PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
11-Oct-2004HARI : Isnin
MAJLIS
:
MAJLIS PERASMIAN TAYANGAN AMAL
FILEM ‘LADDER 49’ SEMPENA HARI ANGGOTA BOMBA
2004
TEMPAT
:
GSC, MID-VALLEY MEGAMALL, KUALA LUMPUR
ISU
:
BOMBA DAN PENYELAMAT



TEKS UCAPAN PENUH :

Y.Bhg. Dato’ Lokman Hakim Mohd Jasan,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan,

YAS. Dato’ Hj Jaafar Sidek Tambi,
Ketua Pengarah,
Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Malaysia,

Y.Bhg. En Irving Chee,
General Manager,
Golden Screen Cinema Sdn. Bhd

En. Daniel Yong Chen,
General Manager Mid-Valley City Sdn Bhd.

Ketua Ketua Jabatan,

Pegawai Pegawai Kanan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia,

Tuan Tuan Dan Puan Puan Yang Saya Hormati Sekelian,


Selamat Malam Dan Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput saya untuk hadir menyempurnakan Perasmian Tayangan Amal Filem ’Ladder 49’ pada malam yang berbahagia ini, sempena Hari Anggota Bomba Tahun 2004, dengan tujuan untuk mengisi Tabung Kumpulan Wang Kebajikan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Malaysia.

Saya berasa amat terharu di atas usaha gigih yang ditunjukkan oleh pihak Jawatankuasa Penganjur, Majlis Sukan Dan Kebajikan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia ( MASKAB ) dengan kerjasama pihak Golden Screen Cinema dan Syarikat Buena Vista, bagi menjaya aktiviti tayangan amal ini, yang secara langsungnya membantu kerajaan bagi mengisi Tabung Kumpulan Wang Kebajikan Anggota Bomba.

Kegiatan yang murni seperti ini seharusnya menjadi contoh memandangkan hasil yang diperolehi daripada aktiviti ini akan menjadi sumber bantuan kepada Kerajaan amnya dan Jabatan Bomba khasnya, untuk mengisi tabung yang akan digunakan untuk dihulur kepada ahli keluarga atau kakitangan yang mengalami musibah semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Perkhidmatan kebombaan dan menyelamat adalah antara tugas yang murni, yang banyak memberi bantuan kepada orang ramai, baiknya di masa kecemasan mahupun dalam keadaan aman. Ianya merupakan suatu perkhidmatan yang cukup mencabar dan berisiko tinggi dimana seseorang anggota bomba sanggup memberbahayakan keselamatan diri dan menyabung nyawa demi untuk menyelamatkan orang lain.

Di negara-negara maju perkhidmatan bomba adalah di antara berbagai jenis perkhidmatan yang dihormati dan disegani dalam masyarakat, kerana pergorbanan kakitangan dan anggota bomba, yang sanggup meninggalkan keluarga tanpa mengira waktu dan membelakangkan kepentingan diri demi memastikan keselamatan orang lain terjamin dan dipelihara. Sifat-sifat murni dan luhur seperti ini sudah kurang dipamerkan dalam masyarakat moden buat masa kini.

Di atas dasar ini, kita boleh tafsirkan bahawa pengorbanan anggota bomba setiap hari dalam masyarakat kini, adalah setaraf dengan kepentingan para anggota keselamatan lain seperti polis dan tentera, dalam peranan mereka menjaga keselamatan dan mempertahankan negara.

Dato’ Dato’, Tuan Tuan Dan Puan Puan,

Ramai juga daripada kalangan kakitangan bomba dan penyelamat, gugur dalam perkhidmatan semasa menjalankan tugas murni mereka, dan tidak kurang juga yang cedera dan cacat kekal seumur hidup. Sudah tentunya golongan seperti ini sewajarnya diberi penghormatan dan bantuan yang setimpal walaupun sumbangan tersebut tidak sama nilainya dengan nyawa yang hilang mahupun kecederaan kekal yang diretapi seumur hidup mereka tetapi bagi memastikan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa atau keluarga yang tinggal dapat diringankan.

Di atas dasar ini, Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Menyelamat, Malaysia, menginstitusikan Kumpulan Wang Tabung Kebajikan Anggota Bomba pada tahun 1999 di bawah akta 341, Akta Perkhidmatan Bomba, 1998, bagi memastikan setiap anggota bomba yang berkhidmat dalam organisasi ini menerima pampasan atau ex-gratia yang sewajarnya sekiranya mengalami kecederaan atau meninggal semasa bertugas.

Sejak tahun 1999 sehinga kini, tabung ini telah mengeluarkan sejumlah lebih kurang Rm670,000.00 dimana sebanyak RM540,000.00 untuk 38 pampasan kematian, sejumlah RM34,000.00 untuk pembelian alat bantuan anggota badan seperti kaki palsu, sejumlah RM32,000.00 untuk bantuan kerosakan kediaman dan sejumlah RM58,000.00 untuk pampasan cedera kekal .

Sehubungan itu, pada malam yang berbahagia ini, saya merayu kepada orang ramai agar ikhlas menghulurkan derma dan sumbangan kepada tabung ini di samping dapat sama-sama berhibur, menyaksikan sebuah filem yang menarik dan berkisarkan kepada pengorbanan anggota bomba dalam kesungguhan mereka memberi perkhidmatan memadam kebakaran dan menyelamatkan nyawa kepada masyarakat.

Saya amat berharap agar di masa-masa akan datang, semakin ramai penderma khususnya badan korporat tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan ikhlas mereka bagi mengisi tabung ini yang amat diperlukan oleh anggota bomba bagi memberi perlindungan kewangan apabila diperlukan.

Dengan ini, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan badan badan yang memberi kerjasama dan bantuan serta sokongan bagi menjayakan aktiviti ini. Dengan rasa amat sukacitanya saya merasmikan Tayangan Amal Filem ‘Ladder 49’ Sempena Hari Anggota Bomba Tahun 2004.

sekian, terima Kasih.