PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
12-Sep-2004HARI : Ahad
MAJLIS
:
MAJLIS PELANCARAN MAJLIS KECERGASAN KEBANGSAAN
TEMPAT
:
TAPAK STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL
ISU
:
LAIN-LAIN



TEKS UCAPAN PENUH :

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera,

Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia.

Y. B. Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

Y. B. Datuk Dr. Chua Soi Lek
Menteri Kesihatan Malaysia.

Y. B. Datuk Azalina binti Othman Said
Menteri Belia dan Sukan Malaysia

Y. B. Menteri-Menteri Kabinet
Y.A.B. Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri
Y. B. Timbalan-Timbalan Menteri
Y. B. Setiausaha-Setiausaha Parlimen
Ahli-Ahli Yang Berhormat
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian
Dif-Dif Jemputan, Dato’-Dato’/Tuan-Tuan/Puan-Puan

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan dan menyampaikan ucapan ribuan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang kita sayangi, kerana dapat melapangkan masa untuk dapat hadir bersama di dalam Majlis Pelancaran Majlis Kecergasan Kebangsaan pada pagi ini. Tidak ketinggalan juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk-Datuk/Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta para hadirin sekalian, kerana dapat juga hadir bersama-sama bagi memeriahkan lagi majlis pelancaran pada pagi ini.

Penubuhan Majlis Kecergasan Kebangsaan, yang akan dilancarkan sebentar lagi adalah usaha yang baik dan tepat pada masanya dalam usaha membantu Kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang cergas, sihat dan bersatu padu. Penglibatan empat ( 4 ) agensi Kerajaan dalam Majlis tersebut akan dapat menggembeling tenaga secara bersepadu agar aktiviti-aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Sesungguhnya kehadiran Datuk-Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan pada hari ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha ini, kerana tanpa kerjasama yang erat dan bersatupadu daripada semua lapisan masyarakat segala program yang dirancang tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.

Datuk-Datuk / Tuan-Tuan / Puan-Puan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam konteks program ini terlibat secara langsung dalam memberikan peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, untuk membina kemudahan-kemudahan sukan seperti padang permainan, padang bola, dewan orang ramai, dewan serbaguna serta kemudahan-kemudahan rekreasi mengikut keperluan di peringkat tempatan. Pada tahun 2004 sejumlah RM 40 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek berkenaan. Peruntukan ini termasuklah bagi maksud pembinaan projek-projek baru dan untuk penyelenggaraan. Adalah diharapkan segala kemudahan yang disediakan ini dapat digunakan sepenuhnya bagi aktiviti yang dirancangkan diperingkat tempatan, secara bersepadu bagi melahirkan bangsa Malaysia yang cergas, sihat, dan bersatu padu, untuk memastikan kemajuan Negara kita.

Dalam hubungan ini, Kementerian akan membantu bagi memastikan aktiviti sukan dan kecergasan yang akan dijalankan di peringkat tempatan, selaras dengan objektif penubuhan Majlis Kecergasan Kebangsaan, antaranya melalui kerjasama dengan Pejabat Belia dan Sukan dan memaksimumkan penggunaan kemudahan sukan untuk aktiviti sukan dan kecergasan. Sebagaimana kita semua sedia maklum, terdapat PBT-PBT yang mengambil inisiatif sendiri telahpun menganjurkan secara berjadual pelbagai program sukan diperingkat tempatan, dan ada di antaranya yang melibatkan peserta dari luar negara. Terdapat juga PBT-PBT yang terlibat dengan program sedia ada seperti aktiviti Rakan Muda Sukan, Waja Diri, Rekreasi serta aktiviti senamrobik yang melibatkan penyertaan masyarakat tempatan yang akan diteruskan. Walau bagaimanapun ianya perlu diperluaskan lagi dengan penglibatan masyarakat keseluruhannya, dan ianya hendaklah diuruskan dengan berkesan secara bersepadu oleh pelbagai agensi yang terlibat dalam majlis ini.

Di samping itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga memberi fokus kepada usaha bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan menarik yang dilaksanakan oleh Jabatan-jabatan seperti Jabatan Landskap Negara dan Jabatan Kerajaan Tempatan. Salah satu program yang dimaksudkan adalah program kitar semula. Semenjak program tersebut dilaksanakan, kesedaran dan penglibatan atau sokongan masyarakat untuk menyertainya masih boleh dipertingkatkan lagi. Atas faktor tersebut, maka pada hari ini pameran mengenai kitar semula telah diadakan dan diharap semua yang hadir dapat membantu untuk melaksanakannya dan juga menyertai acara berkaitan yang telah diatur.

Datuk-Datuk / Tuan-Tuan / Puan-Puan

Akhir sekali saya berharap segala perancangan dan aktiviti yang diatur sempena program ini diharap boleh mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Pihakberkuasa Tempatan.

Sekian Terima Kasih.