PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN ALUAN
TARIKH
:
01-Jul-2006HARI : Sabtu
MAJLIS
:
SAMBUTAN PERAYAAN JUBLI EMAS SMJK KATHOLIK
TEMPAT
:
SMJK KATHOLIK
ISU
:
LAIN-LAIN



TEKS UCAPAN PENUH :


Yang Berusaha saudara pengacara majlis,

Y.Berhormat Dato’ Seri Chan Kong Choy
Menteri Pengangkutan

Y. Berusaha Encik Choong Yew Lim
Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SMJK Katholik

Y. Berhormat Encik Fong Kui Lun
Pengerusi Persatuan Alumni SMJK Katholik

Yang Berbahagia Bro.Robert Teoh, Brother Provincial of Marist Brothers

Yang Berbahagia Most Rev. Dato’ Murphy Nicholas Xavier Pakiam D.D, Archbishop of Kuala Lumpur.

Yang Berusaha Puan Tan Lin
Pengetua SMJK Katholik


Tetamu-tetamu kehormat, Yang dipertua PIBG, Guru-guru, Ibu bapa-ibu bapa, Tuan-tuan, puan-puan dan seterusnya para pelajar yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih ih kepada Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas SMJK Katholik kerana telah menjemput saya untuk menghadiri satu majlis yang meriah dan cukup bermakna pada pagi ini. Sesungguhnya saya berasa amat gembira dan terharu kerana berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian pada hari yang berbahagia ini.

Bersempena dengan hari yang bersejarah ini, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke- 50 kepada tuan-tuan dan puan-puan serta semua pihak yang telah menabur bakti di sekolah ini. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada semua individu yang telah sekian lama menunjukkan komitmen mereka dalam menjalankan tugas mereka. Sesungguhnya kerana komitmen dan dedikasi semua pihak sejak dahulu lagi maka sekolah ini telah berjaya mencapai tahap kemajuan dan kecemerlangan yang sungguh membanggakan.


Birthdays are happy occasions. But Fifty Years are exceptional! In fact, the birth and the growth of SMJK Khatolik runs parallel with the growth of our Nation. Throughout your existence, you have produced personality of significance who has contributed immensely towards nation-building. As much as I feel blessed and honored to share in your glory and achievements. I am certainly proud also to have been a part of that history.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya difahamkan bahawa pelbagai aktiviti dan program telah diatur oleh pihak sekolah bagi meraikan Sambutan Jubli Emas ini. Bagaimanapun, dalam saat kita bergembira dengan acara-acara yang dirancang, saya ingin mengingatkan bahawa kita sebenarnya perlu menghayati detik bersejarah penubuhan sekolah ini sejak 50 tahun lalu. Kita perlu menyelami bagaimana sukarnya generasi dahulu memperoleh pendidikan formal. Dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi kemudahan, peralatan mahupun tenaga pengajar pada masa itu, mereka tetap cekal untuk mencari ilmu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Hari ini dengan perasaan yang amat gembira kita sama-sama menyambut jubli emas yang menandakan kewujudan setengah abad SMJK Katholik. Jika dibandingkan dengan hayat manusia seseorang, umur 50 tahun bagi SMJK Katholik sedang berada di satu tahap matang serta penuh dengan kebijaksanaan (wisdom), berpengalaman dan berkeyakinan. Menyorot kembali sejarah perkembangan sekolah ini bermula daripada tahun 1956, SMJK Katholik sebenarnya telah melalui banyak liku-liku sejarah serta mengharungi arus peralihan zaman. Dari sebuah tempat pengajian yang terpaksa berkongsi bilik darjah dengan Sekolah Rendah La Salle di Brickfields, sekarang ia telah mempunyai tapak kukuh di Bandaraya Petaling Jaya. Proses yang mengambil masa selama lebih kurang setengah kurun ini sebenarnya tidak kurang cabaran dan rintangannya. Saya berasa sangat bangga kerana melalui hasil dan berkat usaha pihak yang tidak mengenal erti penat lelah dan putus asa, SMJK Katholik akhirnya telah berjaya menjadi salah sebuah sekolah menengah yang terulung di Lembah Klang. Kesemua warga yang menerima asuhan dan keluar daripada pintu gerbang SMJK Katholik pula merupakan insan-insan yang berguna serta berjaya di dalam bidang kerjaya masing-masing. Mereka bukan sahaja telah mengharumkan nama sekolah malah telah banyak berbakti kepada agama, bangsa dan Negara.

