PENYAMPAI
:
KETUA PENGARAH JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIAKATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
26-Oct-2001HARI : Jumaat
MAJLIS
:
MAJLIS PERLANTIKAN PROFESOR ADJUNG (UKM) KEPADA Y. BHG. DATO’ JAAFAR SIDEK BIN TAMBI
TEMPAT
:
AWANA GENTING RESORT
ISU
:
BOMBA DAN PENYELAMAT



TEKS UCAPAN PENUH :

8


Y.Bhg. Pengerusi,
Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ucapan di majlis yang permai ini atas tajuk yang saya namakan “Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia – Dulu, Kini dan Masa Depan”.

Hadirin sekalian,

2. Ramai orang mengetahui mengenai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tetapi tidak ramai yang mengenalinya dengan dekat. Tak kurang juga yang hanya mengingati Bomba apabila ditimpa kecemasan atau bencana. Oleh itu pada kesempatan yang singkat ini, saya ingin mengajak hadirin sekelian untuk mengenali Jabatan Bomba dengan lebih dekat. Insya-Allah.

3. Perkara-perkara yang akan saya sentuh dalam taklimat saya ini ialah :-

Bermula dengan sejarah Jabatan Bomba secara ringkas, Diikuti dengan keadaan Jabatan Bomba pada masa ini,

Dan akhirnya saya akan menyentuh mengenai cabaran, aspirasi dan masa depan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Hadirin sekelian,

4. Meneruskan taklimat, saya memohon mengambil beberapa minit untuk menyingkap sedikit sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana ianya amat berkait rapat dengan keadaan Jabatan Bomba pada masa ini dan juga masa depannya.

5. Sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, boleh dibahagikan kepada 3 fasa iaitu: -

(i) Fasa I : Sebelum 1976 iaitu sebelum penyatuan, (ii) Fasa II : 1976-1990 (sebaik selepas penyatuan, merangkumi RMK3, RMK4 dan RMK5), dan

(iii) Fasa III: 1991 hingga sekarang (merangkumi RMK6 dan RMK7)

6. Perkhidmatan Bomba di negara ini telah ujud lebih 100 tahun yang lalu. Sehingga tahun 1976, Jabatan Bomba ditadbirkan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri dan 3 daripadanya ditadbir oleh Kerajaan Tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Melaka Tengah.

7. Manakala di peringkat pusat, diujudkan sebuah badan kawalselia yang dinamakan Jemaah Pemeriksa Perkhidmatan Bomba yang bertanggungjawab menasihati kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan berhubung standard-standard kebombaan yang perlu dipatuhi.

8. Sistem ini tidak berkesan kerana Kerajaan-kerajaan Negeri/ Kerajaan Tempatan tidak mengikut nasihat-nasihat yang diberikan. Akibatnya Perkhidmatan Bomba secara keseluruhannya berada dalam keadaan daif, bak kata pepatah “hidup segan mati tak mahu”.

9. Pada tahun 1975, sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Kerajaan untuk mengkaji keadaan Perkhidmatan Bomba telah mengesyorkan supaya Perkhidmatan Bomba ditadbir oleh Kerajaan Pusat. Hasilnya pada tahun 1976, Perkhidmatan Bomba Negeri-negeri di Semenanjung telah diambil alih.

10. Pada tahun 1977 Perkhidmatan Bomba dibawah Kerajaan Tempatan pula telah disatukan. Ini diikuti oleh Perkhidmatan Bomba Negeri Sabah dan Sarawak yang disatukan pada tahun 1981. Dengan itu, maka lahirlah Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia.

11. Diakhir penyatuan, bilangan Balai Bomba diseluruh negara adalah sebanyak 112 buah. Kira-kira 50% daripadanya berada dalam keadaan fizikal yang daif dan tidak lengkap. Keadaan beberapa buah balai berkenaan adalah seperti di Layar.

12. Ada diantara balai-balai ini, masih kekal keadaannya sampai sekarang kerana kekurangan peruntukan dan kalau ada pun peruntukan, ianya ditumpu untuk membina balai bomba di tempat-tempat yang lebih kritikal keperluannya.

13. Perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan Bomba pada masa itu tertumpu kepada pemadaman kebakaran sahaja, itu pun dengan kemampuan yang agak terhad.

