PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
14-May-2006HARI : Ahad
MAJLIS
:
SUKAN NASIONAL (SUKNA) JABATAN PERANCANGAN BANDAR DAN DESA MALAYSIA
KE XIII - 2006
TEMPAT
:
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA SKUDAI, JOHOR
ISU
:
LAIN-LAIN



TEKS UCAPAN PENUH :


Saudara Pengacara Majlis,

YB. Datin Paduka Hajah Norsiah binti Haron
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor

Y.Bhg. Dato’ Mohd. Fadzil b. Jahi Mohd. Khir
Ketua Pengarah
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung

Y.Bhg. Dato’ Hj. Zainul b. Hj. Ayob
Timbalan Ketua Pengarah (I)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa

Yang Berusaha Puan Lok Yin Ming
Timbalan Ketua Pengarah (II)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa


Yang Berusaha Tuan Haji Hassan Basery bin Hamzah,
Pengarah Jabatan Perancangan Bandara dan Desa Negeri Johor,

Dif-dif Kehormat, Tan Sri – Tan Sri, Puan Sri - Puan Sri, Dato’ – Dato’, Datin – Datin, Tuan – Tuan, Puan – Puan, Saudara Saudari yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera dan selamat petang.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semananjung Malaysia dan Jabatan Perancangan bandar dan Desa Negeri Johor selaku tuan rumah dan penganjur kepada Sukan Nasional kerana menjemput saya untuk menghadiri dan seterusnya menyempurnakankan Majlis Perasmian Sukan Nasional (SUKNA) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia kali ke 13 di Johor Bharu dari 13 hingga 17 Mei ini. Tahniah kepada semua warga JPBD Negeri Johor atas persiapan dan Komitmen yang jitu dan padu dalam menjayakan temasya sukan dwitahunan ini.

Tuan-tuan dan Puan–puan yang saya hormati sekalian,

Sukan Nasional (SUKNA) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia yang ke 13 yang diadakan di Johor ini merupakan acara sukan dwitahunan yang telah dianjurkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia bermula dari tahun 1982 dengan tujuan utama untuk mewujudkan warga kerja dan keluarga Jabatan yang cergas dan cerdas yang dapat memikul tangggungjawab yang diamanahkan dalam merancang pembangunan negara.

Disamping itu juga, acara sukan ini dapat memberi peluang kepada semua warga kerja Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia, ahli-ahli Pertubuhan Perancang Malaysia (Malaysian Institute of Planners atau MIP serta semua lapisan pegawai dari Jabatan Perancangan Bandar Negeri Sabah untuk mengenali dengan lebih dekat antara satu sama lain. Di samping itu, melalui temasya sukan sebegini, diharap dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang sukan yang mana boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Saya telah difahamkan bahawa sebanyak 10 jenis acara sukan dan permainan akan dipertandingkan di dalam Sukan Nasional (SUKNA) pada kali ini. Dan yang terbaru diperkenalkan ialah futsal. Futsal adalah bola sepak indoor yang merupakan variasi dari bola sepak konvensional. Adalah diharapkan acara sukan ini akan dapat diperkembangkan dan disenaraikan sebagai salah satu acara dalam Sukan Nasional kelak.

Kesemua acara yang dipertandingkan melibatkan penyertaan pelbagai pihak dan peringkat umur selaras dengan tema sambutan kali ini iaitu Sukan Cemerlang Jabatan Gemilang”.


Tuan-tuan dan Puan–puan yang saya hormati sekalian,

Sukan Nasional (SUKNA) ini bukanlah sekadar untuk rekreasi dan kecergasan semata-mata malah diharap dapat melahirkan warga Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia yang bertanggungjawab, dinamik dan cemerlang dalam pelbagai aspek. Ini kerana setiap acara sukan yang dipertandingkan mempunyai peraturan-peraturan yang telah dipersetujui oleh semua pihak yang bertanding. Mereka yang melanggar peraturan akan dihukum berdasarkan peraturan sedia ada. Di dalam sukan juga mengandungi konsep ”fair-play”, persefahaman, disiplin, taat, daya saing, perjungan, persediaan strategi ke arah memenangi sesuatu pertandingan.

Aktiviti program sukan yang diadakan ini juga akan dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat seterusnya membentuk insan yang berkualiti. Di samping itu, melalui aktiviti sukan tersebut akan mempamerkan nilai-nilai dan semangat kesukanan serta daya juang yang begitu baik.

Acara sukan seperti ini merupakan satu wadah yang disediakan oleh Jabatan bagi mendukung matlamat kerajaan melahirkan pekerja-pekerja yang sentiasa cergas, cekap, aktif, berdidiplin, berdaya maju dan berdaya tahan. Ini sekaligus dapat membantu melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran di masa hadapan. Yang lebih penting lagi ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara semua negeri dan para pemain yang menyertai acara sukan ini.

Akhir sekali, saya mengucapkan selamat bertanding kepada semua peserta dalam semangat kesukanan yang tinggi dan harmoni. Jangan menyerah kalah sebelum berusaha. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sukan Nasional ( SUKNA ) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia Ke 13.

Sekian.