PENYAMPAI
:
TIMBALAN MENTERIKATEGORI : UCAPAN PERASMIAN
TARIKH
:
20-Sep-2005HARI : Selasa
MAJLIS
:
PERASMIAN KLINIK USAHAWAN ANJURAN BIRO EKONOMI WANITA
DAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PANDAN DENGAN KERJASAMA BANK
PERTANIAN MALAYSIA
TEMPAT
:
AUDITORIUM MPAJ
ISU
:
LAIN-LAIN



TEKS UCAPAN PENUH :


Bismilahirahmanirahhim,

Assalamualaikum Waramatulahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang dihormati saudara Pengacara Majlis.

Y.B. Dato’ Haji Mad Aris Bin Mad Yusof
ADUN Cempaka,
Merangkap Ketua UMNO Bahagian Pandan

Y.B. Senator Nor Shima Bt Hashim
Ketua Wanita UMNO Bahagian Pandan

Saudara Abdul Ghani Ismail
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan

Puan Zahida Zarik Khan
Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan

Yang Berusaha Tuan Nasaruddin Mohd. Zin
Timbalan Pengurus Besar Bank Pertanian Malaysia

Saudara Zaharuddin Ali
Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda

Ahli Jawatankuasa Biro Ekonomi Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Pandan

Para Pegawai dan Para Peserta Klinik Usahawan

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya kita semua dapat berkumpul di dalam Auditorium MPAJ ini. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian Biro Ekonomi Wanita dan Pemuda Bahagian Pandan menjemput saya untuk merasmikan Majlis Perasmian Klinik Usahawan pada petang ini.

Terima kasih juga kepada pihak Bank Pertanian Malaysia yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Biro Ekonomi Wanita Dan Pemuda UMNO Bahagian Pandan dalam melaksanakan Program Klinik Usahawan yang mempunyai makna yang besar kerana pada hemat saya ianya berupaya mengenalpasti kumpulan usahawan/bakal usahawan yang akan terlibat dalam industri pertanian dan asas tani. Seperti mana yang kita telah maklum, Kerajaan telah menetapkan bidang kejuruteraan dan pertanian sebagai “the new growth” atas kesedaran bahawa kumpulan yang ramai terlibat dalam bidang ini adalah kaum Bumiputera.


Oleh itu, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi, program dan aktiviti bagi menggalakkan persungguhan usahawan Bumiputera lelaki dan wanita dalam dunia perniagaan memang patut dianjurkan oleh semua pihak termasuk saudara saudari.


Malah saya melihat Klinik Usahawan yang dijalankan ini merupakan satu usaha yang selaras dengan dasar kerajaan mahu melihat sektor pertanian merupakan satu sumber ekonomi yang dapat memberikan pulangan yang begitu lumayan. Oleh yang demikian diharapkan bakal usahawan yang ada di dalam Auditorium ini dapat merebut peluang keemasan ini memandangkan sektor pembinaan merupakan satu bidang yang agak ‘sofisticated’ dan sukar kerana terlalu banyak persaingan dan kurangnya projek-projek pembinaan pada masa ini.

Dengan adanya Klinik Usahawan ini dapatlah melahirkan usahawan baru yang akan menceburi bidang pertanian, perternakan dan perniagaan yang berasaskan tani. Saya juga mendapat tahu bahawa usahawan yang hadir pada hari ini kebanyakannya menceburi bidang pembinaan malah tidak terdapat usahawan wanita yang menceburi bidang-bidang seperti landskap dan perusahaan nursery (tapak semaian).

