Bismillahir rahmanir rahim
Y.Bhg. Dato’Ahmad Bin Hj. Kabit
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Y.Bhg. Datin Noriah bt. Hashim
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
Y. Bhg. Dato’ Hasan Nawawi Bin Abd. Rahman
YDP Majlis Perbandaran Kajang
Y.Bhg. Esa bin Hj. Ahmad
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara
Dato’- Dato’,
Tuan-tuan & Puan-puan serta para hadirin sekelian
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera dan selamat malam. Salam 1 Malaysia.
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Landskap Negara kerana telah berjaya mewujudkan satu program yang penting dalam usaha menggerak serta memajukan industri landskap kita, dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
2. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Kerja Penganjuran yang telah berusaha tanpa mengira penat-lelah bagi menjayakan karnival landskap ini.
3. Tidak ketinggalan juga kepada pengusaha-pengusaha yang mengambil bahagian dalam karnival ini, dan jelas menampakkan kesungguhan untuk turut serta bagi mencemerlangkan industri landskap negara.
Dato’- Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
4. 1MALAYSIA: NEGARA TAMAN merupakan tema Hari Landskap Negara tahun ini ia bertepatan dengan konsep gagasan 1Malaysia di mana setiap masyarakat dapat menikmati suasana kehijauan dan persekitaran yang selamat, selesa dan seimbang serta menyemai rasa kecintaan dan kebanggaan rakyat negara ini terhadap persekitaran kehidupan beridentitikan Malaysia.
INDUSTRI LANDSKAP
5. Sambutan Karnival Industri Landskap yang pertama kali dianjurkan berjaya menghimpunkan penyertaan dari pelbagai pihak yang terlibat dengan bidang perlandskapan seperti pembekal, kontraktor, perunding, NGO, profesional dan ahli akedemik. Ini, pada saya merupakan petanda yang positif kepada pewujudan SATU INDUSTRI LANDSKAP yang berdaya saing di negara ini. Industri landskap Malaysia perlu dibangunkan sebagai satu industri yang menggabungkan profesion dan pengusaha perlandskapan negara agar mampu bersaing dipersada antarabangsa.
6. Tujuan utama Karnival Industri Landskap adalah untuk memberi ruang kepada pengusaha industri landskap mempromosikan produk keluaran mereka, sebagai platform asas kepada para pengusaha untuk bertukar-tukar pengalaman serta pengetahuan bagi mengukuhkan produk keluaran masing-masing, selain mewujudkan kerjasama serta jaringan pemasaran yang lebih luas bagi industri landskap.
7. Selain daripada itu, karnival ini juga diharap dapat memberi pendedahan maklumat serta pengetahuan kepada orang ramai tentang bidang-bidang industri landskap serta kepelbagaian produk yang dihasilkan. Pada masa yang sama karnival ini dapat meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap produk industri landskap tempatan yang membawa imej, identiti dan semangat Malaysia.
Dato’ - Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
INDUSTRI LANDSKAP ADALAH ’GREEN INDUSTRY’
8. Industri landskap adalah ’Green Industry’ yang penting kepada negara. Industri ini mencakupi produk landskap lembut dan kejur; perkhidmatan rekabentuk landskap; pembinaan landskap dan persekitaran; dan seterusnya pengurusan dan penyelenggaraan landskap. Untuk berkembang maju, industri landskap perlulah mempunyai kepelbagaian produk yang inovatif, berkualiti, dengan jaringan pasaran yang mantap dan luas. Ia juga seharusnya terkini dengan teknologi yang sesuai.
9. Seperti di negara-megara maju, industri landskap negara juga perlu dipacu ke arah ’self regulatory’. Saya amat yakin ini dapat kita capai dengan peranan yang dimainkan oleh badan profesional seperti Institut Arkitek Landskap Malaysia yang menyelia dan mengawal kualiti kerja-kerja perancangan dan rekabentuk landskap; dan Persatuan Arborist Malaysia dalam menyelia dan mengiktiraf pekerja kemahiran profesional teknikal penyelenggaraan pokok-pokok teduhan.
10. Saya percaya pengeluar bahan tanaman landskap juga dan lain-lain pengusaha boleh melakukan kaedah yang sama dalam mengawal kualiti perkhidmatan dan produk yang mereka dikeluarkan. Agensi kerajaan seperti Jabatan Landskap Negara dan lain-lain agensi boleh bertindak sebagai pemudahcara dalam penetapan kawalan kualiti dan pendorong ke arah usaha yang inovatif oleh pengusaha-pengusaha bagi mencapai tahap industri landskap negara yang mampan.
