dan ketikanya, setahun sekali untuk kita mempamerkan semangat patriotik kita kepada negara kita Malaysia yang tercinta.

Y.Bhg. Dato’-dato’/Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Dato’-dato’/Tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang sudi hadir ke Majlis kita pada hari ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu dalam merancang dan melaksanakan program ini dengan lancar dan teratur. Kesemua ini menunjukkan bahawa kita rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu lebih-lebih lagi dalam menjayakan program Bulan Kemerdekaan ini. Semoga negara kita akan terus bebas, aman dan makmur bagi membolehkan kita menikmati erti Kemerdekaan yang sebenarnya.

Dengan harapan itu, dan dengan lafaz Bismilahirahmannirrahim, saya dengan ini melancarkan Kempen “Pengindahan Bandar dan Penyertaan Penduduk Bandar Sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-47”

Wabilahitaufik walhidayah,

wasalammualaikum……

Terima kasih.