MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
TIMBALAN MENTERIKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
06/26/2005Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Ahad
Majlis
:
SEMINAR KEIBUBAPAAN BELIA DAN BELIAWANIS, ANJURAN
PIBG SK PINTAS, GDW KG. PINTAS KUBU DENGAN KERJASAMA
BIRO TATANEGARA (CAWANGAN SABAH)
Tempat
:
SK PINTAS BEAUFORT
Berkaitan Isu/Majlis
:
LAIN-LAIN

TEKS UCAPAN PENUH




Assalamualaikum Warahamatullah Wabarakatuh dan salam sejahtera

Y. B. Datuk Seri Panglima Dr. Hj. Lajim Hj. Ukin,
Ketua Penyelia Projek Negeri Sabah,
ADUN 25 Klias Beaufort

Y. Bhg. Tuan Ibrahim Saat,
Pengarah BTN (Cawangan Sabah),
Jabatan Perdana Menteri,

Y. Berusaha Encik Jaafar bin Ismail,
Pegawai Daerah Beaufort

Y. Berusaha Encik Karim bin Kula,

Pegawai Pendidikan Gabungan Bahagian Beaufort,

Y. Berusaha Encik Mohd. Zainal Hj. Jilun,
Pengerusi PIBG SK Pintas dan GDW Kg. Pintas Kubu
Merangkap Pengerusi Penganjur

Y. Berusaha Encik Lakim Ag. Damit,
Guru Besar SK Pintas Beaufort,

Yang Berusaha Encik Abdullah Hj. Okin,
PKR, ADUN N.25 Klias Beaufort

Ketua-ketua Kerajaan Negeri dan Persekutuan

Dif-Dif Berhormat,

Para peserta seminar dan tuan-tuan/puan-puan sekalian

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izinnya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Seminar Ibubapa Belia dan Beliawanis SK Pintas. Bersyukur juga kerana Allah SWT telah mengerakkan hati tuan-tuan dan puan-puan untuk hadir dalam majlis ini.

Pada hari ini kita berada di dalam negara yang aman dan makmur serta membangun dengan pesatnya. Dan nikmat yang kita kecapi pada hari ini bukannya datang bergolek tanpa usaha dan ikhtiar dari pelbagai pihak sama ada kita sedar ataupun tidak. Namun, alhamdulillah kerana kemakmuran dan kejayaan negara hari ini telah kita nikmati bersama.
Tuan-tuan/Puan-puan

Hasil kajian para bijak pandai, mendapati pendidikan merupakan perkara yang penting yang mampu mengubah taraf hidup kita. Dengan adanya ilmu pengetahuan kita juga mampu meningkatkan keupayaan ekonomi, politik, sosial dan agama. Malah Rasulullah SAW pernah mengingkatkan kita tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam hadisnya yang bermaksud :

“ Jika hendak dunia hendaklah ia berilmu dan jika hendak akhirat hendaklah ia berimu dan jika hendakkan dunia akhirat maka hendaklah berilmu”

Kerajaan juga telah memperuntukkan jumlah yang amat besar dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan. Syukur alhamdulillah, hari ini keadaan kebanyakan sekolah-sekolah di Malaysia adalah sangat memuaskan dan jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain, kemudahan pendidikan di sekolah-sekolah kita jauh lebih baik.

Tuan-tuan/Puan-puan sekalian,

Walaupun berbagai-bagai kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada kita, namun yang amat menyedihkan ialah pencapaian anak-anak bangsa kita dalam pendidikan yang kurang memuaskan. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan, sudah pasti masa depan anak-anak bangsa kita tidak terjamin.

Dalam hal ini, ibubapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak mendapat ilmu pendidikan yang sempurna. Ibubapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak 100% kepada pihak sekolah. Perlu kita sedar bahawa masa anak-anak di sekolah hanya 6 jam sehari manakala masa mereka di rumah dan dibawah pengawasan ibubapa adalah lebih baik kurang 18 jam. Maka tidak wajarlah jika terus menuding jari menyalahkan guru-guru di sekolah jika anak-anak kita tidak berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, sebagai ibubapa hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah untuk kebaikan anak-anak.

Masanya belum terlambat untuk kita semua memperbaiki perkara ini. Harapan kita di masa-masa akan datang ialah dapat melihat peratusan belia yang mampu untuk mencapai

kecemerlangan. Sepertimana yang kita sedia maklum, bahawa masalah sosial yang melanda para belia kita sudah semakin runcing. Oleh itu, ibubapa mestilah mampu menerokai dunia global yang penuh cabaran ini. Para belia mestilah yakin pada diri sendiri dan mereka mestilah juga menjadi pemandu dan penentu bangsa kerana pemuda pemudi adalah tiang negara. Justeru itu, para belia perlukan pendewasaan sikap dan tingkah laku serta mengamalkan budaya yang sihat agar pemahaman agama dapat membimbing manusia ke arah kebenaran dan mampu memberikan rasa kedamaian, kerukunan dan kesejahteraan.

Tuan-tuan/Puan-puan sekalian,

Kita merasa jijik dan amat apabila kita melihat di dada-dada dalam akhbar ada ibubapa yang sanggup membuang bayinya di tempat-tempat awam. Kita menganggap bahawa perbuatan mereka itu adalah tidak berperikemanusiaan. Namun, jikalau dibandingkan dengan ibubapa yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah, masyarakat tidak pula menganggap ia adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Walhal perbuatan tidak menghantar ataupun tidak memberi pendidikan kepada anak adalah satu perbuatan yang kejam kerana masa depan anak-anak mereka tidak terjamin. Jika anak-anak tidak ada ilmu pengetahuan bagaimana ia menempuh kehidupan pada masa akan datang yang lebih mencabar.

Kita harus mempersiapkan generasi muda kita dengan berbagai kemahiran hidup dan ilmu pengetahuan agar anak-anak muda ini tidak menyimpang daripada cita-cita perjuangan bangsanya sendiri. Kita juga tidak mahu anak bangsa kita dikatakan anak bangsa yang tidak tahu mengenang budi dan tidak tahu berterima kasih terhadap jasa baik dan pengorbanan yang diberikan oleh ibubapa, masyarakat dan kepimpinan negara.

Generasi muda harus diberikan pendedahan bahawa kemajuan, keamanan dan kemakmuran yang kita warisi hari ini bukan diperolehi dengan cara yang mudah dan bersenang-lenang, tetapi dengan semangat dan perjuangan yang tinggi bagi mempertahankan maruah, bangsa dan negara. Ingatlah, apa juga gaya dan corak kehidupan belia hari ini, adalah melambangkan masa depan negara dan bangsa kita akan datang.

Justeru itu, adalah diharapkan dengan adanya seminar ibubapa, belia dan beliawanis pada hari ini, dapat memberikan kita sedikit sebanyak pengetahuan dan kesedaran tentang pentingnya pendidikan dalam usaha membangun negara cemerlang. Oleh itu, saya dengan lafaz Bismillah hirrahmanirrahim merasmikan majlis ini. Semoga kita semua akan beroleh manfaat.

Sekian, terima kasih.