UTAMAKAN KUALITI: PENYEDIAAN PIAWAIAN BAHAN-BAHAN PERLANDSKAPAN
Dato’- Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
11. Saya percaya, kualiti merupakan faktor utama yang penting untuk semua industri. Bagi memastikan produk industri landskap negara dapat diterima dengan baik diperingkat tempatan dan antarabangsa, saya berpandangan piawaian bahan-bahan perlandskapan perlu diusahakan bagi dijadikan rujukan spesifikasi dan kualiti sesuatu kumpulan produk landskap. Piawaian ini akan dapat meningkatkan tahap keyakinan dan penerimaan pengguna terhadap mutu produk landskap tempatan dan seterusnya merangsang permintaan produk landskap negara. Piawaian ini juga akan memudahkan pengusaha industri landskap mensasarkan kualiti produk bagi memenuhi kreteria yang dapat diterima oleh pasaran tempatan maupun pasaran antarabangsa.
12. Sebagai langkah pertama, keperluan Piawaian Bahan Tanaman perlu digariskan bagi meliputi bahan-bahan tanaman dari kategori pokok utama, pokok palma, pokok renek, rumput turf dan lain-lain. Ciri-ciri bahan tanaman yang dikendaki untuk pembangunan landskap dan taman seperti tinggi keseluruhan, tinggi batang, ukurlilit, percabangan, saiz ’root ball’, daun, bunga, ketulinan dan dan kualiti akan dijelaskan mengikut kategori tanaman berkenaan. Walaupun telah ada panduan spesifikasi bahan tanaman, saya percaya ianya boleh dimantapkan lagi melalui penyediaan piawaian ini.
13. Pihak industri semaian perlu meningkatkan kualiti bahan tanaman dan mempelbagaikan produk spesis tempatan. Banyak spesis tanaman tempatan yang berpotensi dan bernilai komersial masih tidak diketengahkan. Pengusaha lebih berminat untuk mengimport spesis luar yang mana dalam jangkamasa panjang berkemungkinan boleh mengenepikan keunikan ciri-ciri tropika landskap Malaysia.
Dato’ - Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
14. Pihak kementerian menerusi Jabatan Landskap Negara telah merangka program bimbingan kepada para pengusaha untuk menghasilkan produk landskap yang berkualiti dan perniagaan diurus dengan cemerlang. Antaranya adalah Kursus-kursus Landskap Jangka Pendek yang bertujuan melengkapkan ilmu pengetahuan teknikal pengurusan pengusaha industri landskap. Selain itu bagi memenuhi keperluan tenaga kerja ini dalam sektor kerajaan, Jabatan Landskap Negara bersama Institut Latihan KPKT akan melatih pekerja-pekerja dari Pihak Berkuasa Tempatan bagi meningkatkan kemahiran penyelenggaraan landskap dan taman awam menyerupai Program ’Master Gardener’.
15. Saya juga ingin menyarankan supaya usaha ini dikembangkan di institusi-institusi pengajian lain untuk mewujudkan ’Master Gardener’ bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor bukan kerajaan bagi merealisasikan Negara Taman Terindah Tahun 2020. Ini membuktikan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti Industri Landskap di negara ini.
BAHAAN BACAAN BERKAITAN LANDSKAP DAN TAMAN
Dato’ - Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
16. Satu lagi bidang industri landskap yang amat kurang diberi penekanan adalah bahan bacaan berkaitan landskap dan taman. Di Malaysia kita mempunyai ramai orang yang mahir dalam landskap dan rekabentuk taman. Kita juga mempunyai ramai peminat dalam bidang ini. Saya menyeru agar diperbanyakkan penerbitan buku-buku dan bahan bacaan landskap tempatan dengan sasaran pasaran dalam dan luar negeri. Secara tidak langsung, menerusi buku-buku ini, kita juga mampu mempromosi produk landskap tempatan. Malah tenaga profesional landskap juga dapat diketengahkan menerusi rekabentuk-rekabentuk landskap yang menarik yang dimuatkan di dalam buku-buku landskap berkenaan.
KERJASAMA KERAJAAN, NGO DAN PENGUSAHA INDUSTRI LANDSKAP
Dato’ - Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
17. Industri landskap tidak boleh selamanya dianggap sebagai ’tempelan’ dan dipandang remeh. Ia harus diusahakan dengan penuh kesungguhan oleh pengusaha dan dipacu dengan matlamat yang jelas oleh agensi kerajaan bagi membolehkan industri landskap cemerlang diperingkat tempatan dan antarabangsa.
18. Pengusaha perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diusahakan dan sentiasa memperbaiki diri atau ’self improvment’. Dengan daya tahan serta kendiri yang tinggi saya percaya pengusaha industri ini mampu memastikan kejayaan yang berkekalan.
19. Oleh yang demikian saya menyeru NGO dan Para Pengusaha Industri Landskap terus bekerjasama dengan Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meningkatkan lagi industri landskap di negara ini.
20. Bagi Kerajaan, melalui Jabatan Landskap, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kesungguhan kerajaan begitu besar apabila dalam RMK-9 kerajaan memperuntukkan RM296.23 juta untuk Program Landskap Negara. Ini adalah bukti betapa kerajaan sangat serius membangunkan landskap di negara ini.
21. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Perasmian Karnival Industri Landskap sempena Hari Landskap Negara 2010.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim yang dengan ini saya merasmikan Karnival Industri Landskap Tahun 2010. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuhu serta selamat sejahtera.
Sekian. Terima kasih.