PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
14-May-2005HARI : Sabtu
MAJLIS
:
PERASMIAN PROGRAM KITAR SEMULA
TEMPAT
:
HOTEL MELIA KUALA LUMPUR
ISU
:
KITAR SEMULA



TEKS UCAPAN PENUH :

Encik Peter Sprenger
General Manager Melia Kuala Lumpur

Y.Bhg. Tan Sri Dr Johari Mat
Program Manager ( PJS )

Pihak Pengurusan dan kakitangan Melia Hotel Kuala Lumpur

Wakil Media, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Melia Hotel Kuala Lumpur kerana sudi menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kitar Semula pada pagi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Pada masa ini kitar semula didapati semakin kerap diperkatakan oleh masyarakat. Aktiviti-aktiviti kitar semula pada masa ini juga semakin banyak kelihatan dilaksanakan oleh pelbagai peringkat masyarakat. Ini sebenarnya merupakan suatu petanda yang positif di mana kebanyakan masyarakat Malaysia bukan sahaja sudah mempunyai rasa tanggungjawab malah telah mula bertindak untuk memelihara alam sekitar dengan mengamalkan kitar semula.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Adalah dianggarkan lebih kurang 70% daripada jumlah sampah yang dihasilkan di negara ini dilupuskan di tapak-tapak pelupusan. Buat masa ini, kaedah melupuskan sampah di tapak-tapak pelupusan adalah kaedah yang biasa digunakan di negara ini.

Pada ketika ini, penduduk di Malaysia menghasilkan lebih daripada 18,000 tan sampah setiap hari dan angka ini dijangka akan terus meningkat pada kadar 2% setiap tahun. Peningkatan penghasilan sampah ini memerlukan lebih banyak tapak-tapak pelupusan tetapi dimanakah tempat yang boleh kita binakan tapak-tapak pelupusan ini?

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Kerajaan terpaksa menyalurkan peruntukan yang besar untuk menyediakan kemudahan-kemudahan untuk melupuskan sisa pepejal seperti tapak pelupusan sanitari. Sekiranya penjanaan sisa pepejal dapat dikurangkan melalui kitar semula, belanjawan tersebut dapat disalurkan untuk projek-projek yang lebih bermanafaat kepada rakyat seperti pembinaan jalanraya, perpustakaan awam, taman rekreasi dan sebagainya.

Menyedari bahawa penjanaan sisa pepejal di negara kita sedang meningkat ke paras kritikal, Kerajaan telah melaksanakan kempen kitar semula di seluruh negara pada tahun 2000 untuk mengawal dan mengurangkan penjanaan sisa pepejal.

Seperti yang kita semua maklum, kitar semula adalah strategi pengurangan sisa pepejal yang paling ‘ cost effective ’ dimana bahan kitar semula yang diasingkan tidak perlu dilupuskan – menjimatkan kos pelupusan – dan dapat digunakan sebagai bahan sumber untuk industri pembuatan tempatan dan eksport.

Kira-kira 40% daripada sisa pepejal merupakan bahan kitar semula. Sekiranya sebahagian daripada bahan kitar semula ini dapat diasingkan ( segregation ) dan disisihkan ( diversion ), Kerajaan dapat menjimatkan kos pelupusan sisa pepejal untuk disalurkan kepada projek-projek yang lebih bermanfaat untuk rakyat. Tapak-tapak pelupusan sanitari dan loji rawatan termal dapat dikurangkan. Ini secara tidak langsung akan melegakan perasaan penduduk setempat memandangkan ramai rakyat tidak selesa sekiranya tapak pelupusan sanitari dan loji rawatan termal dibangunkan berdekatan dengan kawasan mereka.

Bahan kitar semula seperti kertas, plastik, kaca dan logan diperlukan oleh industri pembuatan tempatan untuk membuat produk seperti kertas akhbar, botol plastik, botol kaca dan bahan binaan berasaskan logam. Disebabkan kadar kitar semula di seluruh negara yang rendah - di bawah 5% - kita terpaksa mengimport bahan kitar semula yang berasal dari sisa pepejal dari negara-negara asing. Ini menyebabkan negara kerugian pertukaran wang mata asing bernilai berbilion-bilion ringgit.

Memandangkan kitar semula adalah penting untuk kesejahteraan negara, rakyat dan alam sekitar, Kerajaan komited untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 22% menjelang tahun 2020 dengan pelaksanaan Program Kitar Semula Kebangsaan yang berterusan itu.

Kempen kitar semula kebangsaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk Pihakberkuasa Tempatan, Jabatan-Jabatan Kerajaan, NGO, syaraikat-syarikat swasta, institusi-institusi pendidikan awal, menengah dan tinggi serta orang ramai termasuk di rumah, pejabat dan tempat-tempat awam. Kempen kitar semula kebangsaan hanya akan berjaya sekiranya ianya disokong dan didokong oleh semua pihak.