14. Fasa kedua bermula selepas penyatuan. RMK3 baru bermula pada masa itu. Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 34.7 juta untuk membina Balai Bomba dan membeli jentera serta peralatan. Ini diikuti dengan peruntukan sebanyak RM 49.4 juta dalam RMK4 dan RM 38.2 juta dalam RMK5.

15. Di sini didapati, untuk tempoh 15 tahun, peruntukan pembangunan yang diperolehi oleh Jabatan hanyalah sebanyak RM 122.3 juta sahaja. Dengan peruntukan ini sudah tentu tidak mampu mengubah sebuah perkhidmatan dari tahap yang daif ketahap yang lebih baik. Sebahagian besar peruntukan telah dibelanjakan untuk membeli jentera dan peralatan yang berada dalam keadaan sangat kritikal. Contoh-contoh jentera bomba semasa penyatuan adalah seperti di Layar.

16. Fasa ketiga adalah Fasa yang lebih baik bagi Jabatan Bomba. Dalam RMK6 Jabatan diperuntukan sebanyak RM 247.7 manakala RMK7 pula dari sebanyak RM 460.6 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM 495.8 juta (ia itu 107%) telah dibelanjakan.

17. Sebanyak 70 buah Balai Bomba baru telah dibina dalam tempoh tersebut. Gambar foto sebahagian dari balai baru yang siap dibina adalah seperi di Layar. Diakhir 1999 bilangan balai bomba diseluruh negara telah meningkat kepada 194 buah. Bilangan ini sebenarnya masih belum memadai untuk memberi perlindungan kebakaran yang menyeluruh dan berkesan di seluruh negara.

18. Fasa ketiga juga menyaksikan perluasan skop kerja dan bidang tugas Jabatan Bomba sesuai dengan kehendak dan cabaran semasa. Jabatan Bomba bukan sahaja bertanggungjawab “memadam kebakaran” tetapi juga menjalankan berbagai kerja “menyelamat” seperti menyelamat kemalangan jalan raya, menyelamat kebocoran kimia, menyelamat di air, tanah/bangunan runtuh dan sebagainya. Gambar foto sebahagian dari aktiviti yang dijalankan adalah seperti di Layar.

19. Bagi menghadapi cabaran ini, Jabatan Bomba telah memperkenalkan konsep “multi-skill approach” dan aspek latihan ke arah peningkatan profesionalisma menjadi agenda utama.

20. Pada tahun 1997 Kerajaan telah mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Jabatan Bomba apabila YAB Perdana Menteri telah mengumumkan perubahan nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

21. Dalam aspek kebakaran pula lebih banyak penekanan telah diberi kepada aspek pencegahan kebakaran berdasarkan falsafah, “fire fighting is a losing battle, prevention is better than cure”.

22. Tiga strategi utama telah diperkenalkan :-

(a) Semua bangunan perlu dilengkapi dengan sistem pencegahan kebakaran yang mengikuti standard antarabangsa. (b) Pemeriksaan berjadual ke atas bangunan sedia ada melalui penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988. Ini bagi memastikan sistem Pencegahan Kebakaran berfungsi dan sentiasa diberi penjagaan.

(c) Menjalankan usaha berterusan ke arah meningkatkan kesedaran awam.

23. Perluasan skop tugas dan perubahan terhadap penekanan ini dilakukan berdasarkan keperluan semasa untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat umum, dalam masa yang sama memberi penambahan beban tugas kepada perjawatan sedia ada yang mana pada dasarnya adalah berdasarkan norma perjawatan untuk kerja-kerja memadam kebakaran sahaja.

Hadirin sekalian,

24. Negara kita telah mengalami perkembangan yang amat pesat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan. Banyak Bandar baru muncul, pekan kecil telah menjadi Bandar, manakala Bandar-bandar yang dahulunya kecil telah menjadi Bandaraya. Kawasan perindustrian juga tumbuh seperti cendawan. Keperluan kepada perkhidmatan Bomba yang cekap dan berkesan semakin meningkat.

25. Saya dapat merasakan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada masa ini sudah berada di Fasa Keempat iaitu Fasa Peralihan dari sebuah Jabatan kecil dan terpinggir kepada sebuah Jabatan yang mampu memberi perkhidmatan yang cemerlang dan diperlukan oleh masyarakat.

