PENYAMPAI
:
MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
09-Aug-2007HARI : Khamis
MAJLIS
:
PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG KPKT BAGI TAHUN 2006
TEMPAT
:
ISU
:
ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG



TEKS UCAPAN PENUH :

YB. Dato’ Hjh. Azizah Bt. Datuk S.P. Hj. Mohd Dun
Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

YB. Datuk Dr. S. Subramaniam
Setiausaha Parlimen
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

Y.Bhg. Dato’ Ahmad Fuad bin Ismail
Ketua Setiausaha
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Y.Bhg. Dato’ Hj.Anwar bin Hj. Abd. Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha ( Pembangunan )
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

Y.Brs. Puan Noriah bt. Hashim
Timbalan Ketua Setiausaha ( Operasi )
Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

Y.Bhg. Dato’ - Dato, Datin
Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian

Serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Salam Sejahtera Dan Selamat Pagi

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan bagi tahun 2006. Sesungguhnya Majlis ini merupakan salah satu daripada Majlis Pengiktirafan Kepada Anggota-anggota Perkhidmatan Awam khususnya di KPKT yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang pada tahun 2006.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Negara kita telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun. Banyak kemajuan telah dicapai dalam tempoh tersebut dalam berbagai bidang. Kesemua kejayaan tersebut dicapai kerana ia merupakan hasil usahasama semua golongan dan peringkat dalam negara bagi mencapai Wawasan 2020. Dalam konteks ini perkhidmatan awam menjadi agen pelaksana yang penting bagi merealisasikan wawasan tersebut. Sebagai agen pelaksana, seharusnya kita berusaha ke arah menyediakan perkhidmatan awam yang cemerlang. Dalam usaha meningkat sistem penyampaian perkhidmatan ianya tidak dapat dipisahkan daripada perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggan. Berdasarkan laporan World Bank’s Worldwide Governance Indicators (WGI), Petunjuk Keberkesanan Kerajaan (Government Effectiveness) yang mengukur kualiti perkhidmatan awam, prestasi negara kita telah bertambah baik iaitu daripada 69.7% pada tahun 1998 kepada 80.6% pada tahun 2006.

Walaupun tahap pencapaian ini boleh dianggap cemerlang, namun masih banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilaksanakan. Usaha ini perlu diteruskan bagi menjamin daya saing negara supaya setanding dengan negara-negara yang maju. Dalam hubungan ini KPKT perlu memainkan peranan untuk meningkatkan prestasi warga kerja supaya matlamat pembangunan negara dapat dicapai.

Dato’-Dato’/Datin/Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan modal insan sebagai keutamaan dalam menjana pembangunan negara dan sektor awam merupakan fasilitator kepada pertumbuhan ekonomi negara. Berbagai usaha telah dibuat untuk menjamin sektor awam sentiasa cekap dan berkesan. Anugerah khidmat cemerlang merupakan di antara salah satu daripada usaha kerajaan dalam memberikan motivasi kepada anggota perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Selain itu kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan kenaikan gaji kepada anggota sektor awam baru-baru ini. Keputusan tersebut menjelaskan lagi pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh perkhidmatan awam dalam pembangunan negara. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua anggota perkhidmatan awam untuk mensyukuri pengiktirafan tersebut dengan meningkatkan lagi prestasi dan tahap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
Adalah menjadi harapan saya agar setiap warga KPKT akan lebih komited kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi mencapai objektif Kementerian ini. Perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian ini kepada rakyat mestilah menepati piagam pelanggan yang telah ditetapkan. Jika kita bekerja bagi memenuhi kehendak pelanggan, kita akan berjaya memuaskan hati mereka sebaliknya jika kita bekerja semata-mata untuk memenuhi syarat bekerja sahaja nescaya kita akan berasa kecewa dan kurang bermotivasi. Jika keadaan ini berterusan negara tidak akan mencapai pembangunan sebagaimana yang dirancang dan diharapkan.