Pada tahun 2004, Kerajaan telah meningkatkan sokongan terhadap aktiviti NGO dalam program kitar semula dengan melancarkan tema ‘Kitar Semula Untuk Kebajikan‘ ataupun ‘Recycling for Charity‘ semasa sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2004 pada 18 Disember 2004 di KLCC, dimana hasil jualan bahan kitar semula yang dikumpulkan boleh didermakan kepada badan-badan kebajikan dan pihak-pihak yang memerlukannya. Ini selari dengan usaha Kerajaan untuk menggalakkan konsep ‘Masyarakat Prihatin‘ dan ‘Caring Society‘ dimana orang ramai di samping mengitar semula turut menyumbang untuk aktiviti-aktiviti kebajikan. Secara keseluruhannya, Kerajaan melihat bahawa program kitar semula adalah sebuah agenda kebangsaan yang Kerajaan hendak memastikan supaya ianya dilaksana dan digalakkan secara berterusan.

Hotel Melia Sebagai Contoh Program Kitar Semula Untuk Sektor ‘Hospitality‘

Bagi saya, Hotel Melia mewakili sektor ‘ hospitality ‘ yang merangkumi hotel-hotel, pusat-pusat pelancongan dan sebagainya yang dijangka mampu merintis program kitar semula dan dijadikan sebagai model yang dapat dicontohi oleh seluruh sektor ini.

Dari segi pelaksanaan, Hotel Melia telah tampil ke hadapan untuk menerajui program kitar semula ini. Saya bagi pihak Kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Pengurus Besar Hotel Melia, Encik Peter Sprenger, pengurusan dan warga kerja Hotel Melia atas semangat perintis yang diperlihatkan.

Saya amat gembira bahawa Hotel Melia telah mengambil langkah untuk mempromosikan kitar semula di kalangan warga kerjanya yang juga melibatkan tetamu-tetamu hotel. Saya juga amat tertarik dengan rancangan Hotel Melia untuk meletakkan bekas-bekas berasingan untuk sampah dan bahan kitar semula di samping meletakkan kad maklumat tentang kitar semula didalam setiap bilik. Ini merupakan usaha yang bagus untuk mengingatkan dan menerapkan nilai-nilai untuk berkitar semula di kalangan para tetamu hotel samada dari dalam atau luar negara.

Saya percaya usaha-usaha Hotel Melia ini dapat juga menaikkan imej negara di kalangan pelancong luar negara dari segi keprihatinan rakyat Malaysia mempraktikkan amalan cinta alam sekitar.

Sebagai menyokong program kitar semula untuk Hotel Melia dan diharap hotel-hotel lain juga dapat mencontohinya selepas ini, Kerajaan sedia membantu dari mana-mana segi yang boleh. Pihak Persatuan Hotel-hotel Malaysia hanya perlu menghubungi Kementerian saya untuk membincangkan perkara ini.

Saya difahamkan bahawa Hotel Melia telah melantik PJS Environmental Services Sdn Bhd ( PJSES ) untuk membangun dan menyediakan khidmat program kitar semula secara menyeluruh di mana PJSES terlibat secara aktif untuk membangunkan sistem kitar semula yang khusus untuk Hotel Melia, memberi khidmat nasihat dan program pendidikan kepada warga kerja hotel, pengurusan penyediaan infrastruktur seperti tong kitar semula dan pusat pengumpulan bahan kitar semula, penyediaan logistik kutipan dan belian bahan kitar semula, serta pengumpulan data untuk dilaporkan kepada pihak hotel.

Saya juga difahamkan antara program kesedaran dan pendidikan yang telah dilaksanakan oleh PJSES ialah menjelaskan kepada warga kerja Hotel Melia dan pengedaran kotak untuk mengestor kertas terpakai yang mengandungi maklumat kitar semula. Ini akan membantu warga kerja Hotel Melia dalam mempraktikkan kitar semula sebagai satu cara hidup yang sihat dan mesra alam.

Perkhidmatan logistik yang disediakan oleh PJSES ialah kutipan berjadual bahan kitar semula yang dikumpulkan oleh Hotel Melia. Ini untuk memastikan bahan kitar semula sentiasa dikutip untuk diproses dan keadaan pusat bahan kitar semula sentiasa terurus.

PJSES juga akan turut membeli bahan kitar semula daripada Hotel Melia di mana hasil jualan tersebut digunakan oleh pihak Hotel Melia untuk aktiviti-aktiviti kebajikan masyarakat. Saya amat mengalu-alukan inisiatif ini dimana ia selari dengan saranan Kerajaan untuk menggalakkan aktiviti kitar semula untuk tujuan kemasyarakatan dan kebajikan.

Saya amat berharap kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan, Hotel Melia dan PJSES dalam melaksanakan program kitar semula akan berjaya dan seterusnya menjadi ‘ blue print ’ untuk inisiatif kitar semula dalam sektor ‘ hospitality ‘ di masa akan datang.

Saya sekali lagi ingin menyampaikan penghargaan kepada pengurusan dan warga kerja Hotel Melia atas inisiatif mereka untuk menjadikan Hotel Melia sebagai salah satu hotel yang pertama melaksanakan program kitar semula secara menyeluruh.

Saya amat berharap Hotel Melia akan menjadi model kitar semula kepada hotel-hotel lain dan pusat-pusat pelancongan di Malaysia.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan program kitar semula untuk Hotel Melia Kuala lUmpur.

Sekian, terima kasih.