26. Sesuai dengan alaf baru, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah membuat suatu perancangan rapi bertujuan memberikan perkhidmatan yang mantap bukan sahaja di darat malah di air dan dari udara. Untuk itu dalam RMK8 Jabatan telah memohon peruntukan sebanyak RM 8 billion dari agensi pusat. Sungguhpun bunyinya agak besar, namun itulah hakikat sebenarnya amaun yang diperlukan untuk Jabatan berada ditahap yang strategik. Setakat ini Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan sebanyak RM 800 juta yang mana kira-kira 50% adalah untuk projek sambungan. Saya amat berharap, satu peruntukan tambahan akan dipertimbangkan agar Jabatan Bomba dapat keluar dari tahap sedia ada demi untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat dan negara.

27. Walaupun dalam keadaan yang agak serba kekurangan, Jabatan Bomba telah menghadiri kira-kira 30, 000 panggilan kecemasan setiap tahun dan berbillion-billion ringgit wang negara telah diselamatkan dari kebakaran. Misalnya pada tahun lepas, 30,463 panggilan kecemasan telah dihadiri oleh Jabatan Bomba dan sebanyak RM 14 billion nilai harta benda telah diselamatkan.

28. Pencapaian ini diperolehi melalui perantaraan 30,000 orang yang merupakan aset terpenting Jabatan, iaitu 10,000 perjawatan tetap dan 20,000 sukarela menggunakan aset peralatan yang bernilai kira-kira 1 billion ringgit.

29. Ramai anggota bomba yang cedera dan kehilangan nyawa demi tugas yang diamanahkan. Walau bagaimanapun sudah menjadi lumrah alam, kebaikan yang dilakukan sukar mendapat pujian, tetapi sekali dibuat kesilapan, ramai yang akan tampil memberikan kritikan. Ramai yang mengharapkan sumbangan tetapi tidak ramai yang bersimpati. Statistik kebakaran dan lain-lain tugas yang dilaksanakan adalah seperti di Layar.

30. Tidak disebut di sini bilangan nyawa yang telah diselamatkan secara langsung dan tidak langsung hasil dari usaha dan tindakan Jabatan Bomba yang mana tidak dapat dinilai harganya.

31. Selain dari itu, sumbangan lain yang diberikan oleh JBPM kepada negara ialah:-

Memeriksa lebih 12,000 premis setahun untuk tujuan keselamatan kebakaran. Memproses 14,000 pelan bangunan baru setiap tahun untuk perakuan teknikal kebombaan.


Menyelia lebih 200,000 pili bomba, dan berbagai lagi.

32. Suka saya sebutkan disini, bahawa, anggota-anggota bomba yang seramai 10, 000 orang diseluruh negara adalah anggota-anggota yang bersemangat tinggi dan cekal. Sungguhpun dalam kesempitan dan kekurangan, Jabatan Bomba telah mencapai beberapa kejayaan yang membanggakan seperti pada tahun 1997 seramai 1, 200 anggota bomba telah dihantar ke Sumatera dan Kalimantan berjaya memadamkan kebakaran hutan yang menyebabkan jerubu di rantau ini. Ini adalah suatu rekod dunia di mana satu misi terbesar dihantar ke negara luar dalam satu-satu masa. Antara kejayaan lain yang telah dicapai adalah :

Mendapat pengiktirafan ISO 9002 pada 3 Mac 2001
Ibu Pejabat Jabatan Bomba di Putrajaya dibuka dengan rasminya oleh SPB yang diPertuan Agong pada 24 Julai 2000
Memenangi Bronze Medal di Persidangan CAPAM, pada 11 Oktober 2000.
Menandatangani MoU dengan Finland pada 2 Januari 1997, dengan UPM pada 26 Januari 1998, dan dengan UKM pada 17 Januari 2001
Penubuhan Unit Udara Bomba pada 30 September 1998.

33. Adalah menjadi vision Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk menjadi sebuah organisasi kebombaan dan menyelamat bertaraf dunia.

Hadirin sekelian,

34. Jabatan Bomba menerima hakikat bahawa sebagai sebuah agensi yang memberi khidmat kepada masyarakat, Jabatan tidak dapat lari dari menerima kritikan dan teguran. Namun Jabatan Bomba menganggap itu semua sebagai cabaran untuk memperbaiki lagi kelemahan dan mempertingkatkan kebolehan ke tahap tertinggi.

35. Dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, Jabatan Bomba menghadapi banyak cabaran-cabaran yang besar. Antara cabaran besar yang sedang dan bakal dihadapi adalah:-

i. Masalah “response time”
ii. Masalah jentera dan peralatan
iii. Masalah organisasi dan personnel
iv. Fire safety standard
v. Public awareness
vi. Industrial disaster
vii. Coordination and communication 36. Jabatan Bomba sering dikritik berhubung dengan ‘response time’. Saya mengakui bahawa kejayaan atau kegagalan sesuatu operasi kebakaran dan menyelamat banyak bergantung kepada faktor ‘masa’. Lebih lama kejadian berlaku lebih tipis peluang untuk kita menyelamatkan keadaan. Kelewatan juga tidak menguntungkan pasukan Bomba kerana lebih lewat mereka tiba, lebih banyak usaha diperlukan untuk memadam kebakaran. Oleh itu dari segi logiknya tidak ada sebab bagi pasukan Bomba untuk sengaja melengah-lengah kehadirannya disesuatu kejadian kecemasan.

37. Kelewatan Bomba tiba banyak bergantung kepada taburan Balai Bomba yang masih belum mencukupi di seluruh negara dan kesukaran bagi Bomba menempatkan lokasi balai di tempat yang “ strategic ”. Lokasi yang strategik bermakna balai bomba terletak di kawasan dimana wujudnya risiko yang tinggi. Lokasi yang strategic ini amat sukar diperolehi kerana ianya juga strategik untuk tujuan-tujuan komersial dan ini bermakna jikapun ianya ada, harga tanah akan terlalu mahal.

38. Banyak langkah telah diambil untuk memperbaiki masalah ‘response time’ ini. Antaranya yang terpenting ialah cadangan untuk membina 128 buah Balai Bomba tambahan dalam RMKe-8 disamping meneruskan sebanyak 87 buah projek balai bomba sambungan yang sedia ada. Butiran lanjut berkait dengan cadangan pembinaan balai-balai bomba adalah seperti di Layar.


39. Di tempat-tempat yang terpencil, lebih banyak Pasukan Bomba Sukarela akan diujudkan dengan bantuan dan sokongan penuh Jabatan Bomba dari segi peralatan asas dan juga latihan anggota. Buat masa ini terdapat 246 Pasukan Bomba Sukarela yang aktif diseluruh negara dengan keahlian seramai lebih 10,000 orang. Disamping itu terdapat sebanyak 972 pasukan pemadam kebakaran diujudkan di kilang-kilang dan bangunan penting. Melalui latihan yang diberikan oelh Jabatan Bomba, Pasukan ini mampu memadam kebakaran menggunakan peralatan sedia ada di tempat mereka bekerja. Maklumat lanjut berhubung Pasukan Bomba Sukarela dan Pasukan Pemadam Kebakaran adalah seperti di Layar.

40. Untuk mengatasi masalah kelewatan tiba ini juga, berbagai inovasi telah dicuba oleh Jabatan. Salah satu darinya ialah menggunakan Unit Gerak Cepat Bermotosikal (Rapid Intervention Motorcycle – RIM). Inovasi ini telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa iaitu di Commonwealth Association of Public Administration and Management atau CAPAM pada penghujung tahun 2000 di South Africa dan berjaya menarik perhatian para juri sehingga dianugerahkan tempat ketiga dari sejumlah 119 penyertaan dari negara-negara Commonwealth. Ini merupakan pertama kali Malaysia layak bertanding ke peringkat akhir dan berjaya. Jabatan bercadang untuk melaksanakan pilot projek berkenaan pada tahun ini dengan membeli 30 buah motorsikal. Kerajaan Negeri Melaka juga telah bermurah hati memperuntukkan sebanyak RM 300,000, untuk membeli 3 unit motorsikal lagi. Gambar-gambar mengenai inovasi ini adalah seperti di Layar.

