PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
09-Nov-2003HARI : Ahad
MAJLIS
:
MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI KITAR SEMULA KEBANGSAAN TAHUN 2003
TEMPAT
:
PUTRAJAYA
ISU
:
KITAR SEMULA



TEKS UCAPAN PENUH :

Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri

Y. B. Datuk Peter Chin Fah Kui
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y. Bhg. Tan Sri Samsudin Osman
Ketua Setiausaha Negara

Y. Bhg. Dato’ Lokman Hakim bin Mohd Jasan
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y.B. Ahli-ahli EXCO Kerajaan Tempatan

Datuk-Datuk Bandar/Yang Dipertua-Yang Dipertua
Pihak Berkuasa Tempatan

Dif-dif Jemputan

Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Selamat petang dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih saya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang kita kasihi, kerana telah sudi melapangkan masa beliau untuk bersama-sama dengan kita pada petang ini bagi merasmikan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Tahun 2003.

Kami amat menghargai kehadiran Yang Amat Berhormat di majlis ini, yang dengan sendirinya menunjukkan bahawa YAB Perdana Menteri kita mengambil berat terhadap isu-isu alam sekitar khususnya pelaksanaan program kitar semula di negara kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Pada masa ini, setiap individu di negara kita menghasilkan sampah-sarap kira-kira 0.8kg sehari dan kadar ini dijangka akan meningkat lagi sekiranya kita tidak mula mengawal cara pengeluaran dan pembuangan sampah kita. Dengan melaksanakan Program Kitar Semula, masalah kekurangan kawasan tanah untuk menyediakan tapak-tapak pelupusan dapat diminimakan.

Di samping itu, kita juga dapat mengurangkan keperluan mengimport bahan- bahan terpakai untuk industri tempatan. Misalnya, pada tahun 2002 kita mengimport sebanyak kira-kira 790 ribu tan kertas terpakai yang bernilai lebih daripada RM1.22 billion. Kita mengimport kaca dan plastik terpakai dengan jumlah lebih daripada 6000 tan setahun.

Tuan-tuan dan Puan-puan

Semenjak Program ini diadakan, didapati bahawa kesedaran masyarakat terhadap kitar semula telah dipertingkatkan. Ini jelas dilihat daripada pertanyaan dan sokongan yang banyak diterima oleh pihak Kementerian daripada pelbagai pihak seperti orang awam, sektor korporat, NGO dan institusi-institusi pengajian tinggi serta institusi pendidikan. Pihak-pihak tersebut didapati semakin aktif melaksanakan aktiviti kitar semula secara berjadual dan berterusan. Misalnya NGO mengadakan minggu mengitar semula, sekolah-sekolah menubuhkan kelab persekitaran dan kitar semula dan pejabat-pejabat mengadakan program-program yang menjurus kepada pengurangan penghasilan sampah.

Selain itu, banyak artikel mengenai kitar semula dan mengenai keperluan usaha pengurangan sampah semakin kerap diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan di majalah, malah terdapat beberapa akhbar yang mempunyai ruang khas secara berjadual membincangkan isu ini. Ada juga penganugerahan daripada akhbar tempatan untuk menggalakkan usaha menghasilkan idea-idea yang dapat menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar termasuk usaha kitar semula.

Kesedaran terhadap kitar semula ini juga berjaya diwujudkan di kalangan sektor korporat di mana terdapat sebilangan syarikat swasta yang terkenal telah mengadakan kempen kitar semula masing-masing serta mewujudkan sistem untuk mendapatkan semula pakejing atau produk mereka yang telah digunakan oleh pembeli/pengguna untuk dikitar semula.

Di samping itu, Kementerian saya telah menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pihak swasta yang mencadangkan untuk diadakan sistem-sistem dan teknologi yang bersesuaian untuk mempertingkatkan kadar kitar semula. Pihak-pihak tersebut telah mula sedar kitar semula boleh menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pihak syarikat dan pihak Kerajaan atau masyarakat.

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selain dari program kesedaran, Kementerian saya bercadang untuk menambahkan dan memperbaiki lagi kemudahan-kemudahan yang sedia ada supaya sesuai dengan keperluan pengguna serta mengadakan suatu sistem kutipan barangan kitar semula dari pintu rumah-rumah pengguna (kerbside collection).

Selain dari bahan-bahan kaca, kertas, plastik dan logam yang dimulakan untuk program ini, Kementerian akan mula meliputi bahan-bahan lain seperti tayar terpakai dan sisa buangan dari pasar-pasar basah.

Program Kitar Semula ini memerlukan penglibatan banyak pihak iaitu bermula daripada individu yang menghasilkan sampah, pihak yang mengambil barangan kitar semula, pihak yang mengitar semula serta pihak yang menjalankan program-program kesedaran kitar semula. Semua pihak ini saling memerlukan kerjasama yang erat di antara satu sama lain dan oleh itu suatu rangkaian yang sistematik dan sistem koordinasi yang baik adalah perlu. Sehubungan itu, Kementerian saya akan mengeluarkan Buletin berkala yang mempunyai maklumat-maklumat mengenai kesemua pihak yang terlibat tersebut bagi membantu wujudkan sistem rangkaian kitar semula. Buletin ini akan mula dikeluarkan pada tahun hadapan.

