MAKLUMAT UMUM

Penyampai
:
TIMBALAN MENTERIKategori :UCAPAN PERASMIAN
Tarikh
:
09/16/2004Bahasa :Bahasa Melayu
Hari
:
Khamis
Majlis
:
PERARAKAN DAN TABIK HORMAT
SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN
PERINGKAT DAERAH KECIL MENUMBOK
Tempat
:
DAERAH KECIL MENUMBOK
Berkaitan Isu/Majlis
:
LAIN-LAIN

TEKS UCAPAN PENUH



Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Y. Bhg. Encik Yusop bin Hj. Osman
Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok
Merangkap Pengerusi Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Daerah Kecil, Menumbok tahun 2004.
Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Ketua-ketua Masyarakat dan seluruh warga Menumbok yang dikasihi.
Terlebih dahulu sama-samalah kita memanjatkan syukur kehadrat Allah kerana dengan limpah kurniaannya jua, maka kita sama-sama dapat berhimpun di majlis Sambutan Hari Kemerdekaan yang penuh bermakna dan bersejarah pada pagi ini.
Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur kerana memberi penghormatan kepada saya untuk memberi ucapan dan seterusnya merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Daerah Kecil Menumbok pada hari ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Daerah Kecil Menumbok pada hari ini.
Datuk-datuk, Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kita sedia maklum bahawa Perayaan Bulan Kemerdekaan bagi Sambutan Hari Kebangsaan Ke-47 tahun ini telah bermula sejak 17 Ogos lalu. Dalam satu kenyataan akhbar pada 2 September, 2004, Menteri Penerangan Datuk Paduka Abdul Kadir Hj Sheikh Fadzir menyeru kepada semua
rakyat Malaysia supaya meneruskan sambutan ini sehingga tengah malam 16 September ini.
Ini menunjukkan kerajaan amat serius dalam usaha memartabatkan dan menanam semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia. Saya difahamkam di sepanjang tempoh sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini pihak penganjur khususnya di daerah Kecil Menumbok telah melaksanakan pelbagai program sebagai aktiviti mengisi sambutan bulan kemerdekaan di daerah ini.
Alhamdullilah, pada hari ini pihak penganjur telah memilih 16 September sebagai hari kemuncak penutupan aktiviti bulan kemerdekaan dengan mengadakan sambutan perarakan dan tabik hormat pada siang hari dan mengadakan malam “GEMA MERDEKA” PADA MALAM INI.
Saya bersyukur kerana penglibatan masyarakat Menumbok pada hari ini adalah tergolong dari semua kumpulan sasar, dan yang amat membanggakan saya adalah penglibatan anak-anak sekolah yang mana semangat merdeka ini perlu dipupuk daripada usia yang masih muda, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang penuh bertanggungjawab, jujur, cekap dan berintegriti.
Kita juga perlu bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin yang terdahulu kerana perjuangan mereka untuk mencapai kemerdekaan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa kini. Perjuangan pemimpin kita yang terdahulu telah melalui liku-liku kesengsaraan dan keperitan untuk mencapai kemerdekaan, namun penderitaan mereka itu telah bertukar menjadi kebahagiaan kepada anak cucu dan generasi masa kini.
Apa yang perlu bagi kita hanyalah untuk terus menanamkan semangat kemerdekaan ini dengan memasang Jalur Gemilang di mana-mana tidak kira di kenderaan kita, rumah kita atau premis-premis perniagaan bagi membuktikan semangat partiotik dan cintakan negara.
Saya berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka-mereka yang telah terkorban dalam perjuangan kemerdekaan dan saya juga berdoa agar bagi kita yang masih meneruskan perjuangan ini hidup aman, damai dan sejahtera.
Sekali lagi saya ucapkan syabas kepada seluruh warga Menumbok kerana dapat bersama-sama dalam perayaan hari Kemerdekaan ini.
Sama-samalah kita laungkan MERDEKA sebanyak 7 kali
MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !
MERDEKA ! MERDEKA! MERDEKA!
Dengan lafaz Bismillah Hirahman Nirahim saya melancarkan perasmian sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Daerah Kecil Menumbok dengan rasminya.
Wabillahi Taufik Walhidayah……..Wasallam.