Justeru itu program kerjasama dengan Bank Pertanian ini dapat memberi bimbingan dan mengenal pasti peluang perniagaan baru yang berasaskan pertanian kepada peserta. Industri seperti Landskap dan tapak semaian bunga-bungaan juga merupakan antara bidang yang berkaitan dengan pertanian, maka saya menggalakkan wanita yang ada dalam dewan ini ceburilah bidang yang saya sebut tadi, dan saya percaya Bank Pertanian akan membantu anda. Perniagaan yang berasaskan Tani adalah perniagaan yang mana sumber utamanya adalah dari hasil pertanian contohnya adalah seperti perniagaan makanan tak kiralah anda mempunyai restoran atau gerai maka secara tidak langsung anda telah terlibat dalam perniagaan berasaskan tani.

Tuan-tuan dan puan-puan peserta sekalian

Walaupun Parlimen Pandan ini terletak dalam kawasan bandar tapi anda juga boleh mengaktifkan diri untuk menjadi peniaga-peniaga peraih hasil pertanian dan penternakan untuk memenuhi permintaan dari kawasan di sekitar Kuala Lumpur. Tanpa di sedari bahawa peluang ini telah diambil oleh kaum Cina dan mereka telah mula menguasai pasaran untuk memenuhi permintaan yang tinggi dan ini menghasilkan pendapatan yang begitu besar.

Saya difahamkan Bank Pertanian akan melancarkan satu program yang dapat memberi bantuan pinjaman kepada sesiapa saja usahawan baru melalui program Modal Usahawan Tani (MUST) ini merupakan kesinambungan program mikro kredit. Maka itu gunakalah peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Bank Pertanian dalam menjana ekonomi terutamanya kaum Bumiputera.

Kepada Ibu-Ibu tunggal yang berada dalam kawasan Parlimen Pandan juga harus mengambil peluang untuk memulakan perniagaan yang sumbernya berasaskan tani seperti gerai makan, malah mereka boleh melibatkan diri secara berkelompok yang membolehkan permohonan pinjaman mereka dibuat dengan lebih mudah melalui Bank Pertanian.

Saya juga mengharapkan pihak Berkuasa Tempatan seperti MPAJ dapat membantu dalam menyediakan kawasan atau tempat aktiviti perniagaan dan mempermudahkan proses permohonan lesen kepada bakal usahawan terutamanya kepada ibu-ibu tunggal.

Selain itu juga Klinik Usahawan ini dapat menyediakan persekitaran yang membantu dan menggalakkan pembangunan usahawan tulen yang berkualiti, berdaya maju dan berdaya saing dalam semua sektor perniagaan yang diceburi.

Saya berharap Melayu dan Bumiputera tak kira lelaki mahupun wanita sama-sama mengambil peluang tersebut untuk mempergiatkan penglibatan kaum Bumiputera dalam perniagaan. Kegagalan kita untuk mencapai sasaran 30% dalam era Dasar Ekonomi Baru(DEB) tidak boleh diulang lagi. Perutusan budaya maju berdaya saing tidak boleh menjadi retorek semata-mata ianya mesti benar-benar dihayati dan dipraktikan agar menjelang 2020 kaum Bumiputera boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum yang lain dalam apa jua pun bidang khususnya di negara sendiri.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan tahniah dan ucapan jutaan terima kasih kepada Biro ekonomi Wanita dan Pemuda UMNO Pandan atas kejayaan menganjurkan Klinik Usahawan dan saya difahamkan Bahagian ini yang pertama di Selangor menganjurkan Program seumpama ini dengan kerjasama Bank Pertanian Malaysia. Insyallah program ini akan menjadi pelopor kepada Bahagian-Bahagian UMNO yang lain. Tidak lupa juga kepada Bank Pertanian Malaysia yang terlibat secara langsung dan pihak-pihak yang lain dalam menjayakan program ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan. Semoga segala ilmu dan usaha yang kita perlolehi dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Dengan lafaz Bismilahirahmanirahim, Saya merasmikan Klinik Usahawan anjuran Biro Ekonomi Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Pandan dengan Kerjasama Bank Pertanian Malaysia.

Wabilahi Taufik Walhidayah Wasalamualaikum Waramatulahi Wabarakatuh. Sekian Terima Kasih.