Tuan-tuan dan Puan-puan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merasakan bahawa satu model yang dapat menunjukkan pelaksanaan aktiviti kitar semula yang baik perlu diadakan untuk dijadikan contoh oleh pihak-pihak lain terutamanya pihak PBT bagi melaksanakan program kitar semula yang berkesan. Sehubungan itu, Putrajaya dan Cyberjaya telah dipilih untuk dijadikan sebagai model pelaksanaan aktiviti kitar semula. Dengan pemilihan ini, program kitar semula yang telahpun dimulakan di Putrajaya dan Cyberjaya akan dipelbagaikan dan dipertingkatkan.

Dengan kehadiran ramai Ahli-ahli Majlis dan pegawai PBT di Majlis ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyebut beberapa perkara yang ada kaitan terus dengan perkhidmatan yang diberikan oleh PBT kepada orang awam.

Peningkatan Kecekapan PBT

Saya menyambut baik dan menyokong penuh arahan YAB Perdana Menteri untuk menstruktur semula operasi kerja dan meningkatkan sistem penyampaian pejabat Daerah dan PBT dan seterusnya mencegah rasuah .
Pada minggu lalu, beberapa keputusan penting yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri untuk meningkatkan mutu pentadbiran awam supaya ia menjadi lebih cekap, telus dan licin telah disambut baik oleh seluruh lapisan masyarakat. Sudah tentu , ia akan memberi kesan yang amat besar dan menggariskan hala tuju yang baru kepada pentadbiran awam negara kita.

Antara langkah-langkah positif yang diambil temasuk menubuhkan pasukan petugas untuk mengurangkan kerenah birokrasi di peringkat pusat dan di peringkat negeri serta rombakan semula agensi barisan hadapan kerajaan, terutamanya pejabat tanah, pejabat daerah dan PBT.

Perangi Rasuah

Kita yakin, dengan adanya pembaharuan ini, imej pentadbiran awam yang berteraskan bersih , cekap dan amanah akan dapat diwujudkan . Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, amalan-amalan yang kurang sihat seperti masalah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan pegawai dan kakitangan PBT sering menjadi bahan paparan dalam media tempatan.

Punca-punca berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan ini di antaranya ialah kerana kelewatan, kurang atau tiada ketelusan, kurang atau tiada akauntabiliti, penggunaan kuasa budi bicara tanpa kawalan, tiada sistem ‘check and balance’, kurang integriti dan kurang kapasiti dan keupayaan.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan PBT ini adalah seperti -

a) menetapkan tempoh masa penyiapan tugas;
b) mengemaskinikan Manual Prosidur Kerja (MPK), Fail Meja dan Carta Aliran Kerja yang berkaitan dengan permohonan dan kelulusan lesen dan permit serta mewujudkan sistem pendaftaran dan pemantauan permohonan-permohonan lesen dan permit;
c) mengkaji semula peruntukan undang-undang bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan;
d) memperkemaskan sistem dan prosidur kerja penguatkuasaan;

Dalam hal ini, Kementerian saya telahpun mengeluarkan satu garis panduan yang mempermudahkan urusan memproses dan memberi kelulusan Pelan Bangunan dan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dengan mewujudkan Pusat Sehenti (OSC) di peringkat PBT dan di peringkat negeri.

Mesra Rakyat.

PBT juga ada kalanya dilabelkan sebagai sebuah organisasi yang tidak mesra rakyat, tidak sensitif dan kurang memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat di dalam kawasan pentadbirannya. Ianya dikatakan gagal untuk mengambil tindakan dengan cepat dan tepat dalam mengatasi masalah yang timbul dan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengambilkira sensitiviti rakyat dan pelanggannya. Pegawai-pegawai penguatkuasa di peringkat PBT dikatakan pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak melakukan keadilan terhadap sesetengah pihak. Mereka juga dikatakan tidak cekap dan tidak faham tentang undang-undang yang dikuatkuasakan.

Persepsi negatif ini perlu dikikiskan daripada minda rakyat dan masyarakat keseluruhannya. Imej Kerajaan peringkat ketiga yang terdekat dengan rakyat ini perlu dipulihkan agar kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan pada keseluruhannya tidak terjejas.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Berbalik kepada Majlis hari ini, untuk menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak yang membantu dalam menjayakan program kitar semula, Kementerian saya telah mengadakan anugerah penghargaan kepada agensi kerajaan, swasta, NGO, CBO dan institusi pengajian ini. Setiap tahun, agensi--agensi yang terpilih akan diberi penghargaan dan sedikit bantuan kewangan pada majlis sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan. Tujuan penghargaan ini diadakan adalah untuk memastikan budaya mengitar semula berterusan menjadi amalan pelbagai lapisan masyarakat negara ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang hadir ke Majlis pada petang ini.

Pihak Kementerian saya juga telahpun memohon kepada semua kerajaan negeri agar mengadakan Majlis Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Tahun 2003 di peringkat negeri secara serentak di seluruh negara pada 11 November 2003 di negeri masing-masing di mana teks ucapan rasmi YAB Perdana Menteri akan dibaca sebagai sebahagian dari acara pada hari tersebut.

Saya berharap semua pihak akan terus memberi kerjasama dan sokongan yang sewajarnya bagi memastikan Program Kitar Semula ini mencapai matlamatnya.

Sekian, terima kasih.