41. Berhubung dengan masalah jentera dan peralatan, Jabatan Bomba menyedari pada masa ini perkara ini masih kekurangan. Sebagaimana hadirin sedia maklum, peralatan bomba adalah pelbagai dan kebanyakannya mahal-mahal kerana diperolehi dari luar negara. Jabatan Bomba sentiasa berusaha untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi bagi membeli jentera dan peralatan yang baru. Tanpa peruntukan yang mencukupi Jabatan terpaksa menyelenggara jentera-jentera yang melebihi 10 tahun supaya dapat terus digunakan sehingga gantinya diperolehi. Maklumat mengenai jentera bomba dan kelengkapan serta status umur jentera bomba adalah seperti di Layar.

42. Masalah ketiga yang ingin saya kongsi bersama ialah berkaitan dengan organisasi dan personnel. Pada dasarnya organisasi dan personnel Jabatan Bomba sedia ada masih lagi berdasarkan norma perjawatan lama yang hanya menjurus kepada kerja-kerja melawan kebakaran. Sedangkan keperluan pada masa kini lebih menjurus kearah pencegahan kebakaran dan keperluan multi-skill tanpa mengabaikan tugas-tugas pemadaman kebakaran.

43. Personnel Jabatan Bomba juga perlu mempunyai kelayakan yang lebih tinggi untuk disesuaikan dengan risiko dan beban tugas masa kini. Kelulusan asas SRP/PMR untuk menjawat jawatan sebagai ahli bomba perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya ke tahap kelulusan SPM dengan tahap gaji permulaan yang lebih baik.

44. Atas initiatif Jabatan menggalakkan kakitangan meningkatkan pengetahuan masing-masing, pada masa ini terdapat 30 orang yang telah menamatkan program di peringkat sarjana dan 2 orang lagi sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Jabatan juga dengan kerjasama universiti tempatan akan menganjurkan program di peringkat diploma untuk kakitangan.

45. Cabaran keempat ialah berhubung dengan Fire Safety Standard. Selain dari tugas-tugas yang biasa di mata masyarakat iaitu memadam kebakaran dan menyelamat, tidak ramai yang mengetahui dengan jelas peranan dan tanggungjawab Jabatan Bomba dalam menentukan keselamatan kebakaran di bangunan-bangunan. Tugas ini dilaksanakan dengan cara mengkaji pelan bangunan yang akan dibina untuk memastikan aspek pelepasan diri dan pencegahan kebakaran mencukupi.

46. Dalam melaksanakan tanggunjawab ini Jabatan Bomba sentiasa berpandu kepada standard-standard keselamatan antarabangsa dan disesuaikan dengan keadaan di negara ini. Tidak timbul persoalan Jabatan Bomba terlalu stringent atau excessive dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

47. Tuduhan ini biasanya dilemparkan pihak yang cuba melarikan diri dari tanggungjawab menyediakan fire safety standard secukupnya atas alasan menyebabkan pertambahan kos sedangkan kos sekiranya berlaku kemalangan, kebakaran atau kehilangan nyawa sudah tentu jauh lebih tinggi.

48. Cabaran kelima ialah berhubung kesedaran awam. Tahap kesedaran awam terhadap kebakaran di negara ini masih belum memuaskan. Adalah menjadi agenda tetap Jabatan untuk terus berusaha meningkatkan kesedaran awam menerusi pelbagai program yang sedang dan akan dilaksanakan. Diantaranya ialah :-

i- Kempen mencegah kebakaran. Program ini dilaksanakan dengan cara mengadakan pelbagai aktiviti, terutamanya aktiviti di mana orang ramai dan badan-badan sukarela lebih mengambil bahagian secara ‘hands-on’. Kaedah ini didapati berkesan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kebakaran. Salah satu contoh program yang dijalankan ialah “Program Bomba Bersama Masyarakat” yang akan dilancarkan di Ipoh oleh YAB Menteri Besar Perak pada 29 October 2001. iii- Program Kelab Kebakaran Kanak-Kanak bagi pra- sekolah, Kadet Bomba bagi murid sekolah, Bomba Sukarela bagi kawasan-kawasan terpencil dan Pasukan Pemadam Kebakaran (Fire Squad) bagi kilang-kilang dan bangunan penting.

iv- Mengadakan kerjasama dengan universiti-universiti tempatan melalui program diploma, ijazah dan sarjana muda dalam bidang keselamatan kebakaran dan pengurusan risiko. Hari ini kita lihat hasil dari kerjasama ini, Universiti Putra Malaysia telah menawarkan program Ijazah Sarjana dan Diploma dalam bidang Pengurusan Bencana manakala Universiti Kebangsaan Malaysia pula menawarkan program Ijazah dalam bidang ? .

v- Mengadakan seminar dan ceramah berterusan.

