PENYAMPAI
:
KETUA PENGARAH JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIAKATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
12-Jan-2002HARI : Sabtu
MAJLIS
:
PERLANCARAN KEMPEN MENCEGAH KEBAKARAN
TEMPAT
:
JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT ,KUALA LUMPUR
ISU
:
BOMBA DAN PENYELAMAT



TEKS UCAPAN PENUH :

1

Bismillahhirrahmanirrahim

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis,

YB Dato’ Seri Ong Ka Ting
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

YB Senator Datuk M Kayveas
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

YB Dato’ Zulhasnan b. Rafique
Ahli Parlimenm Wangsa Maju

YAS Dato’ Jaafar Sidek b. Tambi
Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia

Wakil-wakil media yang hadir pagi ini,

Y.Bhg Dato’-Dato/Tuan-tuan/Puan-puan,
Serta hadirin yang dihormati sekalian,

Terlebih dahulu saya dengan penuh takzim melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataal kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat bersama-sama bagi menjayakan majlis pada pagi ini. Saya bagi pihak Jawatankuasa Induk Kempen Mencegah Kebakaran ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran dan kesudian YB Dato’ Seri Ong Ka Ting Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan hadir ke majlis ini dan seterusnya merasmikan pelancaran Minggu Kempen Mencegah Kebakaran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2002. Tidak ketinggalan juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang turut memeriahkan lagi majlis ini.
YB Dato Seri/Dato’-Dato/Tuan-Tuan/Puan-Puan,

Program Minggu Kempen Mencegah Kebakaran Peringkat Kebangsaan 2002 merupakan salah satu aktiviti kempen kesedaran yang dijalankan oleh Jawatankuasa Induk Kempen dalam usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarat terhadap kepentingan pencegahan kebakaran.

Program ini merupakan sayap utama program pembelajaran awam JBPM. Ianya telah dilancarkan secara rasmi buat pertama kalinya pada tahun 1984 dengan tema “Cegahlah Kebakaran”. Program diteruskan secara tahunan dengan tema berbeza sehingga tahun 1992. Mulai tahun 1993, pendekatan perlaksanaan program telah diubah dari segi tempoh perlaksanaan dimana dijalankan dalam fasa 3 tahun dengan menetapkan kumpulan sasaran tertentu. Kita kini berada dalam fasa 2000-2002. Berdasarkan jumlah kematian yang tinggi daripada kebakaran rumah dan setinggan, penghuni rumah kediaman telah dijadikan kumpulan sasaran dengan tema kempen “Keselamatan Keluarga Kesejahteraan Negara”.

YB Dato Seri/Dato’-Dato/Tuan-Tuan/Puan-Puan,

Program Minggu Kempen Mencegah Kebakaran Peringkat Kebangsaan 2002 ini akan berterusan selama 3 hari bermula pada hari ini. Kawasan perumahan Taman Sri Rampai telah dipilih sebagai tapak pelancaran untuk disesuaikan dengan kumpulan sasar kempen iaitu “isi rumah”. Pemilihan tempat seperti hari ini diharap membolehkan penyampaian mesej kempen dengan lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.

Sepanjang program berlangsung, orang ramai akan berpeluang untuk memperolehi informasi dan pendidikan dalam pelbagai aspek pencegahan kebakaran melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan. Aktiviti-aktiviti seperti pameran, pertandingan mewarna dan melukis, pertandingan kawad, tayangan filem dan dokumentari , ceramah Modul Pembelajaran Awam, perlantikan Teman Pili Bomba dan sebagainya diharap akan memenuhi dan menyampaikan mesej kempen kepada semua ahli atau entiti dalam institusi keluarga. Oleh itu suka saya mengambil kesempatan ini untuk menjemput Dato’-Dato/Tuan-Tuan/Puan-Puan semua ke program yang telah dirancang untuk esok dan lusa.

YB Dato Seri/Dato’-Dato/Tuan-Tuan/Puan-Puan,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, suka saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana memanafaatkan majlis ini khasnya kepada Y.B. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Y.B. Timbalan Menteri atas kesudian hadir. Pihak jawatankuasa juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Y.B. Dato’ Hj Zulhasnan b. Rafique, Ahli Parlimen Wangsa Maju kerana telah memberikan sokongan penuh memastikan program tiga hari ini berjalan dengan lancarnya. Begitu juga dengan kerjasama dari agensi-agensi lain khasnya kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Penerangan, Kementerian Perpaduan Negara, DBKL, Polis DiRaja Malaysia, St John Ambulance dan lain-lain. Terima kasih juga sekali lagi kepada Dato’-Dato/Tuan-Tuan/Puan-Puan sekelian yang telah sudi hadir dan memeriahkan majlis pada hari ini.,Tidak lupa juga kepada Jawatankuasa Kerja Kempen Mencegah Kebakaran yang telah bertungkus lumus memastikan kejayaan majlis hari ini dan program seterusnya dilaksanakan dengan jayanya. Saya berharap kita semua mendapat manafaat atas kehadiran pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan selamat pagi.