Pada hari ini, setelah 50 tahun berlalu, SMJK Katholik telah menjadi sebuah sekolah yang tersergam indah dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur moden hasil sumbangan dan bantuan pelbagai pihak. Justeru itu, saya berharap agar semangat menimba ilmu yang telah menjadi sebahagian daripada tradisi SMJK Khatolik ini dapat diteruskan dan diserapkan ke dalam generasi muda hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebagai sebuah sekolah yang telah mengukir pelbagai sejarah sejak 50 tahun penubuhannya, saya dimaklumkan bahawa sekolah ini telah berjaya melahirkan dua orang pelajar terbaik Peringkat Kebangsaan bagi Peperiksaan PMR tahun 2005. Selain daripada itu, prestasi bagi peperiksaan SPM dan STPM turut mencatatkan peningkatan peratus kelulusan yang membanggakan selama tiga tahun berturut-turut. Begitu juga potensi dan bakat pelajar-pelajar telah dapat dikembangkan sehingga memperolehi kejayaan yang cukup menyerlah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum ke peringkat antarabangsa sehingga mengukir nama dalam Malaysia Guiness Book Of Records melalui projek Kelab Kembara iaitu “The Largest Map Made of Coins” dan Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa di Mexico pada tahun 2004. Kesemua pencapaian ini menunjukkan potensi warga SMJK Khatolik dalam mencipta kecemerlangan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kejayaan tidak akan datang bergolek sendiri tanpa pengorbanan dan keringat mereka yang telah berbakti kepada sekolah ini terdahulu. Kejayaan itu juga tidak akan kekal lama sekiranya kita tidak berusaha untuk mempertahankan dan memperbaiki kedudukanya. Dunia telah banyak berubah dan kita harus maju, sesuai dengan perubahan semasa. Kita perlu menerima hakikat bahawa perubahan sedang giat dan akan terus berlaku dengan pantas. Kita harus bersedia untuk menyesuaikan diri bagi menghadapi, menilai serta menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ini. Di dalam abad ke-21 yang dinamik ini, masa depan dilihat sebagai sesuatu yang pantas berubah dan penuh dengan persaingan. Proses globalisasi telah menjadikan dunia kita semakin kecil dan mencabar. Sekiranya kita tidak melipatgandakan usaha dan mempertingkatkan daya saing, kita akan ketinggalan zaman. Sistem pendidikan kita tidak seharusnya berorientasikan peperiksaan sehingga kita membelakangkan aspek-aspek perkembangan individu yang menyeluruh dari segi mental dan fizikal. Justuru itu, sistem pendidikan yang baik di alaf baru merupakan sistem yang dapat menghasilkan individu yang berkemampuan untuk berfikir secara kritikal, aktif dan kreaktif serta innovatif. Produk yang keluar dari sekolah mestilah merupakan golongan yang bukan sahaja serba boleh tetapi memiliki perspektif yang baik terhadap kehidupan dan persekitaran. Tidak kurang penting juga mereka yang tamat proses pembelajaran itu harus mempunyai kemahiran interaksi dan komunikasi. Pelajar masa kini adalah bakal pemimpin dan pewaris masa depan. Oleh itu, para pelajar hendaklah membina kekuatan jati diri untuk menjadi generasi yang teguh peribadi di samping dapat menguasai ilmu pengetahuan moden serta berketrampilan dalam pelbagai bidang terutamanya bidang sains dan teknologi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kita jangan sesekali merasakan bahawa sistem pendidikan hanya terhad di dalam perkarangan sekolah. Proses pembelajaran sebenarnya tidak akan berhenti apabila kita tamat sekolah atau pendidikan formal. Dunia kita tidak lagi mengenal sempadan. Begitu juga dalam aspek ilmu. Kita hendaklah terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kita dalam apa-apa jua bidang samada di institusi rasmi ataupun di tempat bekerja. Budaya pembelajaran sepanjang hayat dan minat yang mendalam kepada ilmu hendaklah disemai sejak murid-murid masih di bangku sekolah lagi. Hanya dengan kepekaan dan kesediaan kita untuk menimba ilmu baru kita dapat bergerak seiringan dengan peralihan zaman. Untuk membimbing para pelajar melakukan ini semua, para guru perlu sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran diri sendiri. Tahap profesionalisme para guru boleh dipertingkatkan dengan mengikuti bengkel, kursus dan seminar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Satu lagi perkara yang saya ingin menekankan disini ialah tentang displin murid-murid yang kebelakangan ini semakin meruncing. Dalam dunia yang semakin terbuka hari ini anak-anak kita sentiasa terdedah kepada segala macam pengaruh yang disebarkan melalui media massa terutama sekali media elektronik. Sekolah sudah tentu merupakan salah satu daripada benteng untuk menahan penularan pengaruh ini. Sungguhpun begitu, saya berasa ibubapa mempunyai tanggungjawab untuk menjadi barisan penahan pengaruh kurang sihat samada daripada rakan sebaya ataupun bahan bacaan. Ibubapa wajib mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak mereka dalam semua aspek supaya mereka tidak terjerumus dan terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang tidak sihat. Pertumbuhan emosi, mental, sosial dan fizikal para pelajar adalah yang paling kritikal di peringkat sekolah menengah. Oleh itu, sebagai ibubapa, tuan-tuan dan puan-puan sseharusnya memainkan peranan yang lebih daripada guru-guru. Ini adalah kerana tanggungjawab ibubapa adalah lebih menyeluruh dalam membentuk dan mencorak perwatakan dan epribadi anak-anak.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebelum berundur, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada SMJK Katholik kerana menjemput saya menghadiri majlis pada hari ini. Tahniah dan syabas atas sambutan Perayaan Jubli Emas pada hari ini dan tahniah juga kerana telah memiliki sebuah Pusat Sukan, Arkib Sekolah, Anjung Sekolah, Bilik Gerakan dan Sistem Pengurusan Sekolah. Saya doakan semoga SMJK Katholik akan terus berkembang dan maju ke depan.






Dengan ucapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Perayaan Jubli Emas SMJK Katholik, Petaling Jaya. Happy Golden Jublee!

Sekian, terima kasih.