49. Cabaran seterusnya yang tak kurang pentingnya ialah mengenai bencana industri. Kalau dimasa lepas, negara kita berhadapan dengan bencana semulajadi khususnya banjir, dimasa akan datang bencana yang lebih besar impaknya ialah bencana industri atau bencana buatan manusia. Dengan meningkatnya pengeluaran, penyimpanan dan penggunaan bahan-bahan kimia merbahaya, potensi untuk berlakunya bencana industri seperti letupan, kebocoran kimia dan kebakaran menjadi lebih signifikan lagi.

50. Selaku Jabatan yang bertanggungjawab mengenai keselamatan nyawa dan harta benda, Jabatan Bomba memberi perhatian serius terhadap perkembangan industri di negara ini. Kemasukan industri yang berkaitan dengan bahan kimia merbahaya perlu dikaji dengan teliti agar mematuhi piawaian antarabangsa supaya tidak membahayakan pekerja, persekitaran dan juga anggota penyelamat sekiranya terjadi perkara yang tak diingini. Dalam hal ini pengalaman di negara-negara lain patut menjadi pengajaran.

51. Aspek terakhir yang suka saya sebutkan ialah masalah Co-ordination and Communication.

52. Jabatan Bomba merasakan bahawa, ‘co-ordination and communication’ di kalangan Jabatan/agensi yang bertanggungjawab terhadap bencana khususnya bencana industri masih perlu ditingkatkan. Banyak agensi akan terlibat apabila berlaku sesuatu bencana, tetapi masing-masing dengan hal tersendiri. Latihan bersama untuk melihat keberkesanan dan menguji tahap koordinasi sangat jarang dilakukan. Ditakuti sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini kita gagal menjalankan tugas dengan berkesan.

53. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, Jabatan Bomba bertekad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat. Bersempena dengan alaf baru dan kepimpinan Jabatan yang baru saya telah memperkenalkan slogan “Personel Berkualiti, Perkhidmatan Berkesan” atau dalam Bahasa Inggerisnya “Quality Personnel, Effective Services” (QPES) sebagai petunjuk arah operasi menuju ke arah matlamat yang lebih jauh iaitu mencapai visi menjadi perkhidmatan Bomba dan Penyelamat bertaraf dunia. Konsep QPES yang diperkenalkan ini memberi penumpuan kepada 3 agenda utama iaitu ;

i- Yang pertama merangsang moral anggota melalui peningkatan kebajikan atau welfare mereka. Ini dilakukan dengan merangka skim perkhidmatan yang lebih baik dari yang sedia ada, memohon dari pihak kerajaan supaya anggota bomba dibayar elaun-elaun tertentu yang berkaitan dengan kemahiran dan risiko kerja yang dihadapi dan seterusnya mencadangkan kepada kerajaan supaya menyusun semula struktur organisasi Jabatan supaya lebih dinamik dan benar-benar mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. ii- Aspek kedua yang diberi penekanan di bawah QPES ialah memberi tumpuan kepada latihan kepada setiap anggota. Latihan berterusan telah lama menjadi darah daging Jabatan Bomba tetapi di bawah QPES ini penekanan diberi kepada latihan berkualiti yang diperolehi dari dalam dan luar negeri.

iii- Aspek ketiga yang diberi penekanan ialah penggunaan peralatan dan teknologi moden di dalam setiap bidang tugas.

54. Saya amat yakin pelaksanaan kesemua yang digariskan di bawah slogan QPES ini akan membentuk anggota bomba yang berkualiti dan seterusnya mampu manyahut cabaran masa depan bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

55. Terima kasih diucapkan di atas kesudian hadirin melapangkan masa mengikuti ucapan yang disampaikan. Saya sentiasa mengharapkan kerjasama dan sokongan semua pihak untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Adalah diharapkan supaya keselamatan dan pencegahan kebakaran sentiasa tidak diabaikan. Ingatlah, “Fire spreads in minutes, smoke kills in seconds”.

Sekian, terima kasih.