PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
06-Mar-2010HARI : Sabtu
MAJLIS
:
PERASMIAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
PERINGKAT DAERAH KECIL MENUMBOK
TEMPAT
:
DEWAN AWANG SEMAUN, MENUMBOK
ISU
:
KEMPEN KEBERSIHAN



TEKS UCAPAN PENUH :

Bismillahir rahmanir rahim

Terima kasih saudara pengerusi majlis,

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Barisan tetamu kehormat,

Y.Bhg.Datuk,Datin

Tuan-tuan/ puan-puan yang dihormati sekalian,


1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk melancarkan PERASMIAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT DAERAH KECIL MENUMBOK. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya maka dapat saya berkunjung ke Daerah Kecil Menumbok pada hari ini. Saya juga berasa dihargai kerana kehadiran saya di terima dan di sambut baik oleh masyarakat Menumbok pada pagi ini. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Majlis Daerah Kecil Menumbok di atas penganjuran majlis ini yang saya kira mampu memberi impak ke atas kerjasama MDKM dengan komuniti dalam kawasan pentadbirannya ke arah pembangunan yang lebih mampan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekalian,

2. Alhamdulillah kita dapat berhimpun di majlis yang mulia ini untuk mengimarahkan bersama sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Majlis yang diadakan ini bukan sahaja memberi ruang kepada kita untuk memperingati dan meraikan bersama hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, malah majlis ini juga merupakan wadah kita untuk mengukuhkan lagi ukhuwah dan perpaduan di kalangan umat Islam yang berbilang kaum. Semangat ukhuwah dan perpaduan perlu sentiasa dijiwai dan disemarakkan oleh setiap lapisan masyarakat kerana ia begitu penting dalam mewujudkan keadaan yang lebih aman dan harmoni mencapai kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu rahmat yang bersifat menyeluruh. Ia meliputi soal-soal membimbing umat, mengukuhkan nilai hidup dan mengajak kea rah jalan yang diredhai Allah SWT. Berasaskan kerangka misi ini, Rasulullah SAW mewariskan kepada umat Islam al-Quran dan Sunnahnya sebagai panduan mencorak hidup yang lebih bermakna dan diredhai Allah.

4. Yang perlu kini ialah kebangkitan semula dalam konteks menyuburkan minda yang sejahtera, memperkasakan jiwa keimanan dan menyusun gerak kerja yang pragmatik serta komprehensif. Semuanya dengan panduan sejarah perjuangan Rasulullah bermula dari saat kelahiran sehinggalah saat kewafatan baginda.

5. Dalam erti kata yang lain, Maulidur Rasul yang kita sambut dan raikan setiap tahun ini hendaklah dijadikan sebagai momentum untuk mempertingkatkan lagi gerak langkah kearah cara hidup yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kita perlu bangkit dalam konteks pemikiran atau pembangunan minda, pembangunan iman atau akidah, pembangunan jiwa atau hati, pembangunan sikap atau akhlak, pembangunan ilmu dan keintelektualan, pembangunan kesatuan hati dan perasaan dalaman umat. Kesemua aspek ini perlu dibangunkan melalui proses yang berterusan dan bekesinambungan dengan kembali semula ke landasan yang diajar dan diwasiatkan oleh Rasulullah SAW.

6. Maka, adalah perlu bagi seluruh rakyat khususnya umat Islam kembali kepada asas ajaran Islam iaitu mentaati Allah, mentaati Rasulullah SAW serta taat kepada pemimpin dengan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan serta panduan hidup. Langkah ini adalah selaras dengan peraturan hidup yang digariskan oleh Allah SWT yang wajib kita patuhi, sebagaimana Firman-Nya di dalam surah An-Nisaa’, ayat 59 yang bermaksud:

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Kita dituntut berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah bagi memastikan hala tuju hidup berada di landasan yang betul. Ini adalah kerana Islam menuntut umat berusaha bersungguh-sungguh meraih kemajuan dan keteguhan ekonomi berpaksikan syarak. Maknanya, peradaban yang dibina harus melalui usaha gigih membangunkan ekonomi dan teknologi dengan mempunyai roh serta kekuatan hakiki berpaksikan agama tauhid. Inilah yang sepatutnya kita bina dan perjuangkan.

8. Dengan membetulkan salah anggapan terhadap ajaran Islam berhubung tuntutan meraih kemajuan dunia, umat Islam tidak patut lagi berlengah. Kita mesti melipatgandakan usaha memacu diri, keluarga, masyarakat dan negara menerpa laju menuju masa depan yang lebih gemilang.

9. Selaras dengan itu, kerajaan melakukan pelaburan besar untuk memperkasakan pendidikan di semua peringkat di samping memberi penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pelaburan dalam bidang pendidikan sememangnya berbaloi untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama bagi menggerak pembangunan yang lebih holistik menjana umah gemilang.

10. Selaras dengan hasrat mencapai negara maju menjelang tahun 2020, maka amatlah tepat dan kena pada masanya bagi umat Islam di negeri ini terutamanya kepimpinan masyarakat bahkan seluruh umat mengorak langkah yang sewajarnya kea rah membina kembali nilai-nilai peradaban yang unggul di samping menghapuskan semua gejala yang boleh merosakkan umat dan tamadun.

11. Dalam hubungan ini, umat Islam tiada pilihan selain daripada membina semula penguasaan terhadap ilmu. Inilah kaedah yang terbaik dalam membangunkan kembali cita-cita dan kemahuan untuk memantap ukhuwah memperkasa ummah sekaligus menggemilangkan semula Islam dan umatnya di sepanjang zaman.

12. Dengan doa dan harapan agar aspirasi suci ini dapat kita realisasikan bersama, maka saya dengan sukacitanya melancarkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kecil Menumbok bagi tahun 1431H/2010M ini dengan rasminya.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.