Sebagaimana Y.Bhg. Dato’-Dato’/Datin-Datin/Tuan/Puan sedia maklum, ekspektasi rakyat terhadap perkhidmatan awam sejak akhir-akhir ini begitu tinggi. Oleh yang demikian, setiap anggota perkhidmatan awam perlu menilai semula keberkesanan perkhidmatan yang diberikan kepada golongan sasaran. Kelayakan akademik sahaja tidak memadai untuk menjamin seseorang anggota itu memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Sebaliknya perubahan sikap serta komitmen yang tinggi disertai dengan keupayaan menjangka kesan-kesan perkhidmatan tersebut kepada rakyat serta kebolehan membuat kerja di luar daripada kebiasaan merupakan faktor penting dalam menjamin pembangunan kerjaya seseorang. Ini adalah selaras dengan cabaran di peringkat global yang sentiasa berhadapan dengan keadaan diluar jangka. Untuk itu saya berharap setiap warga KPKT perlu berazam untuk bekerja dengan lebih komited dan bersungguh-sungguh sehingga mencapai ke tahap Zero Deffect jika boleh.

Kita perlu memberi keutamaan kepada kualiti dalam apa jua tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian ini, sama ada di peringkat penggubalan polisi atau sebagai pelaksana. Hasil kerja yang berkualiti akan dapat dinikmati oleh rakyat dan masyarakat peniaga, sekaligus akan meningkatkan imej dan keyakinan rakyat terhadap KPKT.

Kualiti adalah merupakan satu proses yang berterusan dan amat rapat kaitannya dengan modal insan. Oleh yang demikian, untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, penekanan utama adalah pembentukan sikap yang lebih positif serta berupaya menerima dan mengadaptasi perubahan. Sifat-sifat amanah, jujur, rajin, bertanggungjawab, ikhlas dan dedikasi serta boleh dan rela bekerja di luar waktu pejabat merupakan asas kepada pembentukan sikap pegawai dan kakitangan yang positif. Saya percaya, semasa membuat penilaian prestasi pegawai dan kakitangan, aspek sikap ini merupakan kriteria utama yang diberi penekanan oleh ketua jabatan di samping kriteria-kriteria lain yang telah ditetapkan oleh panel pembangunan sumber manusia.

Y.Bhg. Dato’/Datin/Tuan dan Puan,

Di antara tugas dan tanggungjawab utama kementerian ini adalah untuk menyediakan persekitaran hidup yang selesa dan berkualiti. pelbagai program dan aktiviti penambahbaikan telah direncana dan dilaksanakan oleh kementerian ini dari tahun ke setahun demi untuk kesejahteraan rakyat terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah. Dalam hubungan ini, tahap keberkesanan sesuatu Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan atau Effective Government Delivery System kepada rakyat adalah perkara utama bagi menentukan kejayaan perlaksanaan sesuatu projek. Sistem penyampaian perkhidmatan yang disediakan akan menjadi gagal jika rakyat dan pelanggan Kementerian ini tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan apabila tidak kesampaian kepada mereka sama ada di dalam atau di luar bandar. Sistem penyampaian perkhidmatan yang disediakan juga tidak seharusnya dimanafaati oleh golongan tertentu sahaja tetapi ianya adalah untuk semua lapisan masyarakat.

Di dalam menanggung tugas berat ini sudah pasti kita akan mengalami pelbagai rintangan dan cabaran untuk mengatasi dan merealisasikannya. Walaupun ini merupakan lumrah alam, namun tugas yang dipertanggungjawabkan perlu diharungi oleh setiap warga kementerian ini sehingga sebarang kejayaan dapat dikecapi. Bak kata pepatah-pepatah berikut yang berbunyi: `jika tidak memecahkan ruyong mana kan dapat sagunya’, `alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan’ dan `genggam bara api biar sampai jadi arang’. Dalam perkara ini, saya ingin mengajak setiap warga kementerian ini agar melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan komitmen bagi mencapai kejayaan yang dihasratkan.

Kementerian ini sebenarnya telah banyak mencapai kejayaan namun masih banyak lagi kejayaan yang perlu kita kejar dan terokai. Kita perlu ingat dan hayati bahawa usaha ke arah kesempurnaan itu tiada hadnya. Ianya adalah satu proses yang melibatkan maruah diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara untuk mencapai kualiti kehidupan yang cemerlang. Justeru itu, anugerah perkhidmatan cemerlang yang diadakan secara tahunan ini adalah merupakan salah satu cara pengiktirafan ke arah usaha ini.



Dengan ini saya ingin merakamkan tanhiah dan syabas kepada setiap penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi tahun 2006 dan semoga pengiktirafan ini akan mendorong kita semua untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh lagi bagi mencapai tahap kualiti dan kejayaan yang lebih tinggi lagi. Bagi mereka yang belum menerima anugerah ini, saya percaya rezeki tetap ada jika usaha gigih dan pengorbanan dalam menjalankan tugas seharian dapat dilaksanakan.

Sekian.